Suspek bunuh positif Covid-19, 60 anggota Polis kena kuarantin

ENAM puluh anggota polis dari ibu pejabat Polis daerah Segamat Johor dikenakan perintah kuarantin rumah selepas berhubung dengan warga asing yang didapati positif covid 19  selepas ditahan kerana disyaki terlibat dengan kes bunuh.

Menurut Ayob Khan Mydin Pichay, Ketua Polis Johor, 60 orang anggota polis itu termasuk pegawai telah diasingkan sejak hari Isnin selepas suspek, seorang lelaki warga Myanmar berusia 29 tahun disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan ketika ditahan reman.

Menurutnya, langkah segera di bawah prosedur operasi standard (SOP) telah diambil sebaik saja suspek diketahui positif.

"Suspek merupakan antara lapan pekerja asing termasuk tujuh orang Indonesia, ditahan oleh pihak polis berhubung pembunuhan seorang lelaki Bangladesh di Segamat Rabu lalu," 

"Susulan itu suspek berkenaan yang kini dalam tahanan reman, disahkan positif selepas menjalani ujian saringan," katanya.

Menurut Ayob, semua kakitangan polis yang terlibat kini melalui ujian saringan covid 19 dan sedang menunggu keputusan mereka.

"Jika mereka disahkan negatif, kakitangan berkenaan akan kembali bertugas, manakala mereka yang positif akan ditempatkan di pusat kuarantin untuk rawatan," kata Ayob.

Meskipun selepas kejadian berkenaan katanya ibu pejabat polis Segamat masih dibuka sehingga kini.

Tambahnya lagi isu kekurangan kakitangan tidak begitu serius kerana kontigen polis Johor dan daerah-daerah bersebelahan boleh membantu.

Buat masa ini suspek berkenaan telah ditempatkan di hospital Kluang untuk pemantauan dan rawatan.

Difahamkan 14 orang lagi tahanan yang ditempatkan dalam lokap yang sama setakat ini disahkan negatif covid 19.

Pada hari Khamis lalu, satu pergaduhan di antara dua kumpulan pekerja asing di Taman Kenari, Bukit Siput telah menyebabkan seorang lelaki warga Bangladesh maut akibat ditikam manakala rakannya, telah dilanggar dengan kereta.

Susulan kejadian itu polis telah menahan tujuh orang warga Indonesia dan seorang warga Myanmar berumur di antara 29 hingga 53 tahun.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan