Gadis ini dibakar hidup-hidup kerana berkata benar

SEORANG gadis bernama Yaoya Oshichi hidup pada pertengahan tahun 1660-an sehingga tahun 1680-an di Edo (hari ini dikenali sebagai Tokyo), Jepun. Pada bulan Disember 1682 Yaoya Oshichi jatuh cinta dengan seorang pemuda di sebuah kuil bernama Ikuta Saemon.

Pemuda itu ditemuinya selepas peristiwa kebakaran besar melibatkan ribuan rumah dan harta benda musnah ketika Era Tenna (1681–1684). Rumah Yaoya Oshichi juga turut musnah dalam kebakaran itu, menyebabkan dia terpaksa tinggal di kuil berdekatan sebelum bertemu dengan Ikuta Saemon.

Pada tahun berikutnya, disebabkan terlalu berharap untuk bertemu dengan Ikuta Saemon lagi, Yaoya Oshichi sekali lagi cuba mewujudkan satu situasi yang pernah dialami sebelum ini, iaitu dia cuba membakar rumahnya.

Malangnya perbuatan itu diketahui oleh penduduk Edo, mengakibatkan Yaoya Oshichi ditangkap oleh pihak berkuasa dan diheret ke mahkamah atas cubaan mencetuskan kebakaran.

Membakar atau cubaan membakar, merupakan jenayah berat dan boleh dihukum bunuh pada waktu itu. Api merupakan ancaman paling besar di bandar Edo, disebabkan kebanyakan rumah didirikan daripada bahan-bahan binaan mudah terbakar.

Hakim cuba selamatkan Yaoya Oshichi

Hakim yang membicarakan kes itu tahu bahawa Yaoya Oshichi berumur 16 tahun. Mengikut peruntukan undang-undang ketika itu, mana-mana remaja berumur 16 tahun boleh dibicarakan sebagai orang dewasa terhadap jenayah berat, seterusnya mereka boleh dihukum bunuh.

Yaoya Oshichi
FOTO | Karya seni Jepun tentang kisah Yaoya Oshichi

Penetapan rekod kelahiran zaman itu agak samar, maka hakim mempunyai kuasa untuk menentukan umur berdasarkan pengakuan mulut tertuduh. Hakim pada masa itu mahu mengelakkan hukum bunuh dikenakan terhadap Yaoya Oshichi, tanpa melanggar sebarang protokol dan prosedur. 

Maka hakim berkenaan bertanya kepadanya:

"Umur kamu ni tentu 15 tahun?"

Ketika itu Yaoya Oshichi tidak faham bahawa hakim itu cuba menolongnya, dan dia pun menjawab dengan jujur:

"Umur saya 16 tahun,"

Hakim tercengang apabila mendapati Yaoya Oshichi tidak dapat menangkap petunjuk diberikannya, justeru hakim bertanya lagi sebagai pengesahan:

"Kamu ni tentu berumur 15 tahun, betul tak?"

Kali ini nampaknya, Yaoya Oshichi masih lagi tidak dapat menangkap bahawa jika dia menjawab sepatah perkataan "ya" sahaja pun, sudah memadai untuk tidak dikenakan hukuman bunuh. Sebaliknya Yaoya Oshichi menjawab:

"Tidak tuan saya berumur 16 tahun,"

Hakim berkenaan sudah cuba sedaya upaya menggunakan bidang kuasanya sebanyak dua kali untuk tidak melaksanakan undang-undang yang tertulis. Namun dia perlu melindungi kredibiliti dan integritinya.

Maka hakim tidak ada pilihan melainkan terpaksa menjatuhkan hukuman bunuh terhadap Yaoya Oshichi. Akhirnya Yaoya Oshichi dibakar hidup-hidup di Dataran Suzugamori pada 29 Mac 1683 atas jenayah yang dilakukan.

Pada zaman tersebut, hukuman seperti itu bukanlah perkara pelik di Jepun. Sepanjang 220 tahun (1651–1871) Dataran Suzugamori beroperasi, lebih 100,000 orang dihukum mati atas pelbagai kesalahan jenayah, seperti pemberontakan, konspirasi menentang kerajaan, dan penyebaran agama Kristian di Edo.

Sejarah Yaoya Oshichi mempengaruhi kelahiran rakyat Jepun.

Yaoya Oshichi dilahirkan pada tahun 1666, iaitu dalam tahun kuda dengan unsur api mengikut kalender orang Jepun. Kombinasi ini hanya muncul setiap 60 tahun sekali. Terbaru tahun kuda dengan unsur api berlaku pada tahun 1966.

Maka Yaoya Oshichi pada masa itu digelar sebagai Hinoe Uma. Perkataan itu jika diterjemahkan secara terus membawa maksud "kuda api".

Menurut kepercayaan masyarakat Jepun, Hinoe Uma mempunyai personaliti yang garang dan tegas. Disebabkan Yaoya Oshichi dicatatkan dalam sejarah sebagai seorang Hinoe Uma, dan dia telah dijatuhkan hukuman mati kerana cuba membakar bandar demi untuk bertemu dengan pujaan hatinya, maka orang-orang Jepun mengelakan sehabis mungkin untuk melahirkan anak dalam tahun Kuda Api.

Oleh kerana takut mendapat anak Hinoe Uma, kadar kelahiran rakyat Jepun semasa tahun tahun Hinoe Uma pada 1966 menurun dengan begitu mendadak sekali. Anda boleh rujuk graf berikut.

Graf kelahiran bayi di Jepun
FOTO | Pada tahun 1966, jumlah kelahiran bayi di Jepun turun mendadak


Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan