Perompak bersenjata parang panjang dikejar orang ramai lari ke balai polis Tawau minta bantuan

SEORANG lelaki yang dilapor telah melakukan dua rompakan menggunakan parang panjang pada hari Jumaat dikejar oleh orang ramai sebelum melarikan diri ke Balai Polis Tawau untuk meminta bantuan bagi menyelamatkan diri.



Suspek berusia 27 tahun itu dilaporkan masuk ke kawasan Balai Polis Tawau dengan menunggang motosikal jenis Modenas GT yang baru sahaja dirompak dari seorang lelaki di Jalan Tawau Lama.

Balai Polis Tawau

Menurut ketua polis Daerah Tawau, asisten komisioner Peter Umbuas, suspek telah ditahan oleh pihak polis pada jam 8.10 am, 20 minit selepas dia melakukan rompakan.

"Mangsa meminta bantuan orang di sekeliling untuk mengejar suspek, namun suspek yang telah merompak motosikalnya berjaya melarikan diri dari orang ramai sehingga masuk ke kawasan Balai Polis Tawau dan ditahan," katanya dalam satu kenyataan pada hari Jumaat.

Katanya suspek juga telah merompak seorang lelaki yang memandu kenderaan jenis Nissan Frontier di Jalan Tanjung Batu Darat pada jam 7 pagi.


"Suspek kemudian melarikan diri dengan kenderaan mangsa menuju ke Jalan Tawau Lama, namun kenderaan itu telah kehabisan minyak di Bulatan Jalan Tawau Lama, memaksa suspek meninggalkan kenderaan itu di tepi jalan," katanya 

Menurut Peter, perintah reman telah dikeluarkan terhadap suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah di Mahkamah Majistret Tawau.

Siasatan awal mendapati suspek menggunakan modus operandi yang sama dalam kedua-dua rompakan iaitu dengan menunjukkan parang bagi memaksa mangsa berhenti sebelum merampas kenderaan mereka dan melarikan diri katanya.

Tambahnya lagi, suspek pernah ditahan sebelum ini sebanyak empat kali sejak 2014 atas kesalahan penyalahgunaan dadah.


sumber - nst.com.my

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan