Sejarah Amerika mahu letupkan bulan guna bom nuklear (Projek A119)

DALAM tahun 1950 an, kerajaan Amerika Syarikat pernah merancang untuk meletupkan sebutir bom nuklear di atas permukaan bulan.

Ketika kemuncak perlumbaan meneroka angkasa lepas dengan kuasa besar Soviet Union, Tentera Udara Amerika Syarikat telah membangunkan satu pelan rahsia yang dipanggil "Projek A119". 

Dokumen rahsia berkenaan projek itu kini telah didedahkan kepada orang awam, menunjukkan bagaimana pegawai atasan kerajaan Amerika berpendapat mengeluarkan kenyataan untuk menghantar sebutir bom nuklear di permukaan bulan adalah sesuatu yang bagus.

bulan

Tujuan mereka adalah untuk meningkatkan sentimen awam terhadap pentadbiran penjelajahan angkasa, dan ingin melakukan perkara itu dengan cara yang bergaya.

Peristiwa penting Projek A119


Penyelidikan awal yang diketuai oleh ahli fizik Leonard Reiffel menyatakan bahawa, lebih mudah untuk menembak bulan menggunakan sebuah peluru berpandu balistik antara benua. Malah katanya, tembakan itu mampu mengenai posisi sasaran dengan tepat pada kadar kesilapan hanya 2 batu (3.2 km).

Leonard Reiffel
FOTO | Leonard Reiffel

Kadar ketepatan tembakan itulah yang dirasakan paling penting oleh para pegawai atasan, kerana Tentera Udara Amerika mahu melakukannya dalam satu upacara yang dapat disaksikan oleh semua manusia di muka bumi.

Bagi tujuan itu, pelancar nuklear perlu disasarkan kepada permukaan bulan yang dapat dilihat, agar awan yang terhasil daripada lintasan bom nuklear itu nanti akan kelihatan bersinar akibat memantulkan cahaya matahari.

Pada mulanya, pasukan saintis berkenaan mencadangkan penggunaan sebutir bom hidrogen. Malangnya jisim bahan letupan itu terlalu berat untuk dilontarkan oleh pelancar ke angkasa. Sebagai pilihan alternatif, pasukan itu mengambil keputusan untuk meletupkan W25 iaitu sebutir bom nuklear ringan dan kecil, namun bersifat pemusnah.

W25 membawa bahan letupan seberat 1.7 kiloton, kira-kira 12 kali ganda lebih kecil berbanding bom atom yang dijatuhkan di Hiroshima dan Nagasaki. Namun pakar-pakar itu berpendapat ia masih mampu memberikan kadar letupan yang cukup untuk menghasilkan debu-debu berawan agar boleh dilihat dengan mata kasar dari muka bumi.

Projek itu dibatalkan pada Januari 1959


Namun Tentera Udara Amerika telah membatalkan projek itu pada bulan Januari 1959. Mereka bimbang menerima kecaman awam, dan dalam masa yang sama mereka juga bimbang tentang risiko nuklear yang mungkin berlaku sekiranya pelancaran itu gagal.

Ketua Projek A119, Leonard Reiffel juga menyatakan bahawa tindakan meletupkan bulan dengan bom nuklear, boleh membawa kepada komplikasi lain seperti radiasi yang bakal menghalang kajian dan kemungkinan manusia untuk meneroka bulan di masa hadapan.

Dalam tahun 2010, selepas hampir 60 tahun selepas pembatalan projek itu, terdapat laporan menunjukkan bahawa pihak Soviet turut mempunyai rancangan yang serupa dengan projek A119. Rupanya perlumbaan dalam penerokaan angkasa lepas memainkan peranan besar ketika Perang Dingin, dan rancangan hampir serupa itu juga mengejutkan semua orang.

Jika kita buat perbandingan, program penerokaan angkasa lepas yang dijalankan oleh Soviet dilihat lebih terkehadapan berbanding NASA. Mereka kali pertama menghantar manusia ke angkasa, mereka juga yang pertama menghantar satelit, dan turut jadi orang pertama mempunyai kapal angkasa mengelilingi bulan.

Namun mujurlah Soviets juga membatalkan niat untuk jadi pihak pertama meletupkan bulan. Bayangkan jika kedua-dua kuasa besar ini meneruskan rancangan, tindakan itu mungkin menutup peluang manusia meneroka angkasa dengan lebih lanjut.

Tentu sekali Neil Armstrong tidak akan dapat mendarat dengan selamat di permukaan bulan pada tahun 1969 jika rancangan itu diteruskan. 

Rujukanhistory.com | abc.net

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan