Ahli Farmasi ditahan sabotaj vaksin Covid-19

SEORANG ahli farmasi sebuah hospital dilaporkan ditahan pada 31 Disember 2020 kerana disyaki melakukan sabotaj terhadap lebih 500 dos vaksin coronavirus apabila dengan sengaja mengeluarkannya dari peti sejuk untuk merosakkannya.



Menurut pihak berkuasa, ahli farmasi itu yang merupakan salah seorang kakitangan Pusat Perubatan Aurora di Grafton, Wisconsin, Amerika Syarikat telah dipecat selepas didapati membiarkan 57 botol vaksin di luar peti sejuk awal minggu ini namun identitinya tidak didedahkan kepada umum.

vaksin

Setiap botol berkenaan mengandungi 10 dos. Hampir 60 dos vaksin tersebut telah diperiksa sebelum pihak hospital mengesahkannya telah terbiar cukup lama tanpa disejukkan mengakibatkan ia menjadi tidak berkesan. Baki 500 dos lagi kemudian telah dibuang.

Moderna Inc, pengeluar vaksin tersebut telah memberi jaminan kepada hospital bahawa menerima suntikan vaksin yang tidak disejukkan tidak akan memberi sebarang isu keselamatan, selain menyebabkan penerima tidak dilindungi dari jangkitan Covid-19, kata Dr Jeff Bahr, presiden Aurora Health Care Medical Group.

Setakat ini pihak berkuasa masih tidak menyatakan apakah motif perbuatan sabotaj itu.

Individu yang telah menerima dos vaksin yang tidak berkesan telah dimaklumkan dan akan diberi suntikan semula.


Menurut Dr Bahr, tidak ada bukti menunjukkan ahli farmasi itu memalsukan vaksin berkenaan selain mengeluarkannya dari peti sejuk.

Menurut pihak polis di Grafton, dalam satu kenyataan, ahli farmasi itu "tahu bahawa vaksin yang rosak menjadi tidak berguna dan mereka yang menerima vaksin akan berfikir mereka telah dilindungi dari jangkitan virus, padahal ia sebaliknya,"

Kejadian itu muncul di tengah-tengah tinjauan pendapat orang ramai yang menunjukkan keraguan meluas terhadap keselamatan vaksin Covid-19 yang telah diberikan kelulusan tergesa-gesa oleh pihak berkuasa persekutuan hanya selepas 11 bulan virus itu muncul di Amerika Syarikat.

Segelintir petugas kesihatan juga meluahkan keengganan untuk menerima vaksin yang sepatutnya mereka menjadi golongan pertama yang menerimanya.

Ketika disoal pada peringkat awal selepas botol-botol vaksin berkenaan ditemui pada 26 Disember, ahli farmasi itu berkata ia kesilapan yang tidak disengajakan, namun selepas siasatan lanjut dia mengakui sengaja mengeluarkan vaksin dari peti sejuk, kata pihak hospital.


Suspek yang tinggal di Grafton telah ditahan pada hari Khamis dan ditahan di penjara daerah Ozaukee atas tuduhan cuai dan membahayakan keselamatan, curang terhadap ubatan, dan jenayah kerosakan terhadap harta benda.

Sumber straitstimes.com

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan