Kenapa Bangsa Rom benci pakai seluar?

DALAM dunia hari ini pelbagai jenis pakaian yang dikenakan oleh manusia di seluruh dunia. Tapi saya percaya seluar adalah antara pakaian paling banyak dikenakan dan diterima sebagai pakaian biasa oleh mana-mana bangsa di seluruh dunia.

Namun rupa-rupanya, penerimaan terhadap seluar tidak sentiasa sama sepanjang zaman. Contohnya pemakaian seluar sangat dibenci ketika zaman pemerintahan Rom. Mari kita lihat apa sebab Bangsa Rom sangat membenci pakaian yang begitu ikonik ini.

Fesyen pakaian bangsa Rom

Pakaian ketika zaman Rom purba, tidak begitu banyak variasinya. Salah satu sebab kerana pelbagai halangan yang wujud, dalam produksi pakaian itu sendiri. 

Wanita dan lelaki bangsa roman memakai beberapa jenis pakaian popular dan begitu dikenali umum. Salah satu pakaian ikonik untuk lelaki ketika itu ialah 'toga' iaitu kain jenis berat diperbuat daripada bulu. 

Toga Pakaian Bangsa Rom
FOTO | Pakaian Bangsa Rom 'Toga'

Pakaian itu dikenakan oleh majoriti lelaki warganegara Rom, di mana ia menutup seluruh badan namun bahagian tangan kanan dibiarkan terbuka bagi membolehkannya bergerak bebas. Perbezaan warna kain pula membezakan kelas sosial seseorang.

Wanita Roman pula biasanya memakai 'stola' sejenis jubah panjang dari leher sehingga ke paras buku lali. Wanita golongan kaya memakai jubah yang dibuat daripada kain jenis mahal.

Gaya berpakaian ini dipercayai meniru tamadun Greek, kerana mereka sangat mengiktiraf bangsa Greek sebagai masyarakat hebat dan mempunyai nilai kemanusiaan tinggi.

Perbezaan umur memberikan citarasa berpakaian berbeza di kalangan bangsa Rom, sama saja seperti bangsa lain di dunia. Mereka memilih pakaian supaya kelihatan lebih cantik dan menarik, sama seperti hari ini. 

Namun bagi bangsa Rom, tidak ada pakaian yang lebih dibenci dan begitu menjijikkan di mata mereka melainkan seluar.

Pakaian bangsa pribumi dari Gaul

Dalam catatan De Bello Gallico, Caesar pernah menulis bagaimana dia bertempur dengan sejenis bangsa dari Gaul, digambarkan sebagai puak tidak bertamadun, buas dan liar.

Bangsa dari Gaul turut dijajah oleh empayar Rom sama seperti banyak lagi wilayah-wilayah lain. Bangsa pribumi Gaul kemudiannya diserap masuk ke dalam populasi Rom menerusi penaklukan dan dijadikan hamba oleh orang-orang Rom. Namun penampilan bangsa Gaul ini begitu menarik minat penduduk tempatan.

Orang Gaul
FOTO | Lelaki bangsa Gaul ditawan oleh tentera Rom dalam filem Barbarians

Contohnya para wanita Roman gemar memotong rambut berwarna perang hamba-hamba mereka untuk dijadikan rambut palsu, yang kemudiannya menjadi simbol fesyen orang-orang kaya.

Namun ahli-ahli politik Roman yang pakar dalam propaganda memerlukan alat untuk membezakan golongan bukan Roman ini. Salah satunya ialah budaya cara berpakaian dan kelakuan mereka.

Lelaki-lelaki pribumi datang dari Gaul mengenakan pakaian diperbuat daripada kulit binatang, dan mereka juga memakai seluar. 

Ahli-ahli politik Rom ketika itu menanam kepercayaan kepada rakyatnya bahawa, pemakaian seluar melambangkan bangsa ynag tidak bertamadun, buas, liar dan bersifat barbarik.

Menerusi kaedah manipulasi politik inilah, pihak musuh dapat dibezakan secara jelas daripada cara mereka berpakaian. Maka rakyat Roman yang merasakan diri mereka lebih bertamadun dan mulia, tidak mahu disamakan dengan golongan liar dan buas seperti bangsa dari Gaul ini.

Inilah sebabnya majoriti penduduk Rom Purba sangat membenci dan memandang jijik bangsa yang memakai seluar.

Namun perlahan-lahan, pemerintahan Rom akhirnya menerima pemakaian seluar selepas empayar itu akhirnya mempunyai tanggung jawab kebajikan kepada semua rakyatnya. 

Inilah salah satu contoh bagaimana fesyen dan cara berpakaian rakyat sesebuah negara, sebenarnya tertakluk kepada keputusan dan manipulasi politik pemerintah.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan