Tiang sudah 4 tahun dipacak, bekalan elektrik masih tak sampai

SUDAH 4 tahun tiang-tiang elektrik dipacakkan di tiga perkampungan orang asli Pos Gedung, Tapah Perak, namun sampai ke hari ini bekalan elektrik masih belum dapat dinikmati oleh kira-kira 200 penduduk kampung tersebut.



Lebih menyedihkan, sudah ada beberapa kediaman yang telah menerima sambungan sistem pendawaian dari tiang elektrik kepada suis kotak utama rumah mereka oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) namun hanya menjadi "perhiasan" yang tidak berfungsi.

Tiang elektrik

Menurut laporan Utusan Malaysia, projek bekalan elektrik luar bandar tersebut menerusi Peruntukan Kementerian Luar Bandar dan Wilayah dimulakan secara berperingkat-peringkat dan siap pada bulan April lalu.

Salah sebuah sekolah yang berdekatan dengan kawasan perkampungan itu, iaitu Sekolah Kebangsaan Pos Gedung, terpaksa menerima bekalan elektrik menerusi panel solar.

Bah Hek Bah Gunung, 56 salah seorang penduduk kampung yang ditemu bual mengakui bahawa keadaan tanpa bekalan elektrik menyusahkan kehidupan harian masyarakat orang asli di kampung tersebut.

Dia juga turut mempersoalkan mengapa projek tersebut tergendala sehingga hari ini sedangkan tiang-tiang elektrik untuk menyambungkan bekalan ke perkampungan itu sudah siap dibina.


Tambahnya lagi semasa pilihanraya, penduduk kampung telah dijanjikan dengan penyelesaian isu bekalan elektrik berkenaan, namun sebaik sahaja kempen selesai keadaan mereka tetap seperti itu.

"Tiang sudah ada sampai ke rumah tetapi hanya ada m sedangkan bekalan elektrik tiada. semasa pilihanraya kami dijanjikan perkara ini selesai tetapi habis sahaja kempen keadaan kami kembali seperti sedia kala," katanya.

Bah Gunung turut mendedahkan kesukaran dan kerugian penduduk yang terpaksa menggunakan mesin jana kuasa pada waktu malam dengan kos berjumlah RM5 hingga RM8 sehari.

Katanya, rata-rata penduduk kampung mencari rezeki dengan menoreh getah, mencari rotan, buluh dan menjual hasil hutan dengan pendapatan "cukup-cukup makan," namun mereka terpaksa berbelanja sekitar RM200 sebulan untuk membeli minyak diesel bagi menghidupkan mesin jana kuasa elektrik.

"Kalau di bandar orang yang bil elektriknya mencecah RM200 sebulan pun sudah merungut apatah lagi kami masyarakat orang asli yang tidak punyai pilihan," katanya.


Tambahnya lagi, bekalan elektrik yang dapat digunakan hasil mesin janakuasa, hanyalah untuk menerangi rumah kerana mereka tiada perkakas elektrik lain. 

"Memang penduduk amat berharap bekalan elektrik tetapi kami tak tahu nak mengadu kepada siapa," keluhnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan