Satu masa dahulu para doktor tolak amalan cuci tangan

HARI ini amalan mencuci tangan sangat sinonim dengan kehidupan manusia seluruh dunia, lebih-lebih lagi selepas wabak Covid-19 melanda dunia, kerajaan mewajibkan amalan cuci tangan dengan pembasmi kuman sebagai norma baru dan kemestian dalam kehidupan harian.

Amalan mencuci tangan boleh menghindarkan diri kita daripada pelbagai makhluk seni seperti bakteria dan virus berbahaya, terutama kuman-kuman punca penyakit berjangkit. Namun pengetahuan tentang amalan mencuci tangan dapat mencegah jangkitan ini rupa-rupanya baru sahaja diketahui oleh manusia.

Cuci tangan

Sukar untuk dipercayai, tapi inilah realitinya, suatu masa dahulu para doktor merawat pesakit pun menolak amalan cuci tangan sebelum menjalankan sebarang prosedur rawatan terhadap pesakit.

Ignaz Philipp Semmelweis bapa amalan mencuci tangan

Ada sebuah monumen ukiran batu menggambarkan seorang lelaki berdiri bersama wanita sedang menyusukan bayi, dan beberapa orang bayi di kelilingnya. Monumen itu terletak di Hospital Szent Rókus, Budapest Hungary.

Ignaz Philipp Semmelweis

Pada mulanya saya tertanya-tanya, apa sebenarnya mesej yang cuba disampai oleh monumen itu? Biasanya ukiran tugu seperti ini dihasilkan, tentu sekali kerana ada peristiwa penting yang perlu diingati atau ingin disampaikan kepada generasi akan datang.

Selepas saya mencari maklumat di internet, barulah saya tahu, lelaki dalam ukiran itu adalah Ignaz Philipp Semmelweis, orang yang mula-mula menyedari tentang kebaikan amalan mencuci tangan. Namun rupa-rupanya ada cerita sedih dan tragik ketika Semmelweis mula-mula menemui perkara itu dan sebelum amalan itu diterima oleh semua pengamal perubatan.

Bagaimana Semmelweis tahu kebaikan cuci tangan?

Kepentingan dan manfaat mencuci tangan sebenarnya baru saja diterima tidak berapa lama dahulu oleh masyarakat dunia, terutama ketika pandemik. Perkara itu disedari dalam tahun 1847, oleh Semmelweis, namun ketika itu para doktor tidak percaya dan menolak amalan mencuci tangan ketika pembedahan dan merawat pesakit sehinggalah lewat tahun 1890 an.

Ignaz Philipp Semmelweis merupakan seorang doktor yang bekerja di Vienna General Hospital pada tahun 1840 an. Hospital itu mempunyai dua wad tempat wanita bersalin. Wad pertama dikendalikan oleh para doktor dan pelajar perubatan, manakala wad satu lagi dikendalikan oleh para bidan.

Ignaz Philipp Semmelweis

Ketika itu Semmelweis membuat pemerhatian mengapa begitu ramai ibu-ibu yang mati akibat puerperal fever (demam nifas) selepas melahirkan anak di dalam wad dikendalikan oleh para doktor dan pelajar perubatan berbanding wad dikendalikan oleh para bidan.

Jumlah dalam wad dikendalikan oleh para doktor dan pelajar perubatan 5 kali ganda kematian lebih banyak berbanding wad satu lagi yang dikendalikan oleh bidan.

Tapi kenapa?

Justeru Semmelweis membina beberapa hipotesis dan cuba mencari perbezaan di antara kedua-dua wad berkenaan, seterusnya mengeluarkan mana-mana idea tidak berkaitan.

Contohnya, Semmelweis mendapati perbezaan bawa kebanyakkan wanita melahirkan bayi secara terlentang dalam wad dikendali oleh doktor, manakala dalam wad bidan, mereka bersalin secara mengiring. Idea itu dilihat tidak ada kaitan dengan kematian.

Pada peringkat awal Semmelweis merasa tertekan kerana gagal menemui jawapan sehingga terpaksa mengambil cuti dan melancong ke Venice untuk menenangkan fikiran.

Namun ketika Semmelweis kembali semula bertugas, satu berita sedih namun sangat penting sedang menunggunya di hospital.

Salah seorang rakan sekerjanya, yang juga merupakan ahli patologi, telah jatuh sakit dan meninggal dunia. Perkara itu memang sering kali berlaku di kalangan ahli patologi.

Rakannya itu mati selepas jarinya terluka ketika melakukan bedah siasat terhadap mayat. Dia seterusnya mengalami demam yang teruk sebelum meninggal dunia.

Selepas membuat penelitian terhadap simptom  penyakit dihidapi oleh ahli patologi itu, akhirnya Semmelweis sedar bahawa punca kematiannya sama seperti wanita yang dibedahnya.

Ini bermakna, ahli patologi itu telah menghidap demam nifas yang teruk sebelum meninggal dunia, sama seperti kebanyakan wanita yang mati bersalin dalam wad sebelum ini.

Namun perkara itu masih belum memberi jawapan persoalan asal di fikiran Semmelweis, "mengapa lebih ramai wanita mati bersalin di wad doktor berbanding wad bidan,"

Akhirnya kematian ahli patologi itu memberikan Semmelweis petunjuk.

Perbezaan ketara antara wad doktor dan wad bidan ialah, para doktor dan pelajar perubatan sering kali manjalankan kegiatan membedah mayat, manakala bidan tidak melakukan perkara itu.

Maka Semmelweis membina satu hipotesis bahawa terdapat sejenis zarah atau cebisan daripada mayat yang melekat pada tangan para doktor dan pelajar sebelum mereka mengendalikan wanita bersalin. 

Zarah itu kemudiannya berpindah kepada wanita bersalin yang dikendalikan mengakibatkan mereka demam teruk sebelum meninggal dunia.

Jika hipotesis Semmelweis itu betul, maka menyingkirkan zarah-zarah dan cebisan mayat dari tangan para doktor dan pelajar sebelum menguruskan kelahiran tentu akan mengurangkan kadar kematian.

Maka Semmelweis telah mengarahkan semua petugas perubatan untuk mula mencuci tangan dan peralatan perubatan, bukan sahaja dengan sabun, malah menggunakan larutan klorin.

Klorin sampai ke hari ini merupakan salah satu pembasmi kuman terbaik. Namun ketika itu Semmelweis langsung tidak tahu tentang istilah kuman atau 'germs' kerana pengetahuan microbiologi belum lagi ditemui.

Semmelweis memilih larutan klorin kerana pada fikirannya itulah cara terbaik untuk menyingkirkan segala bau dan cebisan zarah yang melekat pada tangan selepas menyentuh mayat.

Selepas arahan itu dilaksanakan, kadar kematian ibu-ibu bersalin akibat demam nifas menurun secara mendadak.

Apa yang ditemui oleh Semmelweis itu masih diamalkan sampai ke hari ini oleh para pengamal perubatan. Mencuci tangan adalah amalan paling penting dalam dunia perubatan. Ia dapat mengelakkan kanak-kanak daripada demam, mengekang penyebaran penyakit, dan menyekat pelbagai jenis jangkitan.

Amalan mencuci tangan ditolak oleh para doktor

Semmelweis telah mewajibkan amalan mencuci tangan dengan pembasmi kuman di kalangan doktor yang bekerja dengannya di Vienna Medical Hospital.

Semmelweis kemudian mengenengahkan penemuan tentang amalan mencuci tangan sebagai langkah menghalang penyebaran penyakit kepada seluruh komuniti perubatan menerusi persidangan, akhbar dan sebuah buku.

Malangnya, saranan itu ditolak dan menerima pelbagai kritikan dari para doktor dan pengamal perubatan.

Disebabkan oleh kurangnya pemahaman perubatan ketika itu, teori Semmelweis sukar untuk diterima oleh komuniti perubatan, kerana ia seolah-olah menuduh para doktor sebenarnya menyebarkan penyakit dan menjadi punca kepada kematian pesakit.

Akhirnya Semmelweis bukan sahaja menerima kritikan teruk, malah dipecat daripada jawatannya sebagai doktor di hospital. 

Namun Semmelweis tetap menyeru para doktor di Eropah supaya membasuh tangan mereka menggunakan klorin, namun tiada siapa yang mempedulikan nasihatnya. 

Selepas bertahun-tahun seruannya tidak dipedulikan, Semmelweis merasa marah dan mengalami tekanan perasaan. Dalam tahun 1865 ketika berusia baru 47 tahun, Ignaz Semmelweis telah dihantar ke hospital mental.

Semmelweis dipercayai telah dipukul dan meninggal dunia akibat sepsis, sejenis komplikasi akibat jangkitan dalam saluran darah. Secara asasnya Semmelweis mati akibat penyakit yang sama cuba dicegahnya daripada menjangkiti ibu-ibu selepas bersalin.

Penemuan Semmelweis akhirnya diiktiraf

Selepas lebih 50 tahun sejak Semmelweis menemui kepentingan membasuh tangan, akhirnya komuniti perubatan menerima nasihatnya selepas teori microbiologi ditemui.

Bayangkan berapa banyak nyawa boleh diselamatkan sekiranya pada waktu itu komuniti para doktor menerima nasihat Semmelweis.

Amalan membasuh tangan yang kita pandang ringan hari ini sebenanya mempunyai sejarah yang begitu tragik dan menyedihkan.

Lebih 100 tahun kemudian, Budapest University of Medicine telah menukar namanya kepada Semmelweis University dalam tahun 1969, sebagai tanda ingatan dan penghormatan kepada Ignaz Philipp Semmelweis.

Rujukannpr.org | embryo.asu.edu

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan