Anggota polis terima RM1,500 setiap kali seludup dadah dalam lokap IPD Kota Tinggi

SEBELUM ini dilaporkan berlaku kegiatan penyeludupan dadah di lokap polis Kota Tinggi Johor yang dijalankan oleh anggota polis yang menjaga lokap itu sendiri.




IPD Kota Tinggi

Ketika laporan itu ditulis, pihak polis belum lagi mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian berkenaan.

Namun Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Mydin Pitchay dalam sidang media yang diadakan semalam mengesahkan perkara itu dan turut mendedahkan butiran lanjut kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah berkenaan.

Menurutnya sembilan anggota polis dan seorang awam telah ditangkap terbabit dalam pengedaran dadah dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi pada 29 November lalu.

Katanya 9 anggota polis yang ditahan berusia antara 20 hingga 36 tahun termasuk seorang anggota wanita.


Mereka yang ditahan berpangkat Koperal hingga Konstable adalah penjaga lokap di IPD berkenaan manakala orang awam yang ditahan merupakan wanita berusia 23 tahun anak kepada salah seorang tahanan di lokap itu yang dikenali sebagai "Datuk Ajim"

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, pegawai polis berkenaan bersekongkol dengan seorang pengedar dadah bernama "Datuk Ajim" yang sedang ditahan di lokap berkenaan.

Anak perempuan pengedar dadah itu digunakan sebagai orang tengah untuk menyerahkan bungkusan mengandungi dadah dan tembakau kepada pegawai polis yang terlibat sebelum pegawai berkenaan menyeludup masuk bungkusan itu ke dalam lokap untuk diserahkan kepada "Datuk Ajim"

Pegawai polis yang bersekongkol itu dilaporkan akan menerima upah sehingga RM1,500 bagi setiap tugas penyeludupan berkenaan.

"Malah terdapat sebuah sel di dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi yang dijadikan tempat untuk pengedar dadah melakukan transaksi," katanya.


Tiga pegawai kanan IPD Kota Tinggi disiasat

Beliau mendedahkan, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) dan Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Johor dan Jabatan Jenayah Narkotik telah menjalankan siasatan dalaman berhubung kes berkenaan pada 29 November.

Menurut Ayob, arahan daripada Pengarah Narkotik Bukit Aman, setiap suspek yang ditahan selepas 7 hari perlu dibuat saringan air kencing namun ia tidak dijalankan.

"Selepas dapat laporan, kita daripada IPK Johor turun, barulah mereka hendak buat ujian saringan air kencing."

"Kita lihat hasil siasatan, tapi dari aspek akauntibiliti dan penyeliaan itu memang tiada. Balai Kota Tinggi bawah IPD Kota Tinggi, kalau Balai itu jauh dari IPD mungkin ada alasan, tetapi ini di bawah dagu dia," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan