Sejarah berdarah Kohinoor berlian paling besar di dunia

MERUPAKAN salah satu potongan berlian terbesar di dunia, Kohinoor terkenal dengan keindahan mempesona. Permata cantik dan luar biasa ini diketahui telah berulang kali bertukar tangan, dan merentasi sempadan pelbagai negara. 

Kohinoor
FOTO | Kohinoor dipasang pada Mahkota Ratu England

Nilai Kohinoor semakin hari semakin meningkat selepas menempuh jalan panjang, disulami dengan pelbagai sejarah dan peristiwa berdarah.

Penemuan Awal Kohinoor


Bermula penemuannya dalam sebuah lombong di Golkonda, India, ribuan tahun lalu, berat Kohinoor ketika itu sekitar 793 karat.  Pada masa itu, India merupakan satu-satunya sumber berlian di dunia. Oleh kerana berlian tidak dapat ditemukan di tempat lain, memiliki berlian dianggap sebagai lambang prestij hebat pada diri individu. 

Sampai ke hari ini, masih tidak diketahui siapa pemilik asal berlian tanpa warna itu, namun Kohinoor mula ditemui ketika zaman abad ke-13 di bawah pemerintahan Dinasti Kakatiya.

Sekitar awal abad ke-14, Alauddin Khilji, dari Dinasti Khilji, mulai menjajah India Selatan dengan tenteranya. Ketika itulah salah seorang jeneralnya telah mencuri berlian tidak ternilai harganya itu.

Era Mughal


Ketika Raja Babur dari Asia Tengah menyerang India pada tahun 1526, pemerintahan Dinasti Mughal Islam telah ditubuhkan. Babur mengetahui bahawa Kubu Agra menyimpan sebutir permata paling berharga di dunia.  

Kagum dengan kisah itu, Babur berusaha untuk mendapatkannya. Setelah memenangi pertempuran melawan Ibrahim Lodi, dia akhirnya dapat menemui Kohinoor. Babur sangat kagum dengan berlian itu sehingga mulutnya menyebut 'Baburnama' (Berlian Babur).

Berdasarkan catatan sejarah, Babur menyifatkan berlian itu sebagai sangat berharga "mampu menampung makanan sehari untuk semua manusia di muka bumi,"

Orang-orang Mughal memerintah India Utara selama 330 tahun, memperluas wilayah jajahan ke seluruh kawasan yang hari ini kita kenali sebagai India, Bangladesh, Pakistan, dan Afghanistan Timur.  

Setelah kematian Babur, Kohinoor diwariskan kepada puteranya, Humayun, dan kemudian diwariskan kepada keturunan raja-raja Mughal seterusnya.

Ketika permata itu diterima oleh Raja Taj Mahal, Shah Jahan, dia telah membina sebuah singgahsana merak khas untuk permata menyimpan itu.  

Singgahsana itu, memakan masa tujuh tahun untuk dibina, ia bertatahkan pelbagai permata, manakala bahagian dalamnya juga dihiasi dengan batu rubi, karangan bunga, dan permata-permata lain.  

Pada setiap tiang, terdapat dua ukiran burung merak dan setiap burung merak itu mempunyai pohon bertatahkan berlian, zamrud, dan mutiara. Singgahsana tempat menyimpan Kohinoor itu empat kali ganda nilainya berbanding kos pembinaan Taj Mahal.

Singgahsana Merak Shah Jahan
FOTO | Singgahsana Merak Shah Jahan, 4 kali ganda kos membina Taj Mahal

Anak lelaki Shah Jahan, Aurangzeb, sangat tertarik dengan Kohinoor sampaikan dia sanggup memenjarakan ayahnya untuk tujuan itu. Pada tahun 1658, Aurangzeb memutuskan untuk membentuk semula berlian tersebut dan melantik pakar berlian dari Venesia, bernama Hortense Borgia untuk melakukan tugas itu.

Namun hasil kerja Hortense Borgia, membuatkan berat berlian itu berkurang dari 793 karat kepada hanya 186 karat. Sikap Hortense Borgia yang bodoh dan tidak bertanggung jawab membuatkan Aurangzeb begitu marah dan enggan membayar upah kepada tukang berlian itu, bahkan bertindak merampas harta miliknya.

Namun, cucu Aurangzeb, Muhammad Shah, sangat berhati-hati di dalam menjaga berlian tersebut, di mana dia menyimpan Kohinoor di dalam lipatan serbannya. Tidak ramai orang tahu tentang rahsia berkenaan.

Ketika Raja Parsi, Nader Shah, menyerang India dengan tenteranya dan berjaya menewaskan orang-orang Mughal, pelbagai barang-barang permata telah dirampas termasuk Takhta Merak terkenal dan Daria-i-Noor (berlian saudara kepada Kohinoor).

Namun ketika itu Nader Shah gagal menemui Khinoor, sehinggalah rahsia itu dibocorkan oleh salah seorang individu kepercayaan Muhammad Shah, dengan harapan dapat memenangi hati Raja Parsi itu.

Pencerobohan Parsi


Bagi mendapatkan Kohinoor dalam serban Muhammad Shah, Nadir Shah telah membuat satu rancangan licik. Dia menganjurkan satu pesta besar-besaran untuk mengembalikan tahta Muhammad Shah, dan ketika itu akan ada satu upacara menukar serban sebagai menunjukkan tanda persahabatan dan penghormatan. Muhammad Shah tidak dapat menolak pelawaan itu, dan terpaksa menyerahkan serbannya.

Setelah Nader Shah sampai di bilik peribadinya, dia segera membuka serban itu. Lantaran terlalu terpesona oleh keindahan dan kilauan permata berkenaan, dia menjerit, 'Kohinoor!' 

Ketika Nader Shah meninggalkan kota itu, dia membawa begitu banyak harta sehingga terpaksa menggunakan 700 ekor gajah, 4,000 ekor unta, dan 12,000 ekor kuda untuk membawa kesemua harta-harta itu pulang ke negaranya, di mana hari ini dikenali sebagai Afghanistan.

Kohinoor kembali ke India


Beberapa tahun selepas kembali ke Parsi, Nader Shah telah dibunuh dan berlian itu jatuh ke tangan jeneral paling berkuasa, bernama Ahmad Shah Abdali. Namun, pada tahun 1809, berlian itu dibawa kembali ke India.  

Keturunan Abdali, bernama Shah Suja Durrani, ingin mendapatkan takhta Afghanistan. Oleh kerana penguasa Lahore, Ranjit Singh, telah membantunya memperoleh kuasa, Durrani menyerahkan Kohinoor kepadanya sebagai membalas jasa.

Ketika itu isteri Shah, Wufa Begum pernah berkata:

"Jika seorang lelaki gagah melempar lima butir batu, satu ke utara, satu ke selatan, satu ke timur, satu lagi ke barat, dan batu kelima ke udara, dan jika ruang di antara batu-batu itu diisi dengan emas, semua itu tidak akan dapat menandingi nilai Kohinoor"

Era Empayar Sikh


Ranjit Singh dari Empayar Sikh biasa memakai berlian di bahagian depan serban ketika dia berarak bersama gajahnya. Semasa perayaan besar, dia biasa memakainya di pergelangan tangan.  

Ranjit Singh sering mempamerkannya kepada pelawat dan pegawai kolonial Inggeris. Ranjit Singh membawa Kohinoor bersamanya walaupun ketika pergi ke luar kota.

Demi menjaga keselamatan berlian berharga itu, dia telah membina sistem keselamatan ketat di kubu Gobindgarh. 

Ketika berlian itu mahu dipindahkan dari satu tempat ke tempat lain, dia akan menyimpannya di dalam raga diletak di atas unta dan dijaga bersama oleh tiga puluh sembilan unta lain juga membawa raga-raga di atas badannya. Ini bagi mengelirukan kedudukan sebenar berlian itu.

Namun berlian itu selalu diletakkan di atas unta pertama, tepat di belakang para pengawal, tetapi kerahsiaan tetap terjaga mengenai unta sebenar yang membawanya.

Ketika Ranjit terlantar di atas ranjang sebelum mati, dia telah menyerahkan harta benda berharga untuk tujuan amal dan kebajikan.

Dia juga menyatakan dengan jelas bahawa Kohinoor dan permata-permata lain mesti diberikan kepada Kuil Jagannath, di Odisha, tetapi putera dan penggantinya, Kharak Singh, mempunyai rancangan lain.

Muslihat licik orang Inggeris


Setelah kematian Ranjit, Kohinoor berpindah tangan kepada empat penguasa berbeza dalam masa empat tahun.  Akhirnya, berlian itu hanya dijaga oleh seorang budak lelaki berusia sepuluh tahun, Duleep Singh, dan ibunya Rani Jindan.

Orang Inggeris memantau pergerakan berlian itu ketika mendapat tahu bahawa ia akan diberikan kepada badan amal. Meskipun begitu, mereka harus menunggu masa sesuai untuk mendapatkannya.  

Oleh kerana tinggal Duleep dan ibunya sahaja, maka lebih mudah bagi pihak Inggeris untuk mendapatkan berlian itu.

Mereka memenjarakan Rani Jindan dan memaksa budak berusia sepuluh tahun itu menandatangani dokumen perundangan menyebut pindaan Perjanjian Lahore menyebabkan dia harus menyerahkan semua harta warisan termasuk Kohinoor.

Perjanjian itu menetapkan,

"Permata disebut Kohinoor diambil dari Shah Shuja-ul-Malik oleh Maharaja Ranjit Singh akan diserahkan oleh Maharaja Lahore kepada Ratu England."

Memiliki Kohinoor dianggap sebagai simbol prestij dan kuasa bagi British. Pada tahun 1850, Kohinoor telah dihantar ke England untuk dipersembahkan kepada Ratu Victoria.

Kohinoor disimpan di bawah sistem keselamatan tinggi, diletakkan di dalam kotak pengiriman berwarna merah, dan ditutup dalam peti besi. Pada 3 Julai, ketika ulang tahun ke-250 Syarikat Hindia Timur, Kohinoor dipersembahkan kepada Ratu England di Istana Buckingham.

Berlian itu kemudian dipersembahkan kepada orang ramai dalam The Great Exhibition di Hyde Park, London. Orang ramai ketika itu merasa kecewa selepas melihat betapa sederhana berlian itu dan, bagi sesetengah orang, sukar untuk mempercayai bahawa berlian itu hanyalah seperti sekeping kaca biasa.

Oleh kerana itu, Putera Albert memutuskan untuk memperbaikinya dan menggunakan khidmat  pedagang berlian terkenal dari Belanda untuk menggilapnya. 

Sekitar 38 hari masa diambil bagi tujuan itu dan menelan belanja berjumlah £8,000. Meskipun beratnya berkurang lagi dari 186 karat menjadi 105.6 karat, namun ia menjadi berlian lebih berkilau dan lebih membiaskan cahaya.

Pada tahun 1853, Kohinoor dipasang pada tiara Ratu Victoria yang mempunyai lebih dua ribu butir berlian sebelum dipasang kepada mahkota Ratu Alexandra, dan seterusnya kepada Ratu Maria.  

Berlian itu berada  pada tempatnya sekarang sejak tahun 1937, dipakai oleh Queen Mother. Kali terakhir ia muncul di khalayak ramai pada tahun 2002, diletak di atas keranda Queen Mother.

Kohinoor atas keranda Queen Mother

Kohinoor kini dipamerkan bersama perhiasan mahkota Britain lain di Menara London. Ia telah dilihat oleh berjuta-juta pelawat setiap tahun.  Replika kristal berlian pernah dipasang pada mahkota tertua juga dipaparkan.  

Model kaca Kohinoor turut dipamerkan kepada pengunjung bagaimana rupa bentuknya sebelum ia dibentuk semula.

Pemerintah India, Iran, Pakistan, dan Afghanistan pernah menuntut hak milik Kohinoor, namun menurut pemerintah Britain, permata tersebut telah diperoleh secara sah berdasarkan Perjanjian Terakhir di Lahore.

Di sebalik sejarah berdarah permata Kohinoor, ramai orang salah faham dan menganggap permata itu merupakan hadiah pemberian India kepada Britain, namun sejarah sebenarnya tidak begitu.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan