Seorang lagi anggota PGA ditembak di sempadan Malaysia—Thailand

SEORANG lagi anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand dilaporkan ditembak petang tadi.



Peluru yang dipercayai dilepaskan dari arah negara jiran telah mencederakan anggota terbabit di bahagian perut, mujur beliau mengenakan baju kalis peluru.

Unit PGA
Anggota PGA sedang berkawal dan melakukan rondaan

Anggota tersebut yang mengalami kecederaan ringan sudah dibawa keluar dan kini sedang mendapatkan rawatan lanjut di hospital.

Ketika sedang melakukan kawalan sempadan di Pos M16 Bukit Kayu Hitam, pada jam 6.15 petang tadi anggota tersebut dilaporkan tiba-tiba terkena tembakan.


Datuk Hasanuddin Hassan, Ketua Polis Kedah mengesahkan kejadian itu dan katanya siasatan lanjut sedang dilakukan oleh pihak berkuasa.

Susulan kejadian itu, PGA dilaporkan akan menggerakkan unit berkuda, unit udara dan unit kereta perisai bersama anggota Komando 69 (VAT69) ke sempadan Malaysia-Thailand di dalam usaha mencegah aktiviti penyeludupan dan memburu penyeludup.

Abdul Ghani Mohamad Ji, Komander Briged Utara PGA dilaporkan berkata keempat-empat unit itu akan memastikan sempadan negara tidak lagi mudah untuk dibolosi.

Menurutnya tiga lagi unit kereta perisai akan ditambah dengan kekuatan 12 anggota yang dibahagikan kepada tiga kumpulan, manakala tugasan memantau dari udara dilakukan oleh unit udara dibantu VAT69 dan anggota penjejak dari batalion 3 PGA untuk membuat tinjauan dari darat.


"Kita juga akan menempatkan tiga unit berkuda melakukan rondaan di sepanjang sempadan bermula dari Bukit Kayu Hitam hingga ke Padang Besar,"

"Sehingga kini 6 ekor kuda daripada unit berkuda Polis Diraja Malaysia ditugaskan bagi melakukan rondaan mengikut giliran," katanya seperti yang dipetik oleh BERNAMA ketika melakukan tinjauan sekitar lokasi kejadian tembak menembak yang membabitkan anggota PGA semalam.


Menurut Abdul Ghani, rondaan itu akan bermula pada hari Jumaat ini membabitkan kerjasama bersepadu dari markas taktikal (MARTAK) PGA Bukit Kayu Hitam, Kedah ke Padang Besar, Perlis dan Pos Kawalan BKC 7 di Padang Besar.

Katanya hasil risikan mendapati 5 hingga 7 kumpulan penyeludup sedang aktif di sempadan sejak kebelakangan ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan