Jururawat pula tampil dakwa jadi mangsa Da'i Syed

SEORANG lagi wanita dilaporkan tampil membuat laporan polis di Balai Polis, Dang Wangi pada jam 4  petang semalam berhubung dakwaan kes seksual membabitkan seorang pendakwah selebriti dipercayai Da'i Syed.


Jururawat berusia 26 tahun yang bekerja di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur mendakwa menjadi mangsa pendakwah itu pada bulan Disember tahun lalu di sebuah studio terletak di Seksyen 7 Shah Alam, selepas mula berkenalan dengan suspek pada Mac 2018.

Da'i Syed

Menurut Ketua Polis Selangor, Noor Azam Jamaludin berikutan laporan terbaru itu setakat ini pihak polis telah menerima sembilan aduan.

Katanya kes itu kini dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Shah Alam untuk siasatan lanjut.

"Kita masih lagi menjalankan siasatan dan akan melihat dari semua sudut dengan mengumpul maklumat berkaitan," katanya.

Tambahnya pihak polis menjalankan siasatan dengan adil dan semua maklumat diterima akan dihantar kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan lanjut.

Mangsa dan suspek berkenalan di media sosial sebelum berpura-pura mengajak mangsa keluar makan sebelum dibawa pulang ke rumahnya, kata Noor Azam ketika ditanya berhubung modus operandi suspek.


Da'i Syed yang juga bekas peserta program realiti keagamaan berbentuk dakwah itu semalam direman selama lima hari sehingga hari Jumaat ini bagi membantu siasatan polis berhubung dua aduan yang dibuat terhadapnya di Petaling Jaya atas dakwaan merogol, mencabul dan seks luar tabii.

Pihak polis daerah Petaling Jaya membuat permohonan reman ke atas suspek bagi membolehkan siasatan dijalankan berhubung dua laporan polis yang dibuat terhadapnya pada 29 dan 30 November lalu.

Sebelum ini seorang pelajar kolej swasta membuat laporan di IPD Petaling Jaya atas dakwaan dicabul dan dipaksa melakukan oral seks oleh suspek di sebuah rumah di Damansara Perdana.

Manakala laporan kedua dibuat oleh seorang guru wanita berusia 22 tahun pada 30 November mendakwa dirogol oleh suspek juga di sebuah rumah di Damansara Perdana.

1 Comments

  1. fuhhh.. panas sungguh isu Dai'e Syed ni.. makin ramai 'mangsa' tampil memberi keterangan

    ReplyDelete

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan