Apa sebenarnya maksud zaman prasejarah?

SERING kali kita dengar atau terbaca istilah prasejarah di mana-mana, di sekolah, dalam televisyen, internet dan lain-lain. Tapi saya pasti tak semua orang benar-benar faham apa maksud sebenar perkataan itu.

Secara asasnya, kalau kita lihat istilah 'prasejarah' itu sendiri, terdiri daripada dua perkataan iaitu 'pra' dan 'sejarah' mari kita teliti maksud atau makna dari segi bahasa terlebih dahulu.

Maksud 'pra'

Pra membawa maksud sebelum, perkataan ini juga digunakan dalam istilah lain seperti prasekolah, bermaksud sebelum masuk sekolah atau bahasa lain tadika.

Ada juga perkataan prauniversiti bermaksud program sebelum masuk universiti, seperti pusat asasi sains, matrikulasi dan tingkatan enam.

Maknanya perkataan 'pra' dalam istilah prasejarah membawa maksud sebelum sejarah. Jadi apa pula maksud sebelum sejarah?

Maksud 'sejarah'

Mari kita teliti dulu apa maksud istilah 'sejarah' pula. Dari segi bahasa, sejarah itu berasal dari perkataan inggeris 'history' dan perkataan 'history' itu pula diceduk daripada istilah latin historia.

Historia bermaksud penyiasatan atau merujuk kepada pemahaman yang diperolehi hasil siasatan. Lebih tepat penyiasatan atau kajian tentang peristiwa yang sudah berlaku.

Di mana kita boleh dapat hasil penyiasatan dan kajian masa lalu? Tentu sekali melalui catatan dan rekod orang-orang terdahulu, terutama ahli-ahli sejarah.

Jadi persoalannya sejak bila orang dahulu mula mencatat peristiwa atau kejadian lalu untuk dijadikan sejarah? Tentu sekali selepas mula adanya kemudahan menulis dan mencatat.

Jadi di sini jelas bahawa, sebelum manusia pandai menghasilkan kertas dan pensil untuk menulis, ada pelbagai peristiwa sejarah yang berlaku, namun ia tidak dicatatkan. Sejarah atau peristiwa itu ada, tapi tidak atau belum lagi dicatatkan.

Maka semua peristiwa sejarah manusia sebelum dicatatkan itulah yang disebut sebagai zaman prasejarah.

Bila zaman prasejarah?

Zaman prasejarah merujuk suatu zaman di antara zaman batu kira-kira 3.3 juta tahun lalu sehinggalah zaman ketika sistem penulisan mula wujud.

Penggunaan simbol-simbol, tanda-tanda, dan imej oleh manusia sudah lama wujud, namun manusia dipercayai mula menggunakan sistem penulisan sejak 5,300 tahun yang lalu. 

Lukisan Zaman Prasejarah
FOTO | Contoh lukisan zaman prasejarah 

Maka berdasarkan fakta ini, anda boleh simpulkan secara kasar bahawa zaman sebelum 5,300 tahun dahulu adalah zaman prasejarah.

Ribuan tahun masa diperlukan sebelum sistem penulisan digunakan secara meluas di kalangan manusia seluruh dunia.

Dalam sebilangan budaya manusia di dunia, sistem penulisan tidak digunakan sehinggalah abad ke-19 malah masih ada juga segelintir kecil bangsa atau budaya yang masih tidak ada sistem penulisan sampai ke hari ini.

Maka bangsa atau budaya seperti ini kita boleh anggap mereka masih lagi hidup di dalam zaman prasejarah bangsa mereka, kerana sejarah kehidupan mereka belum lagi dicatat secara teratur.

Ini bermakna tamatnya zaman prasejarah berbeza dari segi tarikh dan masa di tempat dan budaya yang berbeza, kerana ia diukur berdasarkan kewujudan sistem penulisan.

Penempatan Sumer di Mesopotamia, Lembah Indus serta Mesir Purba dipercayai tamadun yang mula-mula mempunyai sistem penulisan dan telah mencatatkan rekod sejarah mereka. Peristiwa ini berlaku ketika zaman gangsa. Tamadun-tamadun bersebelahan juga turut mengikutinya.

Namun kebanyakkan tamadun di dunia menamatkan zaman prasejarah mereka ketika zaman logam. Ketika mereka mula pandai menggunakan logam untuk manfaat harian barulah mereka menggunakan sistem penulisan.

Maka secara umum zaman prasejarah dibahagikan kepada tiga, iaitu zaman batu, zaman gangsa dan zaman logam.

Ada juga keadaan di mana sejarah sesebuah budaya itu ditulis oleh pihak lain, kerana budaya atau bangsa itu sendiri tidak mempunyai sistem penulisan. Keadaan ini dipanggil sebagai protosejarah.

Kita disimpulkan bahawa tiada sebarang catatan tentang manusia ketika zaman prasejarah, maka para penyelidik hari ini terpaksa menyiasat keadaan manusia zaman prasejarah berdasarkan sumber-sumber lain seperti, tembikar, bangunan lama, alatan memasak dan lain-lain untuk memahami kehidupan mereka ketika itu.

Rujukanwikipedia.org 

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan