Matahari buatan Korea Selatan cipta rekod baru dunia

KELMARIN badan kajian teknologi Korea Selatan KSTAR (Korea Superconducting Tokamak Advanced Research), dilaporkan mencipta rekod baru dunia selepas ion plasma matahari buatan yang dibangunkan berjaya mengekalkan suhu tinggi lebih 100 juta darjah celcius selama 20 saat.

Pada 24 November 2020, pusat kajian KSTAR di Institut Tenaga Pelakuran Korea (KEF) mengumunkan bahawa kajian yang dijalankan bersama Seoul National University (SNU) dan Colombia University dari Amerika Syarikat itu telah berjaya beroperasi selama 20 saat dengan suhu ion plasma lebih tinggi dari 100 juta darjah celcius, yang menjadi syarat asas pelakuran nuklear ditetapkan oleh KSTAR Plasma Campaign.

Matahari Buatan Korea

Rekod baru itu melanjutkan lebih dua kali ganda operasi plasma KSTAR Plasma Campaign sebelum ini iaitu selama 8 saat.

Dalam eksperimen yang dijalankan pada tahun 2018, KSTAR buat pertama kalinya berjaya mencapai suhu ion plasma 100 juta darjah Celsius selama lebih kurang 1.5 saat.

Di dalam menghasilkan semula tindakbalas pelakuran yang berlaku dalam matahari di atas muka bumi, isotop-isotop hidrogen mesti diletakkan di dalam sebuah perkakas pelakuran untuk mencipta satu keadaan plasma di mana ion-ion dan elektron terpisah, dan ion-ion perlu dipanaskan dan kekal pada suhu tinggi.

Setakat ini sudah ada perkakas pelakuran lain yang telah berjaya mengekalkan suhu plasma 100 juta darjah Celsius atau lebih tinggi pada tempoh yang singkat. Namun tidak ada satu pun yang berjaya melangkaui had mengekalkan operasi selama 10 saat atau lebih.

Ia merupakan had operasi kebuk pelakuran normal, dan adalah sukar untuk mengekalkan satu keadaan plasma yang stabil dalam kebuk pelakuran pada suhu yang tinggi seperti itu untuk tempoh yang lama.

Menurut Si-Woo Yoon, pengarah pusat kajian KSTAR di KFE, kejayaan KSTAR mengekalkan suhu tinggi plasma selama 20 saat akan menjadi titik penting di dalam perlumbaan mendapatkan teknologi operasi plasma berprestasi tinggi, satu komponen kritikal dalam reaktor pelakuran nuklear komersial di masa hadapan.

Matlamat akhir KSTAR untuk menghasilkan operasi berterusan selama 300 saat dengan suhu ion lebih tinggi dari 100 juta °C pada tahun 2025.

Sumber phys.org

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan