Pekerja kilang maut dilanggar pemandu mabuk dari arah belakang

SEORANG pekerja kilang dilaporkan maut selepas motosikalnya dilanggar kereta dipandu lelaki dipercayai mabuk. Kejadian berlaku di kilometer 4 Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS) awal pagi 27 November 2020.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Muhammad Zaid Hassan berkata, dalam kejadian yang berlaku pada jam 1.15 pagi itu, pemandu kereta jenis Mercedes Benz, dalam perjalanan dari Kajang menuju ke plaza tol LEKAS.

Dilanggar pemandu mabuk dari belakang

Pemandu berusia 41 tahun itu dikatakan gagal mengawal kenderaan dipandunya selepas dipercayai memandu dalam keadaan laju dan berada di bawah pengaruh alkohol.

Ia mengakibatkan kereta itu merempuh sebuah motosikal jenis Modenas, ditunggang oleh mangsa yang berusia 37 tahun di laluan motosikal.


Ujian alkohol yang telah dilakukan terhadap pemandu itu mendapati terdapat kandungan arak melebihi paras yang dibenarkan.

"Saksi kejadian memaklumkan kereta itu dipandu dalam keadaan 'zig zag' selepas melepasi Plaza Tol LEKAS sebelum merempuh motosikal mangsa,"

"Hasil soal siasat dilakukan terhadap pemandu terbabit membawa kepada pengakuan dia ada minum alkohol sebelum kejadian itu berlaku," katanya.

Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mangsa difahamkan meninggalkan seorang balu dan empat orang anak termasuk yang bongsu berusia 4 bulan.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan