Tun Rahah, ibu Najib Razak meninggal dunia

IBU kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, iaitu Tun Rahah binti Tan Sri Mohamad Noah berusia 87 tahun dilaporkan telah meninggal dunia pada pukul 4.30 petang tadi.



Balu kepada bekas Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein itu meninggal dunia ketika menjalani rawatan di Hospital Prince Court Medical Centre Kuala Lumpur.

Berita tentang kematian itu disampaikan sendiri oleh anaknya Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ibu Najib Razak meninggal dunia

Najib mengumumkan kematian bondanya itu dalam satu tulisan ringkas menerusi media sosial Twitter dan Facebook.

"Innalillahiwainnailaihirojiun... Bonda saya sudah tiada, Kami sekeluarga di hospital. Kesedihan dan air mata mengalir. Tiada kata-kata untuk kehilangan ini," tulisnya.

Tun Rahah sebelum ini dimasukkan ke hospital untuk menjalani rawatan. Ramai pemimpin negara dari kerajaan termasuk pembangkang yang turut hadir melawatnya.

Najib Razak turut mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan para pemimpin lain yang melawat bondanya di hospital dan turut meminta pengikut di Twitter mendoakan agar bondanya diberi kekuatan dan sembuh seperti sedia kala.


"Bonda kurang sihat, saya minta saudara saudari mendoakan agar bonda diberi kekuatan dan sembuh. Ini tempoh yang amat sukar dan merisaukan untuk kami sekeluarga," tulisnya.

Semalam Duli Yang Maha Mulia YDP Agong serta DYMM Seri Paduka Sultan Perak turut berkenan melawat Tun Rahah.

Tun Rahah berkahwin pada usia 19 tahun dengan Tun Razak yang pada ketika itu berusia 30 tahun. Beliau terkenal sebagai seorang yang lemah lembut dan ramah tamah.

Selepas kematian secara mengejut Tun Abdul Razak pada usia yang muda iaitu 54 tahun, Tun Rahah menjadi ibu dan bapa kepada anak-anaknya.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan