Pegawai kanan terima rasuah dan seks untuk lindungi kerja haram kartel daging

PEGAWAI-PEGAWAI kanan dari tidak kurang empat agensi kerajaan dilaporkan bekerjasama dengan 'kartel daging' untuk membawa masuk daging-daging tidak sah ke dalam Malaysia sebelum dipasarkan sebagai daging-daging yang mempunyai sijil halal.



Para pegawai kanan yang diberi amanah untuk memastikan hanya daging halal yang mematuhi standard untuk dipasarkan kepada umat Islam, sebaliknya menerima wang rasuah.

Kartel Daging

Malah ada segelintir pegawai dilaporkan menerima habuan seks wanita sebagai sogokan untuk menutup mata terhadap operasi kartel daging berkenaan dan memastikan aktiviti haram mereka tidak dapat dikesan.

Difahamkan kartel berkenaan sudah beroperasi di negara ini selama lebih 40 tahun, di mana sindiket itu dipercayai mengimport daging dari rumah penyembelihan tanpa sijil halal dari beberapa negara seperti Brazil, Bolivia, Kanada, Colombia, Sepanyol dan Mexico.

Negara yang yang diiktiraf oleh pihak berkuasa Malaysia untuk mengimport daging halal hanyalah, Australia, Argentina, Brazil, India, Afrika Selatan, Pakistan, Jepun, New Zealand dan Amerika Syarikat.

Di mana urusan import diselia oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia, Jabatan Kastam dan Polis Pelabuhan pula ditugaskan untuk menguruskan bekalan berkenaan sebaik sahaja memasuki pelabuhan-pelabuhan di Malaysia.


Kartel daging yang sudah beroperasi bertahun-tahun lamanya itu menunjukkan mereka sudah mempunyai satu helah licik yang ampuh bagi memastikan produk-produk mereka berjaya melepasi pemeriksaan pihak berkuasa dari rumah sembelihan sehingga ke pelabuhan untuk dipasarkan.

New Straits Times memetik sumber dalaman memaklumkan bahawa proses itu bermula di luar negara, di mana pegawai agensi kerajaan yang diamanahkan untuk memantau kualiti daging di rumah sembelihan perlu menentukan sama ada ia memenuhi kualiti standard pengesahan halal Kerajaan Malaysia yang ketat.

Sumber itu berkata, dalam kes-kes tertentu, pegawai berkenaan selepas menerima rasuah, akan meluluskan daging-daging berkenaan meskipun ia belum pun sampai di tempat pemeriksaan.

"Hanya terdapat dua agensi yang bertanggungjawab untuk mengeluarkan kelulusan produk dari kilang pemprosesan di luar negara. Namun begitu banyak produk-produk daging dari kilang yang diragui memasuki Malaysia menimbulkan persoalan tentang keberkesanan sistem,"

Sumber itu memaklumkan, sebaik sahaja kartel berkenaan melepasi pemeriksaan peringkat awal, mereka menghadapi beberapa masalah untuk membawa produk itu ke dalam negara menerusi pelabuhan.

Tiga kawasan utama kemasukan kapal kata sumber itu, adalah zon bebas Pelabuhan Klang, Westport dan Northport.


Kartel itu katanya sudah bertahun-tahun berusaha memastikan 'tali barut' mereka dalam agensi kerajaan ditempatkan di pelabuhan tersebut.

Perkara ini katanya hanya boleh dilakukan dengan penglibatan pegawai atasan dari agensi yang bekerjasama dengan kartel tersebut.

"Salah satu modus operandi menggunakan borang K8 Kastam, ketika produk memasuki pelabuhan. Borang K8 bermakna sebuah kapal itu hanya boleh singgah di Malaysia sebelum berlayar keluar ke tempat lain,"

"Dalam kes ini, akibat pegawai korup, kapal berkenaan meskipun telah diistiharkan sebagai K8, barangan dibawanya masih boleh keluar melalui saluran lain,"

"Pegawai yang meluluskan saluran itu akan menerima rasuah wang tunai dari seorang pengantara untuk memberi lampu hijau kepada kargo bagi meninggalkan pelabuhan menggunakan lori," kata sumber itu.

Barangan di dalam kargo berkenaan katanya, kemudian akan diambil oleh satu daripada beberapa kilang, dan daging itu akan dicampurkan dengan daging mempunyai sijil halal dan dibungkus semula dengan logo halal palsu sebelum dipasarkan.

Kata sumber itu lagi, kartel berkenaan melakukan tindakan itu disebabkan proses mengimport daging halal dari sumber yang sah dan mendapatkan kelulusan pihak berkuasa memakan belanja yang besar.


"Oleh itu tanpa melalui proses pensijilan halal, kartel itu memperolehi keuntungan yang besar,"

Tambahnya lagi peniaga dan pemborong juga cenderung untuk mendapatkan sumber barangan yang lebih murah.

"Kartel tersebut memberi jaminan bahawa produk itu mempunyai sijil halal, ini bagi memastikan kelangsungan permintaan terhadap barangan mereka," katanya.


Sumber nst.com.my

2 Comments

  1. zulkefly bin awang23 December 2020 at 14:12

    tunggu lah bala dari Allah swt atas perbuatan jahat pad umat islam, semuga sprm dan pihat berkuasa dedah kan semua nya termasuk pegawai jahat, syarikat² dan jenama mereka yg jadi syaitan perosak darah daging..



    ReplyDelete
  2. Malaizie wal korupzi

    ReplyDelete

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan