Hari pertama sebagai Presiden, Joe Biden batalkan larangan masuk orang Islam ke Amerika

PRESIDEN Amerika Syarikat yang baru dilantik, Joe Biden dilaporkan akan menandatangani berpuluh-puluh dokumen arahan eksekutif antaranya termasuk menarik balik larangan masuk yang dikenakan terhadap pengunjung dari negara-negara Islam.



Presiden sebelum ini, Donald Trump telah mengenakan sekatan kepada beberapa buah negara muslim yang kebanyakkannya berada di Afrika untuk masuk ke Amerika.


Kenyataan itu dipetik oleh CNN daripada memo yang dikeluarkan oleh Ron Klain, Ketua Kakitangan Rumah Putih.

Penarikan balik larangan itu juga merupakan salah satu janji yang sering diucapkan oleh Biden semasa berkempen untuk merebut jawatan Presiden Amerika Syarikat.

Sejak terpilih sebagai presiden, beberapa organisasi Muslim dilaporkan telah menggesa supaya Biden segera menunaikan janji berkenaan.

Masyarakat Muslim di Amerika Syarikat mengakui situasi politik semasa peralihan kuasa di antara Presiden Donald Trump kepada Joe Biden melalui pelbagai masalah.

Bermula dari kehadiran pandemik coronavirus sehinggalah kepada serangan terhadap Bangunan Capitol oleh kumpulan pemberontak di kalangan penyokong Trump yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya presiden.


Berdasarkan maklumat dari laman sesawang Joe Biden, terdapat beberapa janji yang telah diucapkan oleh Joe Biden kepada komuniti Islam Amerika.

Selain berjanji untuk membatalkan larangan perjalanan terhadap pengunjung dari negara majoriti Islam di hari pertama menjawat jawatan presiden, Biden turut berjanji untuk memberikan tumpuan dan menambah peruntukan untuk memerangi jenayah kebencian yang bermotifkan agama.

Biden juga memberi jaminan bahawa pelbagai suara umat Islam Amerika akan didengari oleh pentadbirannya, serta memperluaskan perkhidmatan kesihatan kepada umat Islam Amerika tanpa mengira pendapatan dan bangsa.

Selain itu Biden turut berjanji untuk melabur di dalam memacu peningkatan ekonomi umat Islam Amerika, dengan meningkatkan kadar gaji minimum persekutuan sebanyak USD15, memperkukuh sektor awam dan swasta serta mengurangkan kesenjangan ekonomi.

Biden juga turut mengutuk pelanggaran hak asasi manusia global termasuk kecamannya terhadap isu-isu Muslim Uyghur di China dan Rohingya di Burma.

1 Comments

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan