Rakam serbuan polis bukan satu jenayah, tapi...

PIHAK polis hari ini dilapor mengesahkan bahawa merakam atau mengambil gambar serbuan bukanlah satu jenayah, namun katanya menyebarkan video-video atau gambar seperti itu boleh memberi kesan kepada kerahsiaan siasatan berkenaan.


Datuk Huzir Mohamed, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman hari ini mengesahkan rantaian kejadian yang membawa kepada penahanan aktivis pelajar baru-baru ini berhubung rakaman video dilakukan terhadap serbuan polis dan memaparkannya dalam Facebook 'live' dalam masa yang sama.

Huzir

Huzir berkata terdapat 42 laporan polis terhadap University Malaya Association od New Youth (Umany) berhubung kiriman facebook bertajuk "YDPA tidak patut campur tangan dalam hal ehwal negara," yang mana kes itu di bawah siasatan ibu Pejabat polis Kajang kerana salah satu laporan polis dibuat oleh seorang lelaki di bawah seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.


Menurut Huzir, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kajang, telah melakukan satu serbuan di sebuah rumah di Petaling Jaya, Selangor di bawah seksyen 8(2) Akta Hasutan bagi melengkapkan siasatan.

Dalam Akta Hasutan, Seksyen 8(2) menyatakan bahawa seorang pegawai polis yang berpangkat sekurang-kurangnya Assistant Superintendan boleh memasuki dan menggeledah sebuah premis seperti dia telah mempunyai waran geledah dikeluarkan oleh seorang majistret, sekiranya pegawai polis itu beranggapan terdapat sebab munasabah untuk mempercayai objek yang dicari akan hilang sekiranya penggeledahan ditangguhkan kerana perlu memohon waran.

Huzir turut memperincikan serbuan berkenaan, di mana menurutnya, seorang pegawai geledah yang memakai vest polis telah menunjukkan kad kuasa kepada seorang lelaki cina di dalam rumah tersebut, sebelum memulakan serbuan, namun katanya lelaki itu enggan memberikan kerjasama dan telah mengunci pintu dari dalam.

Kata Huzir, seorang wanita dan lelaki cina  yang mendakwa sebagai peguam selepas itu telah hadir di lokasi berkenaan, dengan lelaki cina itu merakam video serbuan dan menyiarkannya menerusi Facebook live menggunakan telefon bimbitnya sebaik sahaja tiba di tempat kejadian.


"Pegawai geledah telah memberikan amaran beberapa kali supaya dia menghentikan tindakannya tetapi dia tetap terus merakam,"

"Susulan itu satu tangkapan telah dibuat terhadap lelaki Cina berkenaan yang berumur 27 tahun disebabkan mengganggu proses siasatan dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas. Turut dirampas satu telefon bimbit jenama iPhone dan satu kad sim," kata Huzir dalam satu kenyataan.

Menurut Huzir tangkapan itu dibuat di bawah seksyen 186 kanun keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam. Di bawah Seksyen 186 jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga enam bulan penjara atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

"Tangkapan ini berdasarkan undang-undang dan peruntukan sedia ada untuk melancarkan siasatan. Perlu diingatkan, setiap siasatan adalah rahsia dan tidak boleh didedahkan sewenang-wenangnya, apalagi jika ditularkan menerusi media sosial," katanya.

Katanya pihak polis telah mengambil tindakan tindakan perlu selepas memberi amaran, namun lelaki cina tersebut tetap terus merakam video.


"Pegawai geledah tersebut mendapati lelaki itu enggan mematuhi arahan yang diberikan oleh seorang pegawai polis yang juga merupakan seorang 'penjawat awam,' seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 188 Kanun Keseksaan," katanya.

"Polis menegaskan bahawa tindakan merakam gambar atau video bukan satu kesalahan jenayah. Namun bagi kepentingan siasatan, sekiranya gambar atau video itu dikongsi, disebarkan dan ditularkan di media sosial atau apa-apa cara lain, ia boleh mengganggu proses siasatan polis dan juga bercanggah dengan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana melakukan penyebaran dengan niat mengganggu orang lain," katanya.

Huzir seterusnya menggesa orang ramai supaya sentiasa memberikan kerjasama dan tidak mengganggu polis menjalankan siasatan mereka secara adil dan telus, sambil menambah tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang sengaja mengancam peraturan dan keselamatan awam.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan