Cara halau tikus paling mudah dan berkesan

ANDA pening bila terlalu banyak tikus di rumah? Lebih lagi kalau ada tikus mondok bersarang, lagilah haru. Berdasarkan pengalaman saya sendiri, cara terbaik adalah halau sahaja tikus kerana gunakan perangkap tikus sebenarnya tak menyelesaikan masalah. 

Bila ada tikus yang terperangkap, jadi satu kerja pula untuk kita buang tikus tu, kalau masih hidup nak bunuh pun tak sampai hati. 

perangkap tikus

Ada orang sanggup rendam tikus dalam air untuk bunuh dengan cara melemaskan haiwan itu. Tapi saya bukan jenis orang macam tu, saya lebih suka guna cara halau tikus dari rumah.

Lagi satu masalah bila kita tak ada di rumah, tapi ada pula tikus yang terperangkap. Balik sahaja ke rumah, sedar-sedar tikus tu dah jadi bangkai. Bila tikus mati, faham-faham sahajalah baunya busuk yang amat.

Perlu diketahui, kalau pun tikus di rumah tak menggangu makanan atau pakaian, haiwan ni memang jenis pembawa penyakit, jadi tak patut dibiarkan merayau kawasan rumah.

Cara menghalau tikus

Banyak petua tradisional yang saya gunakan sebelum ini, tak berapa menjadi, atau boleh katakan langsung tak boleh pakai, contohnya petua menghalau lipas gunakan timun. Saya tengok lipas makin bermaharaja lela, dia tak peduli langsung dengan timun tu.

Tapi petua halau tikus saya gunakan selama ini, nampaknya berjaya, mudah dan terbukti berkesan iaitu menggunakan daun pudina. Difahamkan tikus memang tidak suka dengan bau daun pudina, ini kerana tikus lebih bergantung kepada deria bau berbanding pandangan matanya.

Mata tikus termasuklah tikus mondok bukan organ deria yang baik, namun hidungnya sangat sensitif dan itulah sebabnya haiwan perosak itu boleh kesan walau di mana sahaja kita simpan makanan pasti dia boleh jumpa betul tak?

Daun pudina mempunyai bau berangin yang sangat kuat, walaupun kita manusia tak dapat kesan baunya tapi bagi seekor tikus bau daun pudina merupakan bencana baginya. Kerana bau itu dikatakan mengganggu deria hidungnya dan sangat tidak disukai oleh tikus.

Bagaimana caranya?

Jadi pemilihan daun pudina sebagai penghalau tikus memang cara yang terbaik. Tikus tak suka dan lari, manakala kita pun tak terganggu dengan baunya.

Caranya tidak susah, letakkan sahaja daun pudina di kawasan tikus selalu berkeliaran di rumah. Boleh letak di belakang almari, bawah katil, celah mesin basuh dan sebagainya.

Tak perlu letak banyak sangat pun. Berdasarkan pengalaman, saya letak dalam lima atau tujuh keping sahaja di tempat-tempat dikenal pasti tikus selalu berkeliaran.

Cuma satu kelemahan daun pudina ni, sampai masa ia akan kering dan hilang baunya, jadi anda perlu menukar dengan daun pudina baru yang lebih segar. Biasanya seminggu sekali kena tukar daun baru.

Dari mana nak dapat daun pudina?

Cara nak dapatkan daun untuk halau tikus, tak susah ada boleh beli di pasar atau di mana-mana pasaraya, kedai runcit pun ada jual. Kalau tak kenal rupa daun pudina, boleh tanya dengan orang. Harganya pun tak mahal.

Bagi mereka yang tinggal di kampung, biasanya daun pudina ada ditanam di kawasan kampung, boleh tanya dengan jiran-jiran. Lagipun petua menggunakan daun pudina untuk halau tikus ni memang sangat popular diamalkan sejak dahulu lagi, terutama di kawasan kampung.

Anda boleh juga tanam sendiri daun pudina dalam pasu, dan letakkan di kawasan tikus selalu berkeliaran. Pilihlah pasu yang cantik, boleh juga jadi hiasan. Tapi kena tahulah, daun pudina perlukan cahaya matahari, jadi tak bolehlah letak pokok tu di celah-celah dalam rumah.

daun pudina dalam pasu

Kalau susah sangat nak dapat daun pudina, atau malas nak tukar daun baru setiap minggu, anda boleh juga beli cecair pudina di mana-mana kedai. 

Tapi caranya sedikit berbeza. Anda boleh gunakan cebisan kain, rendam dalam cecair pudina, kemudian bungkus dengan kain di bahagian luarnya buat macam ala-ala sup bunjut. Lepas tu gantung atau letakkan sahaja di mana-mana tempat selalu nampak tikus merayau.

Tapi walaupun anda guna cecair pudina, lama kelamaan baunya tetap akan hilang. Bila baunya hilang, macam biasalah tetap kena tambah lagi cecair baru. Mana ada benda yang kekal di dunia ni kan?

Harap-harap petua ini dapat membantu anda. Boleh kongsikan juga kepada kawan-kawan. Semoga ada manfaat. 

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan