Segera depani kebimbangan Fitch Ratings — Anwar

SEMALAM diberitakan Fitch Ratings telah menurunkan Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) matawang asing jangka panjang Malaysia kepada 'BBB+' dari 'A-' untuk pertama kali sejak krisis kewangan 20 tahun yang lalu.


Kenyataan balas Menteri Kewangan berkait semak turun penarafan IDR tersebut amat membimbangkan. Beliau gagal menjawab persoalan dan kebimbangan yang dilaporkan Fitch yakni kestabilan politik dan tatakelola.

Fitch Rating Malaysia

Langkah Sheraton pada bulan Februari lalu tidak hanya menimbulkan kekacauan politik, tetapi ia juga adalah permulaan usaha menginjak batu asas reformasi institusi yang telah digerakkan kerajaan Pakatan Harapan.

Kerajaan minoriti ini yang tidak punya keabsahan sama sekali dari rakyat telah menyalahgunakan fungsi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mendapatkan dukungan.

Wabak COVID-19 telah menunjukkan kita sebagai sebahagian dari masyarakat global adalah saling berkait dan berhubung, termasuk dalam hal-hal kesihatan awam dan perdagangan. Tidak terkecuali adalah aspek keselamatan modal, pengemudian tatakelola yang jelas dan tegas, dan bagaimana harus Malaysia ini dijadikan sebagai destinasi pelaburan terbaik yang akhirnya akan mencorak jalan keluar dari wabak ini.


Membandingkan Malaysia dengan negara-negara yang prestasi yang jauh lebih rendah dari kita adalah tidak tepat dan mengelirukan. Kita harus lihat Malaysia hari ini dengan era lalu di mana negara tercinta ini adalah antara kuasa ekonomi serantau. Tidak ada perubahan yang nyata, dan negara-negara serantau seperti Indonesia, Singapura dan Vietnam telah mula mendakap realiti digital dunia hari ini.

Wujud sedikit harapan bahawa pelantikan seorang teknokrat seperti Menteri Kewangan akan dapat meminimakan jurus dan langkah politik. Namun jelas beliau gagal menggarap tanggungjawab beliau dalam mempersiapkan negara ini dengan jalan keluar bersama pertumbuhan ekonomi yang meyakinkan. 

Kita masih belum tahu dari mana sumber dana bagi memperoleh vaksin COVID-19, dan kita juga belum pasti bagaimana kerajaan akan bangunkan semula tunjang ekonomi negara yakni perusahaan kecil dan sederhana yang rata-ratanya dari kalangan Melayu dan Bumiputera yang terjejas teruk.


Semak turun penarafan ini hanya mengukuhkan tanggapan kita selama ini bahawa Malaysia perlukan sebuah kerajaan yang komited pada agenda reformasi serta telus, inklusif dan punya halatuju yang jelas. Sebaliknya apa yang dihidangkan kepada kita hari ini adalah kekeliruan dan ketidakstabilan, yang pastinya akan merencatkan usaha untuk keluar dari wabak ini dengan jayanya.

ANWAR IBRAHIM

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan