Bagaimana lembu dan gadis-gadis beri inspirasi kepada ciptaan vaksin pertama dunia

VAKSIN keluaran Pfizer untuk mencegah jangkitan Covid-19, kini sudah diedarkan di pelbagai negara seluruh dunia. Jika kita rujuk sejarah, tidak pernah ada vaksin dihasilkan begitu cepat seperti vaksin coronavirus ini.

Kalau kita bandingkan tempoh masa ciptaan dan penghasilan vaksin pertama oleh manusia di dunia, lagilah tak masuk akal, bagaikan bumi dengan langit.

Covid-19 baru berusia sekitar setahun sejak ia mula-mula muncul menyerang manusia, namun vaksin untuk mencegah jangkitan virus itu sudah siap diedarkan dan jutaan orang sudah disuntik di pelbagai negara.

Sebelum ini manusia mengambil masa 10,000 tahun untuk menghasilkan vaksin bagi mencegah jangkitan virus cacar (smallpox), itupun selepas mendapat inspirasi daripada lembu-lembu, dan gadis-gadis pemerah susu.

Gadis perah susu

Virus cacar

Kes-kes awal jangkitan cacar dikesan sudah berlaku sejak ribuan tahun yang lalu di wilayah timur laut Afrika. Individu yang dijangkiti mengalami kerosakan nodus limfa, sumsum tulang, dan sel kulit serta menunjukkan simptom seperti muntah-muntah, demam dan ruam-ruam.

Kesan kudis dan parut sepanjang hayat menjadi petanda seseorang yang pernah dijangkiti oleh cacar.

Apabila seseorang dijangkiti oleh virus itu, maka dia mempunyai 30 peratus peluang untuk mati dalam masa seminggu selepas jangkitan. Jelas sekali jangkitan cacar 10 kali lebih teruk berbanding Covid-19 kita hadapi kini berdasarkan data-data sedia ada.

Perang Mesir–Hittite pada tahun 1250BC (Sebelum Masehi) telah memudahkan cacar merebak. Ketika itu Hittite telah membawa pulang tawanan Mesir yang dijangkiti cacar, sekaligus menyebabkan penyakit itu tersebar seluruh bandar, mengorbankan ramai orang termasuk raja Hittite sendiri.

Semakin hari cacar terus merebak ke seluruh dunia melalui para pedagang Mesir, perang salib, dan penjajahan oleh Empayar Sepanyol dan Portugal. Menerusi peristiwa-peristiwa itu, berbilion manusia telah terkorban akibat jangkitan cacar, di mana 400 juta daripadanya baru sahaja berlaku ketika abad ke-20 yang lalu.

Tiada penawar untuk melawan virus itu, namun ada beberapa cubaan awal dikesan bagi memberikan imunisasi kepada orang ramai bagi mengelakkan jangkitan cacar.

Percubaan awal imunisasi

Rawatan kali pertama terhadap cacar dicatatkan sekitar tahun 1022. Berdasarkan banyak sumber, seorang Sami Buddha dari pergunungan di barat daya negara China telah menggalakkan orang ramai supaya menghidu virus cacar yang telah dilemahkan.

Sami wanita itu mengambil kudis-kudis dari pesakit cacar yang berjaya hidup sebelum mengisar dan menumbuknya supaya menjadi serbuk halus, agar boleh dihidu oleh mana-mana individu untuk membina pertahanan daripada jangkitan cacar. 

Agak mengejutkan kerana idea "gila dan jijik" itu tampak berhasil.

Prosedur serupa juga pernah dilakukan oleh para doktor ketika awal tahun 1700 an, di mana sekali lagi kudis-kudis cacar diletakkan kepada kesan luka kecil di lengan individu yang belum pernah dijangkiti oleh cacar.

Kedua-dua prosedur itu dikenali sebagai variolasi dan terbukti mereka yang menjalani inokulasi dengan sisa-sisa cacar itu tidak akan dijangkiti. 

Namun malangnya, disebabkan prosedur itu dilakukan menerusi perkakas yang tidak bersih ketika itu, masih ada juga individu meninggal dunia akibat komplikasi selepas menjalani variolasi.

Prosedur itu mempunyai kadar kematian sekitar 3 peratus.

Ia mengambil masa selama 9 dekad seterusnya sebelum Edward Jenner mencipta vaksin kali pertama dalam sejarah manusia, selepas mendapat inspirasi daripada lembu dan gadis-gadis.

Ciptaan vaksin

Edward Jenner mula melakukan amalan rawatan dan perubatan ketika berguru daripada seorang pakar bedah. Pada masa itu dia terdengar perbualan gadis-gadis yang bekerja sebagai tukang perah susu lembu.

"Saya takkan kena cacar, sebab saya dah ada cacar lembu. Jadi muka saya takkan jadi hodoh dan berlubang-lubang,"

Ketika itu cacar lembu merupakan penyakit yang sering menjangkiti lembu-lembu di bahagian kulitnya dan jangkitan itu sangat mirip dengan cacar.

Jenner sedar wanita-wanita yang bekerja di ladang lembu dikatakan bakal dijangkiti oleh cacar lembu, dan tidak akan dijangkiti oleh cacar. Sisi positif jangkitan itu pula, jangkitan cacar lembu kurang berbahaya.

Jenner kemudian mengambil keputusan untuk menjalankan ujian terhadap teori imunisasinya. Jenner telah mengambil sampel-sampel dijangkiti cacar lembu dan telah menjangkiti anak lelaki tukang kebunnya berusia 8 tahun.

Jenner kemudian cuba menjangkiti kanak-kanak itu dengan virus cacar beberapa minggu kemudian. Meskipun tindakan itu tentu sekali tidak beretika, namun teorinya terbukti betul.

Mujurlah, kanak-kanak itu telah mendapat pertahanan seperti gadis-gadis pemerah susu, justeru talah kebal daripada jangkitan virus cacar. Jenner seterusnya telah menggunakan prosedur yang sama terhadap beberapa orang termasuk anak lelakinya sendiri, dan hasilnya serupa.

Edward Jenner vaksin anaknya

Jenner menamakan prosedur baru ciptaannya itu sebagai vaksin (vaccine) sempena perkataan latin "vacca," bermaksud "lembu". Dari situlah bermulanya ciptaan vaksin kali pertama dalam sejarah manusia.

Prosedur dilakukan oleh Jenner berbeza daripada variolasi yang telah diamalkan selama bertahun-tahun. Variolasi menggunakan virus cacar sebenar bertujuan meningkatkan sistem imun manusia, namun pemvaksinan menggunakan virus cacar lembu, yang jauh lebih rendah risikonya.

Selepas perdebatan panjang di kalangan komuniti perubatan, akhirnya prosedur vaksin itu diterima, dan kerajaan telah mengharamkan variolasi. Ketika itu kempen besar-besaran telah dijalankan untuk mempromosikan ciptaan Jenner itu ke seluruh dunia.

Akhirnya pada tahun 1979, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengistiharkan virus cacar berjaya dibasmi secara berkesan. Peristiwa itu mengambil masa lebih 10,000 tahun, namun manusia berjaya melawan virus dengan sedikit bantuan daripada sains, lembu-lembu, dan gadis-gadis.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan