PPBM masih mahu jawatan Menteri Besar Perak

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sedang berusaha untuk mendapatkan kembali jawatan Menteri Besar Perak selepas wakil parti itu dipaksa meletak jawatan beberapa hari lalu.



Sumber yang dekat dengan parti itu berkata PPBM sedang mendapatkan bantuan Pas bagi meneruskan kesinambungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak selepas Umno mencetuskan undi tidak percaya terhadap timbalan presidennya dalam satu tindakan mengejut minggu lalu.

Faizal Azumu

"PPBM mahu mencalonkan seorang menteri besar dari parti itu dan kini sedang bekerjasama dengan Pas untuk mendapatkan sokongan wakil-wakil rakyat secara individu," kata sumber yang rapat dengan PPBM dipetik oleh Malay Mail.

Seorang lagi sumber yang rapat dengan Pas berkata, parti Islam itu melihat ia sebagai adil.

"Kita mempunyai pemimpin-pemimpin PPBM, Pas dan Umno dalam kerajaan persekutuan yang yang sangat baik untuk rakyat,"

"Di Perak kita patut lakukan yang sama," kata sumber kedua itu yang enggan namanya didedahkan.

Sementara itu, seorang lagi sumber yang rapat dengan Umno pula berkata, parti itu tahu rancangan PPBM untuk mendapatkan semula kerusi Menteri Besar.


"PPBM juga merancang untuk mencalonkan seseorang dari parti itu untuk jawatan Menteri Besar,"

"Mereka bertegas mereka berhak dalam perkara ini tanpa mengira apa yang telah berlaku minggu lalu," kata sumber itu yang mengetahui perkembangan rundingan di Perak.

Parti-parti terbabit kini dalam keadaan tergantung berhubung siapakah yang akan menjadi Menteri Besar Perak seterusnya.

Masa semakin mendesak kerana belanjawan 2021 perlu dibentangkan. Pada asalnya belanjawan 2021 dijadualkan untuk dibentang dalam dewan negeri hari ini, namun berdasarkan situasi semasa sejak Jumaat lalu nampaknya perkara itu menjadi begitu samar.

Sultan Nazrin Muizzudin Shah sebelum ini telah menitahkan pemimpin-pemimpin dan beberapa wakil rakyat menghadap baginda di Istana Kinta di Ipoh untuk mengenal pasti siapa yang mempunyai majoriti sokongan dalam Dewan Undangan Negeri Perak.

Umno telah mencalonkan Adun Kota Tampan, Saarani Mohammad untuk jawatan MB, dan yakin bahawa calon mereka itu mempunyai sokongan majoriti mudah.


Pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) Perak telah menghadap Sultan Nazrin semalam namun enggan menyatakan pendirian jika mereka menyokong Saarani. Namun mereka menjelaskan bahawa PH tidak mencalonkan mana-mana wakil rakyatnya untuk jawatan Menteri Besar.

Selepas seharian ahli-ahli politik dilihat keluar dan masuk Istana Kinta semalam, pegawai istana Datuk Seri Mohd Annuar Zaini memaklumkan bahawa Sultan Perak tidak yakin ada mana-mana pihak mempunyai majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan pada waktu ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan