Kenapa popcorn jadi makanan pilihan utama di pawagam?

SELALU ketika kita menonton di pawagam, rasa tak lengkap kalau tidak ada sesuatu untuk 'dikunyah' sepanjang menonton filem diminati. Biasanya tentu sekali popcorn menjadi pilihan utama, lagipun mana-mana pawagam seluruh negara memang ada menjual popcorn untuk dijadikan snek makanan ringan oleh pelanggan.

Jualan popcorn juga menyumbang kepada 50 peratus daripada hasil pendapatan keseluruhan sebuah pawagam. Mengapa popcorn dipilih sebagai makanan ruji ketika menonton wayang? Artikel ini akan menelusuri sejarah popcorn secara ringkas dan bagaimana ia mula menjadi pilihan sebagai makanan ruji ketika menonton wayang.

Sejarah Popcorn

Popcorn adalah sejenis jagung yang 'meletup' ketika dimasak di bawah tekanan dan haba, dari situlah ia mendapat nama 'pop' (meletup) 'corn' (jagung). Jagung mula ditanam sekitar 6,000 tahun yang lalu di Amerika.

popcorn

Nama popcorn diberikan oleh penduduk Amerika yang berasal dari Eropah pada abad ke-16. Ketika itu perkataan 'corn' iaitu jagung digunakan merujuk kepada semua tumbuhan pribumi sesebuah negara.

Contohnya barli di England dan oat di di Ireland, kedua-dua tumbuhan ini dipanggil sebagai 'corn' kerana ia merupakan tumbuhan pribumi negara berkenaan. Jadi nama popcorn merujuk kepada tumbuhan pribumi yang ditanam di bahagian tengah dan utara Amerika.

Popcorn pada waktu itu dijadikan makanan ruji kepada semua penduduk pribumi, dan penduduk yang membuka penempatan awal di utara Amerika. Sama seperti nasi yang dijadikan makanan ruji penduduk Asia.

Antara masakan yang sering dimakan oleh penduduk Amerika pada waktu itu ialah sup popcorn, dan ia turut ditiru oleh warga Amerika berkulit putih selain turut dicampur dengan susu seperti memakan bijirin.

Sejarah popcorn dan panggung wayang

Di zaman awal kewujudan panggung wayang secara komersial, hanya filem-filem bisu ditayangkan untuk para penonton. Filem itu turut diselang-selikan dengan tulisan-tulisan penceritaan.

Justeru filem-filem bisu pada waktu itu dikhaskan untuk masyarakat golongan atasan, yang mempunyai pendidikan dan boleh membaca. 

Pada peringkat awal kewujudan panggung wayang, popcorn tidak dibenarkan dibawa masuk ketika menonton, kerana ia dianggap 'makanan murahan tepi jalan' dan tidak sesuai dimakan oleh golongan kelas atasan.

Namun segalanya berubah dalam tahun 1930 an, ketika Depresi Dahsyat (Great Depression) berlaku seluruh Amerika dan seluruh dunia.

Pada waktu itu kadar pengangguran naik mendadak, manakala ekonomi semua sektor sedang bergelut. Justeru popcorn yang sebelum ini dianggap 'makanan murah tepi jalan,' mula menjadi semakin popular, dan dijadikan snek alternatif mampu milik oleh semua orang.

Para pengusaha panggung wayang yang juga bergelut akibat Depresi Dahsyat, turut memilih menjual popcorn sebagai salah satu kaedah promosi menarik pelanggan menonton wayang sekaligus meningkatkan pendapatan mereka.

Di akhir pergelutan panjang depresi ekonomi selama sedekad itu menyaksikan hanya panggung wayang menjual popcorn berjaya meneruskan kelangsungan perniagaan.

Selain itu, ketika Jepun menakluk Filipina dan menyerang kepulauan Hawaii semasa Perang Dunia Kedua, bekalan gula sangat berkurang, di Amerika Syarikat kerana kedua-dua pulau itu merupakan pembekal gula utama.

Keadaan harga gula melambung tinggi, secara tidak langsung telah melariskan jualan popcorn, kerana snek-snek lain mengandungi gula yang biasa dibeli oleh pelanggan ketika menonton wayang begitu mahal harganya.

Sejak dari peristiwa itulah, budaya menonton wayang di pawagam mula berubah. Penonton lebih suka makan popcorn semasa menonton wayang berbanding makanan-makanan lain yang bergula.

Sampailah ke hari ini, popcorn secara sedar atau tidak telah menjadi makanan ruji ketika menonton wayang di pawagam, menewaskan snek-snek lain yang sebelum ini menyainginya. Budaya itu turut dibawa ke negara kita Malaysia.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan