Kisah Marianne Bachmeier menembak mati pembunuh anaknya dalam mahkamah

PADA 6 Mac 1981, Marianne Bachmeier telah menembak mati Klaus Grabowski, dalam mahkamah di depan khalayak ramai, ketika lelaki itu sedang menjalani perbicaraan tuduhan merogol dan membunuh anak perempuannya berusia tujuh tahun.

Suspek kes rogol dan bunuh berusia 35 tahun itu maut selepas menerima enam das tembakan. Sejurus selepas peristiwa itu, Bachmeier menjadi terkenal seluruh negara. Orang ramai mengikuti rapat perbicaraan yang dikenakan terhadapnya selepas itu.

Marianne Bachmeier
FOTO | Marianne Bachmeier

Empat puluh tahun kemudian kes itu masih segar dalam ingatan orang ramai. Media Jerman NDR menyifatkan peristiwa itu sebagai "kes menegakkan keadilan paling hebat dalam sejarah pasca-perang di Jerman,"

Anak perempuan Marianne Bachmeier dibunuh

Sebelum dinobatkan sebagai "ibu pembalas dendam" Marianne Bachmeier merupakan seorang ibu tunggal, yang bergelut meneruskan hidup dengan bekerja dalam sebuah pub di Lubeck, sebuah bandar terletak di barat Jerman. Dia tinggal bersama anak ketiganya, Anna selepas dua orang lagi anaknya telah diserahkan menjadi anak angkat.

Anna diceritakan sebagai seorang kanak-kanak yang "periang dan berfikiran terbuka," namun sebuah tragedi menimpanya, dan dia ditemui mati pada 5 Mei 1980.

Berdasarkan laporan NDR, kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun itu tidak hadir ke sekolah selepas bertengkar dengan ibunya, ketika hari kejadian. Entah bagaimana dia boleh berada bersama jirannya seorang lelaki penjual daging, bernama Klaus Grabowski yang mempunyai rekod jenayah mencabul kanak-kanak sebelum ini.

Pegawai penyiasat kemudiannya mendapati Grabowski telah menyembunyikan Anna di rumah selama berjam-jam sebelum mencekik lehernya menggunakan seluar dalam. Tidak dapat dipastikan samada dia telah merogol Anna ataupun tidak. Mayat kanak-kanak malang itu kemudiannya dimasukkan ke dalam sebuah kotak kadbod dan ditinggalkan di tebing sebatang parit berhampiran.

Grabowski telah ditahan petang itu selepas tunangnya membuat laporan kepada pihak polis. Dia mengaku melakukan pembunuhan itu, namun menafikan ada merogol kanak-kanak tersebut. Sebaliknya, dia memberikan cerita pelik dan tidak masuk akal.

Pembunuh itu mendakwa dia mencekik Anna selepas kanak-kanak itu cuba mengugutnya. Kata Grabowski, Anna cuba menggodanya dan mengugut untuk memberitahu ibunya bahawa dia telah mencabulnya jika enggan memberikan wang.

Marianne Bachmeier, sangat marah mendengar cerita itu, dan setahun kemudian ketika Grabowski menjalani perbicaraan kes bunuh tersebut, ketika itulah wanita itu mengambil kesempatan untuk membalas dendam.

Marianne Bachmeier membalas dendam

Pembicaraan itu mungkin sangat menyakitkan hati Bachmeier. Pihak pembelaan mendakwa anak guamnya bertindak demikian kerana ketidakseimbangan hormon, akibat rawatan hormon diterimanya selepas secara sukarela dikembiri beberapa tahun sebelum itu.

Ketika itu penjenayah seksual di Jerman biasanya akan menjalani proses kembiri (membuang testis), bagi mengelakkan jenayah berulang. Namun ia tidak berlaku kepada Grabowski, sebaliknya dia dikembiri atas kerelaannya sendiri.

Ketika hari ketiga perbicaraan berlangsung di mahkamah daerah Lubeck, Marianne Bachmeier menyeluk dan mengeluarkan sepucuk pistol jenis Beretta .22-calibre dari beg tangannya sebelum menarik picu sebanyak lapan kali, enam daripada tembakannya terkena Grabowski, dan lelaki itu mati tersembam di lantai mahkamah.

Marianne Bachmeier dibicarakan

Marianne Bachmeier telah dibicarakan kerana membunuh Grabowski. Semasa perbicaraan dia mengaku menembak Grabowski dalam keadaan bermimpi selepas melihat wajah anak perempuannya di dalam mahkamah. 

Seorang doktor yang menjalankan pemeriksaan memberitahu mahkamah bahawa Bachmeier telah diminta menulis di atas sekeping kertas bagi tujuan pemeriksaan.

Ketika itu dia menulis: "Ibu lakukan ini untuk kau Anna," dan dia turut menghias tulisan itu dengan tujuh lukisan hati (love), mungkin bagi mewakili tujuh tahun umur Anna.

Ketika memberi keterangan di dalam mahkamah, Bachmeier berkata ketika itu dia tahu Grabowski akan memberi kenyataan, dan dia tidak sanggup mendengar penipuannya.

Marianne Bachmeier ketika itu menjadi tumpuan orang ramai. Kes perbicaraannya mendapat perhatian antarabangsa kerana tindakan kejam meletakkan undang-undang di tangannya sendiri.

Perbicaraan Marianne Bachmeier
FOTO | Perbicaraan Marianne Bachmeier mendapat perhatian antarabangsa

Majalah mingguan Jerman Stern telah menerbitkan beberapa artikel tentang perbicaraan itu, dengan menggali lebih mendalam tentang kehidupan Bachmeier sebagai seorang ibu tunggal yang bergelut demi kelangsungan hidup. 

Bachmeier dilaporkan telah menjual kisahnya kepada majalah berkenaan dan menerima sekitar US$158,000 bagi menampung kos perundangan sepanjang perbicaraan itu.

Majalah berkenaan menerima sambutan luar biasa dari kalangan pembaca. Ramai pihak yang bersimpati dengan nasibnya, namun mengecam perbuatan kejam dilakukannya itu.

Selain itu kes tersebut turut mencetuskan perdebatan perundangan yang hangat, sama ada tindakan itu boleh dianggap sebagai pembunuhan atau membunuh tanpa niat. Kedua-dua perbuatan jenayah itu membawa kepada hukuman yang berbeza jika sabit kesalahan.

Beberapa dekad kemudian salah seorang rakan Bachmeier, telah menerbitkan sebuah dokumentari berhubung kes tersebut, dan mendedahkan bahawa dia pernah menyaksikan Bachmeier menjalankan latihan sasar menembak dengan sepucuk pistol dalam bilik bawah tanah di pub tempat dia bekerja.

Mahkamah akhirnya mensabitkan Bachmeier atas kesalahan membunuh tanpa niat dan menjatuhkan hukuman penjara selama enam tahun pada 1983.

Marianne dibebaskan dari penjara

Berdasarkan tinjauan dijalankan oleh Allensbach Institute, majoriti 28 peratus rakyat Jerman menganggap hukuman 6 tahun penjara sebagai setimpal atas kesalahan dilakukannya. Manakala 27 peratus lagi menganggap hukuman itu terlalu berat, dan 25 peratus lagi berpendapat ia terlalu ringan dan tidak setimpal.

Pada bulan Jun 1985, Marianne Bachmeier telah dibebaskan dari penjara selepas menjalani separuh daripada hukumannya. Dia telah berhijrah ke Nigeria, berkahwin dan tinggal di sana sehingga tahun 1990-an. Selepas bercerai dengan suaminya, Bachmeier berpindah ke Sicily dan tinggal di sana sehingga disahkan menghidap barah pangkreas.

Ketika menjalani sisa hidup, Bachmeier meminta Lukas Maria Bohmer seorang wartawan NDR untuk merakam minggu-minggu terakhir hidupnya. Bachmeier meninggal dunia pada 17 September 1996, dan dikebumikan bersebelahan kubur anak perempuannya Anna.


Rujukan | upi.com | ndr.de 

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan