Lelaki ini punca berlakunya perang dunia pertama (WW1)

PERANG dunia pertama bermula pada tahun 1914, dan berlangsung selama 4 tahun sebelum ditamatkan pada tahun 1918. Kesan peperangan itu telah meninggalkan korban lebih 20 juta tentera manakala 21 juta orang lagi dilaporkan cedera.



Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan terjadinya perang berkenaan. Namun punca tercetusnya peperangan secara langsung adalah kerana seorang lelaki bangsawan Austria bernama Franz Ferdinand yang merupakan 'archduke' iaitu anak kepada maharaja Austria.

Franz Ferdinand dan isterinya Sophie

Dalam tahun 1914, Ferdinand menyatakan hasrat mahu melawat Sarajevo, sebuah daerah di Bosnia Herzegovina. Daerah itu terkenal dengan penduduknya yang suka memberontak.

Sebagai pewaris tahta raja empayar Austria-Hungari, Franz Ferdinand dilaporkan berangkat ke Sarajevo dengan sebuah kereta tanpa bumbung, untuk memeriksa barisan pasukan bersenjata di Bosnia and Herzegovina.

Anak sulung raja Austria itu memilih untuk menggunakan khidmat seorang pemandu warga Austria yang tidak biasa dengan jalan-jalan di bandar Sarajevo.

Ketika lawatan itu yang bertarikh 28 Jun ia kebetulan merupakan ulangtahun perang Kosovo, yang juga merupakan hari kebanggaan para nasionalis Serbia. 


Justeru bagi mereka lawatan itu merupakan satu penghinaan besar. Mereka mendesak Serbia yang bebas tanpa mana-mana pemimpin Austro-Hungari , dan lawatan Franz Ferdinand sebagai Archduke Austria pada hari tersebut disifatkan sebagai penghinaan yang melampau.

Golongan nasionalis menganggap bahawa kawasan yang dilawati itu merupakan sebahagian dari wilayah Serbia dan ia rupanya menjadi detik bersejarah  membawa kepada pelbagai perkara besar kepada dunia.

Susulan lawatan itu, Black Hand, sebuah gerakan revolusi Serbia telah merancang untuk membunuh Franz Ferdinand. Mereka dengan mudah dapat mengetahui kedudukan Franz kerana laluan yang digunakan dalam lawatan itu telah diwar-warkan kepada umum.

Ketika majlis perbarisan, para pembunuh bersenjata telah bersiap sedia dengan senapang dan bom untuk membunuhnya.

Pembunuh pertama yang terserempak dengan Franz adalah Muhamed Mehmedbasic, namun ketika kenderaan dinaiki Franz melepasinya, dia tidak sampai hati untuk menekan picu senjata selepas ternampak isteri Franz iaitu Sophie yang turut serta di dalam kereta.


Pembunuh bersenjata kedua, Vaso Cubrilovic juga gagal bertindak menyebabkan kenderaan itu terus berjalan tanpa menyedari apa yang akan menimpa mereka di hadapan.

Pembunuh ketiga pula bernama Nedeljko Cabriovic telah bertindak turun ke tengah jalan dengan bersenjatakan sebiji bom. Ketika kenderaan bangsawan itu menghampiri Nedeljko, dia terus mencabut picu bom sebelum melontarnya ke arah kereta yang sedang bergerak perlahan itu.

Franz yang sedar sebiji bom dilempar ke arahnya, telah bertindak menundukkan kepala menyebabkan ia melintasi bahagian atas kenderaan itu sebelum jatuh dan meletup di tengah-tengah kerumunan ramai, menyebabkan ramai orang tidak bersalah cedera akibat letupan.

Nedeljko cuba melarikan diri dari pihak polis menuju ke arah sebuah jambatan sebelum terjun ke dalam sungai. Malangnya disebabkan air sungai yang cetek hanya beberapa inci sahaja kedalamannya, menyebabkan kedua kakinya patah.

Dia cuba membunuh diri dengan mengunyah cyanide, namun racun itu difahamkan telah tamat tarikh luput, dan tidak berjaya membunuhnya sebaliknya hanya membuatkan dia jatuh sakit selepas ditahan oleh pihak polis.

Justeru Franz telah terselamat dari cubaan membunuhnya, dan terus bergerak ke sebuah dewan bandar di mana semua pemimpin tempatan diminta untuk kekal di dalam bangunan itu bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

Namun Franz menolak permintaan itu, sebaliknya dia memilih untuk pergi ke hospital bersama isteri dan pemandunya bagi melawat orang ramai yang cedera akibat letupan bom sebelum itu.

Gavrilo Princip juga merupakan salah seorang pembunuh yang ditugaskan untuk membunuh Franz, namun dalam kejadian sebelum itu, dia tidak terserempak dengan mangsanya.


Selepas mendengar berita tentang letupan bom yang gagal membunuh Franz, dia membatalkan niatnya untuk membunuh dan pergi ke sebuah kafe untuk minum dan menjamah sedikit makanan.

Pada fikirannya, Franz tentu tidak akan keluar lagi ke tempat awam kerana bimbang keselamatannya terancam selepas cubaan membunuhnya gagal dan tentu sekali pihak berkuasa akan memberikan perlindungan ketat kepada bangsawan Austria itu sekaligus mustahil untuk membunuhnya dalam masa terdekat.

Namun ketika sedang makan sekeping sandwich di sebuah kafe, dia ternampak Franz Ferdinand bersama isterinya Sophie memberhentikan kenderaan betul-betul di hadapan restoran tersebut.

Rupa-rupanya pemandu warga Austria itu telah sesat dan tersilap memilih simpang. Gabenor Sarajevo yang dilihat bersamanya mengarahkan pemandu itu membuat pusingan U.

Pada waktu itulah, Gavrilo mengambil kesempatan mengeluarkan pistolnya dan berjalan menuju ke kenderaan itu sebelum menembak Franz dan isterinya Sophie.

Kereta itu terus memecut meninggalkan kawasan berkenaan, namun Franz, isterinya Sophie dan Gabenor tersebut telah terkena tembakan.

Franz dan Sophie maut sebelum sampai di hospital.

Franz Ferdinand and wife assasinated

Pembunuhan itu telah menggemparkan dunia, dan mencetuskan pelbagai insiden berangkai. Austria-Hungari telah menggunakan pembunuhan itu sebagai alasan untuk menyerang Serbia.

Kuasa ketenteraan lebih besar iaitu Rusia pula memilih untuk menyokong Serbia. Dalam masa yang sama Jerman menyokong Austria dan Perancis pula menyokong Rusia.

Maka tercetuslah perang dunia pertama yang tercatat di dalam sejarah dunia melibatkan pelbagai negara. Ramai penganalisis sejarah berpendapat perang dunia pertama boleh dielakkan jika Bangsawan Austria itu dari awal tidak membuat provokasi melawat Bosnia Herzegovina di hari ulang tahun perang Sarajevo pada tarikh 28 jun.

Dalam pada itu, anak muda bernama Gavrilo Princip itu tentu tidak pernah menyangka bahawa picu pistol yang dipetiknya pada 28 Jun 1914 itu telah mencetuskan perang dunia yang maha dahsyat.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan