Lima cara menang pilihanraya diamal ahli politik sejak 2,000 tahun dahulu

SETIAP kali menjelang musim pilihanraya, kita dapat saksikan gelagat ahli-ahli politik atau jentera parti-parti politik berceramah dan berkempen menggunakan pelbagai cara untuk meraih undi daripada rakyat.

Jika anda perasan kaedah dan pendekatan yang digunakan mereka untuk meraih undi, biasanya seakan-akan sama, tidak kira lambang parti mana yang diwakili oleh setiap calon wakil rakyat yang bertanding.

Terdapat lima kaedah atau pendekatan yang begitu ketara digunakan oleh ahli politik bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia bagi meraih undi pada setiap kali musim pilihanraya.

Malah kelima-lima pendekatan ini sebenarnya sudah diamalkan oleh ahli-ahli politik yang bertanding merebut jawatan awam sekurang-kurangnya sejak lebih 2,000 tahun lalu.

Marcus Tullius Cicero
FOTOMarcus Tullius Cicero (106BC - 42BC)

Ahli-ahli politik menggunakan lima kaedah ini dalam kempen-kempen mereka kerana kelima-lima kaedah ini telah terbukti berkesan dan berjaya sejak ribuan tahun dahulu. Malah kaedah ini masih berkesan sampai ke hari ini, untuk memancing dan mendapatkan undi. Sebab itulah mereka masih terus menggunakannya.

Mari kita teliti satu persatu.

1. Menabur pelbagai janji

Setiap kali berkempen untuk meraih undi, ahli politik yang menjadi calon bertanding pasti akan menabur pelbagai janji kepada para pengundi.

Mereka akan menabur sebanyak mungkin janji untuk dilaksanakan sekiranya dipilih untuk menjadi wakil rakyat sama ada ahli parlimen (MP) atau ahli dewan undangan negeri (Adun).

Bermacam istilah dan pendekatan digunakan untuk menabur janji. Ada yang menyebutnya sebagai manifesto, dan ada juga menggelarkan ia sebagai akujanji.

Apa pun bahasa atau panggilan yang digunakan, tujuannya tetap sama iaitu untuk menabur janji kepada para pengundi.

Para pengundi pula memang ternanti-nanti janji yang akan ditabur oleh calon-calon bertanding. Jika seseorang calon itu tidak menabur janji, maka dia dianggap tidak mempunyai visi dan misi yang jelas untuk kawasan yang ditandingi.

Janji-janji yang ditabur oleh calon-calon akan ini akan dibandingkan oleh pengundi dan dijadikan kayu pengukur untuk menentukan pihak mana yang patut dipilih dan diundi sebagai wakil rakyat.

2. Membodek pengundi

Ketika musim kempen pilihanraya, waktu inilah kita boleh lihat calon-calon bertanding akan masuk ke ceruk-ceruk kampung, bersalaman dan bertegur sapa dengan pengundi.

Dalam ceramah-ceramah pula, mereka akan memuji dan membodek bakal pengundi dengan pelbagai kata-kata manis dan pujian.

Tujuan memberi kata-kata manis dan pujian ini tidak lain dan tidak bukan merupakan taktik untuk meraih undi.

Jika bukan kerana musim pilihanraya, calon-calon ini tidak akan datang bertemu dan mengeluarkan pelbagai pujian dan kata-kata manis kepada penduduk kawasan yang ditandingi.

3. Memberi harapan

Ahli politik akan memberikan harapan kepada para pengundi, supaya dapat meletakkan dirinya sebagai tempat orang ramai bergantung harap dan menaruh kepercayaan.

Pengundi akan memilih siapa calon dirasakan boleh dipercayai dan diharapkan. Justeru pendekatan ini akan membantu pengundi membuat keputusan ketika mengundi nanti.

4. Menyerang dan memanipulasi kelemahan pihak lawan

Taktik ini juga selalu dapat kita lihat dalam setiap kali kempen pilihanraya. Seorang calon akan memanipulasi kelemahan calon pihak lawan untuk melakukan serangan.

Tujuan serangan terhadap pihak lawan ini dilakukan tidak lain dan tidak bukan untuk menonjolkan diri dan mendapat kelebihan di dalam meraih undi daripada rakyat.

Mereka akan menyerang calon lawan yang bertanding dengan harapan pengundi akan merasakan mereka calon yang lebih baik, dan lebih layak diundi.

5. Mengungkit jasa dan pemberian

Ini juga antara taktik sering kita lihat dilakukan di kalangan ahli-ahli politik. Pelbagai cara mengungkit jasa dan pemberian mereka kepada rakyat.

Ada yang secara terang-terangan menyebut jasa-jasa yang pernah mereka lakukan terhadap rakyat, dan ada juga mengungkit secara 'senyap' atau 'tersembunyi'.

Sebab itu sering kita lihat barang-barang pemberian atau bantuan ditampal dengan gambar-gambar bersaiz besar ahli parlimen atau Adun ditampal pada bungkusan bantuan mereka.

Semua ini niatnya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memastikan bakal pengundi ingat apa yang telah mereka lakukan sebelum ini, supaya pengundi rasa terhutang budi dan sudah sampai masanya membalas budi dalam bentuk undi dan sokongan.

Lima kaedah untuk menang pilihanraya ini ada ditulis dalam risalah tulisan Quintus Tullius Cicero, adik kepada orator dan pemimpin Rom terkenal Marcus Tullius Cicero lebih 2,000 tahun dahulu.

Buku itu telah diterjemah semula dalam bahasa Inggeris dan dicetak menjadi sebuah buku popular berjudul "HOW TO WIN AN ELECTION An Ancient Guide for Modern Politicians"

Ramai juga ahli-ahli politik merujuk kepada buku ini untuk menggerakkan kempen mereka sejak beratus tahun dahulu.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan