Sejarah asal-usul sukan badminton

BADMINTON dipercayai berkembang daripada permainan purba 'battledore' (menggunakan sejenis raket berbentuk kayu), dan bulu tangkis. Permainan ini sudah bermula sejak lebih 2,000 tahun dahulu di zaman purba Greek, China, Jepun, India dan Siam.

Golongan petani juga turut memainnya ketika zaman pertengahan (mediaval) di England pada abad ke-16, dan pada ketika itu permainan ini sangat popular di kalangan kanak-kanak.

Battledore dan Bulu Tangkis
FOTO | Battledore 

Ketika abad ke 17, 'battledore' atau juga dikenali sebagai 'jeu de volant' merupakan salah satu permainan mengisi waktu senggang kelas di negara-negara Eropah.

Battledore
FOTO | Battledore

Permainan ini melibatkan dua orang individu menggunakan raket kayu untuk memukul bulu tangkis berselang seli secara bertentangan sebanyak kali yang mungkin, tanpa membenarkan bulu tangkis jatuh itu ke tanah.

Sebuah keluarga di Somerset, England pernah mencatatkan rekod memukul bulu tangkis sebanyak 2117 kali tanpa jatuh ke tanah dalam tahun 1830.

Bagaimana bulu tangkis itu sendiri dicipta masih kekal misteri. Namun salah satu penjelasan yang masuk akal ialah, individu pada masa itu mungkin menyimpan bulu angsa atau itik untuk tujuan penulisan, atau lain-lain kegunaan, dengan cara mencucuknya pada gabus atau bahan lain yang serupa.

Bulu Tangkis
FOTO | Bulu tangkis

Kemudian berlaku kejadian gabus dan bulu-bulu itu mungkin dilontar oleh seseorang atau terjatuh menyebabkan orang pada waktu itu sedar kebolehannya terbang dengan stabil sedemikian rupa untuk dijadikan permainan.

Bagaimana permainan battledore berkembang kepada sukan badminton juga tidak dapat dipastikan. Namun nama 'badminton' itu sendiri berasal daripada 'Badminton House' rumah Duke of Beaufort terletak di Gloucestershire (sebuah daerah di barat daya England). 

Badminton House
FOTO | Badminton House kediaman Duke of Beufort di Gloucestershire, England

Ketika itu dalam penghujung tahun 1850-an sudah muncul permainan battlemore cara baru di England. Dalam tahun 1860-an seorang penjual mainan di London, bernama Isaac Spratt pernah menulis sebuah buku berjudul "Badminton Battledore – A New Game" malangnya buku itu tiada salinan untuk dibaca hari ini.

Permainan ketika itu dikatakan sudah agak terkehadapan dimainkan oleh orang-orang British di India dalam tahun 1860-an dan 1870-an, malah peraturan permainan badminton juga sudah mula disusun ketika itu.

Selepas awal tahun 1870-an, gambaran perkembangan sukan badminton semakin jelas. Warga British di India ketika itu mempelopori sukan badmintan, dan ia menjadi permainan luaran yang menyeronokkan. Malah paderi dan pemimpin gereja, mula melihat populariti sukan itu sebagai ancaman yang boleh menjejaskan kehadiran di gereja pada hari ahad setiap minggu.

Peraturan pertama sukan badmintan telah dirangka di Poona pada tahun 1873, namun pada masa itu di India, sukan badminton lebih kepada untuk mengisi masa lapang dan tidak lagi dipertandingkan secara meluas. Begitu juga di England, sukan badminton dijadikan permainan untuk sosial dan rekreasi di taman selama dua dekad.

Versi awal peraturan sukan badminton telah diterbitkan pada tahun 1883, dalam satu naskhah nipis berjudul "Lawn Tennis, Croquet, Racquets, etc." di mana sukan badminton disenaraikan dalam naskhah tersebut terdiri daripada 10 muka surat. Penulis buku itu menceritakannya sebagai "tennis rumput yang dimain dengan bulu tangkis bukan bola,"

Kemajuan sukan badminton semakin berkembang perlahan-lahan, terutama selepas Veteran British dari India pulang ke England dan sebuah kelab bekas pegawai telah ditubuhkan di Folkestone seawal tahun 1875.

J. H. E Heart merupakan salah seorang pelopor sukan badminton di India, dan selepas pulang ke England dia mula memainkan peranan penting didalam menggubal peraturan sukan itu. Heart telah melakukan semakan terhadap peraturan tahun 1887 dan sekali lagi berbuat demikian dalam tahun 1890 dengan bantuan Mr. Bagnel Wild.

Kelab-kelab pertama banyak ditubuhkan dalam tahun 1870-an dan 1880-an, terutama di bahagian selatan England, namun terdapat banyak halangan untuk mengadakan pertandingan antara kelab-kelab, kerana ketika itu setiap kelab mempunyai peraturan mereka sendiri dan mereka juga bermain menggunakan saiz padang masing-masing.

Contohnya ada kelab yang menggunakan saiz padang sekitar satu setengah kali ganda berbanding halaman badminton moden. 'single' dianggap pemain mementingkan diri, dan tak banyak kelab bermain secara 'double' sebaliknya mereka bermain 'triples' dan 'quadruples' 

Bagi menangani ketidak seragaman ini, satu mesyuarat telah diadakan di Southsea Hampshire pada tahun 1893, dan Badminton Association telah diasaskan susulan mesyuarat itu oleh wakil wakil daripada 14 buah kelab yang bersetuju dengan satu set peraturan yang seragam.

Pada bulan Mac 1898, pertandingan terbuka pertama telah diadakan di Guildford, maka bermulalah era pertandingan badminton. Pertandingan ini dianjurkan dengan begitu berjaya, sebelum Kejohanan All England yang pertama dianjurkan pada tahun berikutnya.

 

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan