Pelajar universiti kongsi pengalaman jadi GrabFood rider, dapat RM146.10 hantar 10 pesanan

DAPAT bayaran RM146.10 selepas menghantar 10 pesanan, itu yang dikongsikan oleh seorang pelajar wanita dari Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) berkongsi pengalaman dilaluinya sebagai seorang penghantar makanan untuk GrabFood.



Nini Jiang membuat dan menerbitkan rakaman video dokumentari sepanjang seharian tugasnya sebagai penghantar makanan menerusi saluran YouTube pada bulan Julai tahun ini.

Grabfood rider

Video berkenaan menunjukkan bagaimana dia mengambil dan menghantar pesanan oleh pelanggan GrabFood dengan menunggang basikal. Di tengah-tengah video itu, dia berhenti rehat seketika kerana cuaca mendung menunjukkan tanda hujan akan turun.

Berdasarkan satu lagi video yang diterbitkannya, Nini berkata dia mula berminat melakukan kerja menghantar makanan selepas menemubual seorang lelaki pengantar makanan untuk tujuan dokumentari.


Lelaki itu telah mengajarkannya bagaimana untuk mendaftar sebagai penghantar makanan dan bercerita kepadanya tentang pengalaman melakukan tugas berkenaan.

Dalam rakaman video itu, Nini turut berkongsi beberapa masalah dan kepayahan yang dilaluinya sebagai orang baru dalam bidang kerjaya tersebut.

Contohnya selepas menghantar dua pesanan berasingan, menurutnya dia merasa sangat gementar dan sedikit menggigil kerana tidak pernah melakukan pesanan secara berturut-turut seperti itu.

Dia juga secara tidak sengaja telah membatalkan pesanan dari KFC, kerana tersilap menekan butang di telefon bimbitnya.


Tidak lama kemudian pada waktu tengah hari Nini menerima dua pesanan dari sebuah kedai durian yang sama.

Namun ketika dia menekan butang "selesai tugas," (complete the job) selepas menyelesaikan pesanan pertama, dia secara tidak sengaja juga tertekan butang "selesai tugas," untuk pesanan yang kedua.

Kejadian itu berlaku ketika dia tiba di lokasi penghantaran, akibatnya dia tidak dapat mengenal pasti alamat tepat untuk menghantar pesanan berkenaan.

Mujur Nini dapat menyelesaikan tugas itu selepas menghubungi pusat khidmat pelanggan, Grab Helpline Centre.


Di akhir rakaman video tersebut Nini membuat kesimpulan tentang tugasannya seharian. Dia berjaya menghantar 10 pesanan dan memperolehi upah sebanyak S$48.70 (RM146.10).

Berdasarkan rakaman video itu, Nini bekerja selama lebih kurang 4 jam sepanjang hari itu, di mana mula bertugas sekitar jam 10.24 pagi sehingga jam 12.35 tengah hari untuk berehat, seterusnya kembali semula bertugas pada jam 5 petang hingga sekitar jam 7:15 petang.

Sumber: YouTube

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan