Sejarah Sultan Ismail miliki lebih 1,000 anak kandung

SEKALI dengar macam tak masuk akal, namun itulah realitinya. Berdasarkan catatan sejarah, ada seorang raja di Morocco bernama Sultan Ismail yang mempunyai lebih 1,000 orang anak kandung sekaligus muncul sebagai individu paling ramai anak dalam sejarah manusia.

Moulay Ismail ben Sharif, dilahirkan di Sijilmassa, Morocco sekitar tahun 1645. Dia merupakan pemerintah kedua Dinasti Alaouite, dan keturunan diraja itu masih memerintah Morocco sampai ke hari ini. 

Ismail merupakan anak ketujuh daripada 15 adik beradik, dan pernah menjadi gabenor Kerajaan Fez dan utara Morocco dari tahun 1667 sehingga kematian saudara tirinya pada tahun 1672.

Menaiki tahta dan pemusatan ketenteraan

Sultan Ismail terkenal sebagai pemerintah yang sangat kejam. Dia mempamerkan 400 kepala puak pemberontak, yang telah dipenggal dan digantung di tembok istana Kerajaan Fez ketika mula-mula menduduki tahta.

Istana Sultan Moulay Ismail
FOTO | Tembok pintu gerbang masuk ke Istana Sultan Moulay Ismail

Sultan Moulay Ismail menduduki tahta selepas kematian anak saudaranya, Sultan Moulay Rashid ben Mehrez yang turut menuntut tahta berkenaan. Dia mencatatkan sejarah sebagai sultan paling lama memerintah Morocco iaitu selama 55 tahun, rekod yang belum dapat dipecahkan sampai ke hari ini.

Kerajaan Sultan Ismail antara paling popular disebut-sebut dalam sejarah kesultanan Morocco, bukan sahaja kerana paling lama memerintah, malah memiliki pasukan tentera paling kuat dan digeruni.

Sebelum Sultan Ismail menaiki tahta, raja-raja Morocco sebelum itu bergantung kepada pelbagai puak dan kabilah untuk mendapatkan bantuan 'sumber manusia' bagi tujuan peperangan. Puak dan kabilah ini pula sering kali memberontak, jika ada isu yang tidak mereka persetujui.

Semasa pemerintahannya pula, Sultan Ismail tidak lagi mengharapkan bantuan kabilah-kabilah ini, sebaliknya dia lebih bergantung kepada Guich iaitu kabilah istimewa yang diberi pelbagai kelebihan untuk mempertahankan wilayah Fez dan Pengawal Hitam, juga dikenali sebagai 'Abid al-Bukhari' (hamba-hamba Bukhari), pasukan tentera berkulit hitam yang mengabdikan diri kepada sultan.

Sultan Ismail juga mempunyai Armada laut yang besar terdiri daripada lanun-lanun di kota Salé Lama (kini dikenali sebagai Salé), dan Salé Baru (kini dikenali sebagai Rabat). Armada ini sentiasa membekalkan sultan dengan senjata-senjata buatan Kristian dan hamba-hamba hasil rompakan serta kegiatan lanun di laut Mediterranean dan seluruh Laut Hitam.

Kerajaan Morocco pada waktu itu juga telah membina hubungan diplomatik penting semasa pemerintahan Sultan Ismail, antaranya dengan Kerajaan Perancis, Britain, dan Sepanyol. Orang-orang Eropah pada waktu itu memanggilnya dengan gelaran "Raja berdarah" atau "pendahaga darah" disebabkan kekejaman dan kezalimannya tersebar sampai ke eropah. Namun di Morocco dia dikenali dengan gelaran "Raja Pahlawan".

Mempunyai lebih 1,000 orang anak kandung

Mengikut Guinness Book of World Records, Sultan Moulay Ismail mempunyai anak kandung seramai 888 orang, sekaligus muncul sebagai individu paling ramai anak kandung dalam sejarah manusia yang boleh disahkan.

Dalam sebuah catatan oleh Dominique Busnot, seorang diplomat Perancis yang sering mengikuti ekspedisi ke Morocco dalam tahun 1704, dia menyatakan bahawa Sultan Ismail mungkin mempunyai anak kandung seramai 1,171 orang hasil hubungannya dengan 4 orang isteri dan 500 gundik. 

Ketika catatan itu ditulis, Sultan Ismail berusia 57 tahun dan telah memerintah selama 32 tahun. Jumlah itu agak tinggi dan mencurigakan, justeru sepasukan saintis telah mencipta sistem simulasi untuk mengesahkan berapa kali Sultan Ismail perlu melakukan hubungan intim untuk memiliki anak yang begitu ramai, dan berapa ramai gundik yang diperlukan untuk tujuan itu.

Berdasarkan kajian simulasi yang dibangunkan oleh Jabatan Antropologi dari University of Vienna, Sultan Ismail perlu melakukan hubungan seks secara purata sebanyak 0.83 hingga 1.43 kali setiap hari untuk mendapatkan anak yang ramai seperti itu. Lagipun menurut para penyelidik itu, Sultan Ismail hanya memerlukan seramai 65 hingga 110 wanita untuk mencapainya (turut mengambil faktor kitaran haid wanita).

Meskipun mempunyai reputasi sebagai raja yang kejam dan zalim, Sultan Moulay Ismail turut mencipta sejarah buat kali pertama rakyat Morocco merasai keamanan di bawah pemerintahannya.

Zaman pemerintahannya dianggap sebagai zaman kegemilangan Morocco. Dia berjaya menyatupadukan negara dan meluaskan wilayah jajahannya serta melakukan pelbagai pembinaan bersejarah di seluruh wilayah kekuasaan.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan