Zodiac Killer pembunuh yang mengugut dan mengejek pihak polis tapi gagal ditangkap

SEORANG individu mengaku melakukan pembunuhan di kawasan pantai San Francisco dalam tahun 1960 an, namun sampai ke hari ini dia masih gagal dikesan oleh pihak polis apatah lagi untuk ditangkap dan dipenjarakan.

Pembunuh yang menggunakan nama samaran sebagai Zodiac Killer itu dipercayai terlibat dengan sekurang-kurangnya lima kes pembunuhan di utara California dalam tahun 1968 dan 1969. Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan lebih banyak lagi kes pembunuhan yang telah dilakukan olehnya.

Zodiac Killer

Biasa kita dengar dalam kes-kes pembunuhan, si pembunuh akan bersembunyi dan melarikan diri kerana bimbang ditangkap oleh pihak polis. 

Namun berbeza dengan Zodiac Killer ini, dia bukan sahaja telah mengejek pihak polis, malah turut melakukan ugutan menerusi surat-surat yang dihantar kepada akhbar tempatan pada tahun 1969 sehingga 1974 sebelum tiba-tiba menghentikan komunikasi itu.

Meskipun pelbagai siasatan dijalankan oleh pihak polis, namun tidak ada sesiapa yang pernah ditahan terhadap jenayah berkenaan dan kertas siasatan masih kekal dibuka dan kisah itu terus menjadi perbincangan orang ramai.

Misteri tentang pembunuhan itu juga telah menjadi topik yang ditulis dalam pelbagai buku-buku dan turut dijadikan filem.

Antara filem yang berjaya mencapai Box Office ialah filem berjudul Zodiac yang diarahkan oleh pengarah filem terkenal David Fincher dalam tahun 2007. Filem itu berjaya meraih kutipan sebanyak USD84.7 juta (RM355.7 juta).

Pada 1 Ogos 1969, 3 buah akhbar tempatan San Francisco Examiner, San Francisco Chronicle dan Vallejo Times-Herald masing-masing telah menerima sepucuk surat tulisan tangan dalam sebuah envelop tanpa alamat pengirim.

"Kepada editor, saya adalah pembunuh dua orang remaja di Lake Herman semasa Krismas tempoh hari," tulis surat itu yang menyebut dirinya sebagai Zodiac Killer.

Kandungan lanjut di dalam surat itu mendedahkan butiran tentang pembunuhan yang telah dilakukan, dan butiran itu secara rasionalnya hanya pembunuh sahaja yang selayaknya tahu dengan terperinci.

Zodiac Killer dalam tulisannya itu, turut mengugut akan melakukan pembunuhan seterusnya sekiranya surat yang dikirim itu tidak dicetak di muka hadapan akhbar-akhbar berkenaan.

Setiap surat ditutup dengan satu simbol bulat dengan tanda pangkah di tengahnya, yang kemudian dianggap sebagai simbol Zodiac Killer. Setiap surat itu juga turut dilampirkan dengan satu daripada tiga Kod rahsia yang dakwanya mengandungi maklumat identiti dirinya.

Ketika pihak polis dengan bantuan Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) bertungkus-lumus menjalankan siasatan untuk mengesan pembunuh tersebut, sepucuk surat lagi sampai kepada akhbar San Francisco Examiner.

Surat itu juga menceritakan pembunuhan secara terperinci sekaligus menghantui pihak polis kerana gagal memecahkan kod dan menangkapnya.

Beberapa hari kemudian seorang guru Sekolah menengah bernama Donald Harden bersama isterinya Bettye berjaya menyelesaikan code itu. Kod rahsia itu bermaksud: "Saya suka membunuh orang kerana ia sangat menyeronokkan. Ia lebih seronok daripada membunuh di dalam hutan kerana manusia adalah haiwan yang paling berbahaya,"

Tiga hari kemudian mangsa keempat seorang pemandu teksi bernama Paul Stine telah dibunuh, dan sepucuk surat lagi dihantar kepada akhbar San Francisco Chronicle dengan kaedah yang sama menceritakan butiran terperinci pembunukan yang telah dilakukannya.

Kali ini Zodiac Killer turun melampirkan bersama suratnya itu cebisan pakaian berdarah milik Paul Stine. Dia kemudian terus menghantar surat surat kepada akhbar-akhbar di kawasan pantai itu dengan lebih banyak kod-kod rahsia dan mengaku melakukan beberapa lagi pembunuhan sambil mengejek pihak polis yang tidak berupaya menangkapnya.

Sekitar tahun 1974 tiada lagi surat diterima. Namun siasatan terhadapnya masih terus dijalankan.

Kini selepas 51 tahun Zodiak Killer menghantui pihak berkuasa dan orang ramai, akhirnya kod rahsia yang dikirimkan kepada pihak media telah berjaya dipecahkan.

Pada hari Jumaat, 11 Disember 2020, David Oranchak dilapor mendedahkan buat kali pertama mesej rahsia dalam bentuk kod yang dihantar oleh Zodiac Killer 51 tahun yang lalu.

Kod rahsia itu membawa maksud: "Saya harap kamu gembira cuba menangkap saya. Saya tidak takut dengan bilik gas kerana ia akan menghantar saya ke syurga dengan lebih cepat, saya sudah ada cukup hamba hamba yang bekerja untuk saya,"

Namun sehingga ke hari ini identiti sebenar Zodiak Killer masih lagi tidak dapat dipastikan dan kemungkinan besar sampai bila-bila pun pembunuh itu diyakini tidak akan berjaya ditahan kerana dia mungkin sudah pun meninggal dunia.


Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan