Wanita dihukum penjara 43 tahun kerana hina raja

SEORANG wanita yang juga merupakan pesara kerajaan dijatuhkan hukuman penjara selama 43 tahun kerana menghina raja Thailand.

Para peguam berpendapat hukuman itu mencatat rekod sebagai hukuman paling berat pernah dijatuhkan di bawah undang-undang lese-majesty negara itu.

Anchan

Wanita yang sudah berumur sekitar 60 an itu dituduh memuat naik rakaman suara ke media sosial Facebook dan Youtube mengandungi komen yang mengkritik raja.

Pada peringkat awal, hukuman penjara yang dikenakan ialah selama 87 tahun, namun diturunkan separuh selepas wanita itu mengaku bersalah.

Di bawah undang-undang lese-majesty Thailand,  sesiapa yang "memfitnah atau mengugut raja, permaisuri, keturunannya atau wakil pengganti raja," bakal berdepan dengan hukuman penjara antara tiga hingga 15 tahun bagi setiap pertuduhan.

Wanita itu yang hanya dikenali sebagai Anchan, didapati bersalah atas 29 tuduhan melanggar undang-undang tersebut.

Kes itu bermula sejak 6 tahun lalu, namun hukuman dijatuhkan di saat pihak berkuasa Thailand berusaha menyekat gerakan pro demokrasi dipimpin oleh anak muda yang mencabar raja dan kerajaan hari ini.

Puluhan ribu penunjuk perasaan berkumpul tahun lalu mengkritik Raja Maha Vajiralongkorn dan mempersoalkan keluarga diraja yang mempunyai kuasa dan kekayaan besar.

Mereka mahukan perubahan, dan menyatakan hujah-hujah bahawa institusi itu perlu bertanggung jawab dan diletakkan di bawah perlembagaan.

Perbincangan di kalangan orang awam tentang keluarga diraja kini meningkat secara luar biasa. 

Pada peringkat awal pihak berkuasa tidak mendakwa para demonstran di bawah undang-undang lese-majesty, di mana Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha mengumumkan dalam bulan jun bahawa undang-undang itu tidak lagi digunakan disebabkan "belas kasihan tuanku".

Namun sejak bulan November, berpuluh-puluh demonstran telah didakwa di mahkamah di bawah undang-undang lese-majesty, termasuk seorang pelajar berusia 16 tahun.

Para penunjuk perasaan juga dituduh menghasut dan mengadakan perhimpunan yang melanggar perintah kawalan Covid-19.

Sunai Phasuk, seorang penyelidik kanan kumpulan hak asasi manusia Human Right Watch (HRW) berkata, hukuman yang dijatuhkan pada hari Selasa itu menghantar isyarat bahawa, bukan sahaja tiada toleransi dalam perbuatan mengkritik raja, malah mereka juga akan dikenakan hukuman berat.

Pakar dari Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengkritik undang-undang lese-majesty yang tidak mengambil kira kriteria fitnah dan hukuman yang berat. Siapa saja boleh memfailkan aduan terhadap orang lain di bawah undang-undang itu.

Anchan pada awalnya telah ditahan di penjara dari tahun 2015 hingga 2018, dan menafikan segala tuduhan ketika kes itu kali pertama disebut di mahkamah tentera, ketika pertuduhan di bawah lese-majesty itu dijalankan dalam tempoh selepas rampasan kuasa tahun 2014.

Anchan memberitahu media tempatan bahawa dia mengaku bersalah apabila kesnya dipindahkan ke mahkamah jenayah, dengan harapan mahkamah akan lebih bertimbang rasa disebabkan dia hanya berkongsi audio tersebut, dan tidak memberi apa-apa ulasan terhadapnya.

"Saya fikir tiada apa-apa. Begitu ramai orang yang berkongsi kandungan itu dan mendengarnya." katanya.

Menurut Anchan, dia "tidak berfikir dengan teliti dan terlalu yakin serta tidak cukup berhati-hati untuk menyedari bahawa sekarang bukanlah masa yang sesuai,"

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan