Ibu hamil kutip sampah raih sumbangan orang ramai RM113,500

SEBELUM ini tular di media sosial tentang kisah seorang ibu hamil menyelongkar tong sampah untuk menyara keluarganya. Kejadian itu telah meraih simpati orang ramai, tabung derma untuk Magdalena Hercules Manalu dilapor telah meraih kutipan RM113,500 hanya dalam masa 40 jam selepas dilancarkan.
$ads={2}
Wanita berusia 39 tahun itu, sanggup mengutip sampah, meredah kotor dan bau busuk bagi mencari rezeki menyara dua orang anaknya, berusia 9 dan 3 tahun. Suami kepada ibu hamil 7 bulan itu tidak dapat meneruskan kerja sebagai mekanik motosikal selepas terlantar akibat serangan angin ahmar sejak bulan Disember tahun lalu.

ibu hamil kutip sampah
FOTO | Ibu hamil 7 bulan kutip sampah demi menyara keluarga

Susulan kejadian itu, One Hope Charity and Welfare telah melancarkan tabung derma pada 6 Februari bagi membantu keluarga Magdalena. Kutipan dana berkenaan telah dihentikan hanya selepas dua hari kerana mendapat sambutan begitu menggalakkan.

Magdalena mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penderma yang telah menyumbang. Dia juga bersyukur, kerana tanpa derma itu dia tidak dapat merawat suami yang terlantar sakit. Namun dalam pada masa yang sama, Magdalena meminta orang ramai supaya berhenti memberi sumbangan kepadanya kerana dana diperlukan sudah mencukupi.

"Berikanlah derma kepada golongan yang lebih memerlukan kerana ketika ini sudah cukup untuk keperluan merawat suami saya. saya tak perlu lagi wang ringgit cuma minta doakan supaya urusan kami sekeluarga dipermudahkan," katanya.

Tambahnya lagi dia akan menggunakan bantuan itu untuk memulakan perniagaan online sebagai permulaan baru bagi menyara keluarga sebelum melahirkan bayi selama menunggu suaminya Choong Nai Fatt, 44 sembuh seperti sediakala.

Wanita berasal dari Medan Indonesia itu tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada bantuan orang ramai kerana merasakan dirinya masih bertenaga untuk mencari rezeki.

Menurut Chua Sui Hau, Pengerusi One Hope Charity and Welfare, Magdalena akan menggunakan dana itu untuk membiayai rawatan memasang semula tempurung kepala baru untuk suaminya, berharga RM45,000 di Hospital Pantai tidak termasuk rawatan fisioterapi dan lain-lain kos.

Sebelum ini Choong pernah menjalani pembedahan membuka tempurung kepala di Hospital Pulau Pinang (HPP) sekitar bulan Disember tahun lepas.

Tambah Chua lagi, jika terdapat dana berlebihan, mereka akan menyalurkan kepada keluarga Choong secara bulanan mengikut keperluan sehingga dana itu habis digunakan. 

Tambahnya lagi, baki dana itu tidak akan diserahkan sekali gus, kerana berdasarkan pengalaman lalu wang tersebut akan habis digunakan sekelip mata, selain mengelakkan pihak lain yang mungkin mengganggu keluarga berkenaan untuk meminta wang tersebut.

Difahamkan terdapat juga pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan di internet dengan menyamar sebagai ahli keluarga Choong untuk merayu sumbangan.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan