Pengurusan zoo teruk, singa kurus kering tak cukup makan

GARA-GARA pengurusan yang teruk di sebuah zoo, banyak haiwan mati akibat kebuluran. Seekor singa yang dipelihara di situ nampak begitu kurus hingga kelihatan rangkanya di sebalik kulit yang sudah tidak lagi berisi. Hal itu telah menimbulkan kemarahan para pengunjung.


Menurut laporan Daily Mail, salah seorang pelawat yang enggan namanya disebut baru-baru ini melawat Zoo Gamji Gate, di Nigeria dengan bayaran masuk USD1 (RM4.13).

Singa kurus kering

Tanpa disangka, dia menyaksikan haiwan-haiwan di situ terlalu kurus, terutama seekor singa berusia empat tahun, yang bukan sahaja kelihatan rangkanya dengan jelas, malah keadaannya yang terkurung di dalam sebuah sangkar membuatkan ia tertekan.

"Apabila saya nampak singa ini saya sangat terkejut. Ini merupakan kali pertama saya melihat seekor singa hidup. Saya rasa sangat gementar dan sedih,"

"Hampir kesemua haiwan-haiwan di zoo itu tidak diberi makan dengan cukup. Mereka tidak dilayan dengan baik dan boleh saya katakan mengalami kekurangan nutrisi,"

Singa tak cukup makan

Dia juga turut menyebutkan keadaan sebahagian haiwan-haiwan berkenaan yang terperangkap kerana dikurung di dalam kandang konkrit dan hanya boleh berdiri dengan cara memanjat sesama mereka.

Lelaki itu telah mengambil inisiatif merakam keadaan haiwan-haiwan berkenaan sebelum melaporkan perkara itu kepada organisasi perlindungan haiwan WildatLife bagi membolehkan operasi menyelamat dijalankan.


Rakaman video dan gambar yang diambil menunjukkan keadaan singa itu sangat kurus, di mana tulang rangkanya tertonjol keluar di bahagian perut.

Keadaan singa yang diberi nama "Zaki" itu sangat kritikal dan tidak diketahui setakat mana it terbiar menderita.

Susulan pendedahan itu, organisasi berkenaan dengan kerjasama Persatuan Zoo Nigeria telah mengambil langkah untuk merawat keadaan haiwan berkenaan serta menjalankan siasatan lanjut.

Jurucakap organisasi itu berkata: "Pakar haiwan telah dihantar untuk memberikan bantuan perubatan kepada singa berkenaan, namun ia masih memerlukan rawatan lanjut yang akan dibiayai oleh NGO WildatLife,"

"Kami sedang menunggu laporan dan perincian lengkap, bagaimana dan mengapa perkara ini boleh dibiarkan berlaku,"


"Jika Zaki mampu bertahan hidup selepas mendapat rawatan, NGO kami menawarkan bantuan untuk memindahkannya di lokasi jagaan lain supaya ia mampu untuk terus hidup,"

"Namun dalam keadaannya yang kritikal sekarang, ia tidak mampu bertahan untuk dipindahkan, kami perlu bekerjasama secara dekat dengan pihak berkuasa Nigeria untuk mengusahakan perkara ini secara dalaman," katanya.

Lebih menyedihkan, kesihatan haiwan-haiwan lain di zoo berkenaan juga kelihatan teruk dan tidak cukup makan. Menurut NGO itu, keadaan dan ruang pengasingan yang digunakan tidak sesuai.


Bagaimanapun, keadaan singa berkenaan paling memerlukan perhatian segera, dan ini merupakan kali pertama NGO itu berdepan keadaan seteruk ini.

Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada zoo berkenaan akan terus dibuka selepas perkara itu diketahui umum.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan