Sejarah pencipta kapal terbang, adik beradik Wright

TENTU anda pernah mendengar tentang kisah pencipta kapal terbang, iaitu adik-beradik Wright betul tak? Ketika lewat abad ke-19 dan awal abad ke-20, sebenarnya telah ada beberapa cubaan dilakukan di dunia untuk membolehkan impian manusia terbang ke udara menjadi kenyataan.

Namun percubaan demi percubaan itu seperti mustahil kerana semua eksperimen dilakukan gagal membuahkan hasil. Namun dua orang adik beradik bernama Wilbur Wright dan Orville Wright ini telah  memecahkan kebuntuan, sekaligus melakukan sesuatu yang mustahil menjadi kenyataan.

Wilbur Wright dan Orville Wright
FOTO | Wilbur Wright dan Orville Wright

Kehidupan awal

Kedua-dua adik-beradik ini lahir daripada pasangan Milton Wright dan isterinya Susan Catherine Wright. Wilbur dilahirkan dalam tahun 1867 di Indiana, manakala empat tahun kemudian dalam tahun 1871, Orville pula dilahirkan di Ohio. Mereka mempunyai lima orang lagi adik-beradik.

Keluarga mereka dianggap penganut kristian mazhab protestan yang warak, Milton Wright adalah seorang ketua paderi di Gereja United Brethren in Christ, ketika itu giat menyebarkan agama kristian.

Pada tahun 1878, Milton Wright pulang ke rumah dengan sebuah model helikopter mainan untuk diberikan kepada anak-anak lelakinya, dan dari situlah kecintaan mereka terhadap penerbangan bermula. 

Kedua-dua adik beradik itu suka melakukan eksperimen dan meleraikan pelbagai barang untuk memahami bagaimana ia berfungsi. Mereka juga telah meleraikan model helikopter tersebut, sebelum berjaya memasangnya semula.

"Kami sangat bernasib baik kerana dibesarkan dalam suasana sentiasa mendapat galakan kepada anak-anak untuk mengejar minat intelektual, mengkaji apa sahaja yang ingin diketahui," — Orville Wright.

Wilbur merupakan seorang kanak-kanak yang pintar dan cemerlang di sekolah. Dia mahu melanjutkan pelajaran ke Universiti Yale selepas tamat sekolah menengah. Namun segalanya berubah dalam tahun 1885, apabila mukanya dihentak oleh sebatang kayu pemukul  ketika sedang bermain hoki ais. Muka Wilbur cedera teruk, dan gigi hadapannya patah.

Meskipun kecederaan dialami segera sembuh tidak lama selepas itu, namun Wilbur menjadi murung dan telah membatalkan rancangannya untuk melanjutkan pelajaran ke kolej. Sebaliknya Orville pula seorang anak yang cepat tangkap tetapi nakal, malah dia pernah dibuang ketika masih bersekolah rendah. Ironinya, pencipta terhebat abad ke 20 tidak melanjutkan pelajaran ke universiti. 

Kerjaya awal

Disebabkan kedua-dua adik-beradik itu tidak melanjutkan pelajaran ke universiti, mereka telah memulakan sebuah perniagaan percetakan dalam tahun 1889, dan tidak lama selepas itu mereka menerbitkan akhbar sendiri bernama West Side News. 

Dalam tahun 1890, selepas 4 bulan menerbitkan akhbar tersebut, mereka menerbitkannya pula pada kala harian. Namun keputusan itu nampaknya tidak membuahkan hasil, kedua-dua adik beradik itu berputus asa dan kembali menumpukan perhatian kepada perniagaan percetakan komersial.

Minat terhadap kapal terbang dan penerbangan

Tiba di suatu musim di mana manusia begitu ghairah untuk mencipta kenderaan untuk terbang di udara. Ketika itu banyak pertunjukan penerbangan dianjurkan dan adik beradik Wright menunjukkan minat begitu mendalam. 

Pada pertengahan tahun 1890-an, seorang penerbang dari Jerman bernama Otto Lilienthal beberapa kali menunjukkan kejayaan dalam bidang itu. Di Jerman dia beberapa kali telah berjaya meluncur secara dramatik dalam acara pertunjukan di udara. Malangnya beberapa bulan kemudian, Otto Lilienthal telah maut terhempas ke bumi bersama peluncur ciptaannya.

Kedua-dua adik beradik Wright begitu terinspirasi dengan Lilienthal, justeru objektif mereka adalah untuk menyambung apa yang telah dimulakan oleh penerbang Jerman itu.

"Lilienthal tidak syak lagi, merupakan pendahulu paling hebat, dan dunia sangat terhutang kepadanya," — Wilbur Wright.

Mengikut jejak langkah Otto Lilienthal

Kedua adik-beradik itu kini sudah mempunyai satu misi dan cita-cita. Satu misi untuk merubah dunia sekaligus menyelesaikan tugas yang gagal ditunaikan oleh Lilienthal. Mereka yakin bahawa model luncur dicipta oleh Lilienthal sangat meyakinkan dan penambahbaikan lanjut pasti membawa kepada ciptaan yang berjaya.

Ketika itulah mereka mula menjalankan eksperimen menggunakan penerbangan berkonsepkan kaedah meluncur. Kedua adik-beradik itu meninggalkan perniagaan mereka dan berhijrah ke Kitty Hawk, di utara Carolina, kerana mereka memerlukan kawasan berangin.

Mereka mula melakukan projek itu sepenuh masa. Tugas pertama mereka ketika itu ialah memikirkan bagaimana untuk mereka cipta sayap untuk sebuah kapal terbang. Mereka telah memerhatikan burung-burung secara dekat, dan cuba memahami bagaimana burung boleh terbang di udara. Terdapat dua perkara penting, iaitu 'keseimbangan' dan 'kawalan'. Dari situlah timbulnya konsep "wings warping".

"Kalau burung-burung boleh meluncur begitu lama di udara, kenapa saya tak boleh?" — Orville Wright.

Penerbangan pertama dan Wright Flyer

Tarikh 17 Disember 1903 merupakan sebuah hari bermakna. Hari yang akan merubah dunia pada masa hadapan, apabila kemudi boleh laras ditambahkan kepada peluncur ciptaan mereka. Ketika itu mereka yakin mampu melakukan penerbangan pertama yang boleh dikawal.

Mereka bersetuju memilih Wilbur untuk melakukan penerbangan pertama itu, dan mereka berjaya. Wilbur telah berjaya menerbangkan dan memandu pesawat ciptaan mereka pada ketinggian 852 kaki selama 59 saat. Ini merupakan pencapaian terbesar kali pertama dicapai dan ciptaan itu diberi nama "Wright Flyer I"

Wright Flyer I

Dalam tahun-tahun seterusnya, adik-beradik itu terus melakukan kerja-kerja membangun dan menambah baik model tersebut. Mereka menumpukan kepada usaha meningkatkan kadar keberkesanan pesawat berkenaan. 

Dalam tahun 1904—1905, mereka telah berjaya menghasilkan sebuah mesin terbang untuk meningkatkan masa penerbangan dan juga membuat lebih banyak pesawat-pesawat aerodinamik. Mesin itu telah diberi nama Wright Flyer II. Adik beradik itu juga telah mencipta alat kawalan pesawat dan membolehkan pesawat mempunyai sayap tetap.

Menjadi terkenal dan kaya

Adik-beradik Wright mengambil masa yang lama untuk meraih kredibiliti di kalangan pihak media. Ramai menganggap mereka sekadar membuat dakwaan palsu, maka pada suatu hari kedua-dua beradik itu telah memanggil media untuk menunjukkan pesawat percubaan mereka, namun dengan syarat tiada gambar diambil, kerana mereka tidak mahu sesiapa meniru hasil ciptaan itu.

Pada tahun 1908, Wilbur telah pergi ke Eropah dengan tujuan untuk menyakinkan orang ramai tentang kualiti dan keberkesanan kapal terbang ciptaan mereka sekaligus mahu menjualnya.

Lawatan Wilbur ke Perancis pada masa itu sangat berjaya. Dia telah melakukan beberapa penerbangan awam, bagi menunjukkan kepada orang ramai betapa tepat dan berkesannya model pesawat ciptaan mereka. 

Setahun kemudian dalam tahun 1909, Orville telah mengikut Wilbur di Eropah. Mereka muncul sebagai selebriti di sana. Kedua-dua beradik itu telah menjadi tetamu dalam majlis-majlis rasmi pegawai kerajaan, keluarga diraja dan wartawan.

Adik-beradik Wright telah berjaya menjual banyak pesawat-pesawat ciptaan mereka di Eropah sebelum kembali ke Amerika Syarikat pada tahun 1909.

Mereka telah mengaut banyak keuntungan, dan kekayaan mereka semakin meningkat setiap hari, seterusnya menubuhkan syarikat Wright. Kedua-dua mereka mempunyai hubungan baik, dan sentiasa berkongsi nama hasil ciptaan mereka. 

Wilbur Wright

Namun kedua-dua mereka memainkan peranan berbeza, di mana Wilbur lebih pandai dalam strategi pemasaran dan perniagaan, sebab itulah dia dilantik sebagai pengerusi mengetuai syarikat.

Kematian Wilbur

Dalam bulan April tahun 1912, Wilbur telah pergi ke Boston atas urusan perniagaan. Ketika itu dia dikatakan telah makan sejenis kerang beracun di sebuah hotel sebelum jatuh sakit. Dalam bulan Mei, Wilbur pulang ke Amerika Syarikat dan disahkan menghidap demam kepialu (typhoid fever).

Pada 30 Mei 1912, Wilbur meninggal dunia pada usia 45 tahun di rumah keluarga Wright. Bapanya Milton Wright mencatat peristiwa itu dalam sebuah diari:

"Hayat yang singkat, penuh dengan ujian. Seorang intelek berjaya, dengan emosi tidak stabil, sangat percaya diri, dan sebagai seorang yang sangat bersopan, melihat kebenaran dengan jelas, mengejarnya dengan tabah, dia hidup dan meninggal dunia," — Milton Wright.

Selepas kematian Wilbur, Orville telah menggantikannya sebagai pengerusi Syarikat Wright.

Kematian Orville

Orville telah menjual Syarikat Wright dalam tahun 1915. Pada tahun 1916, nama syarikat itu telah ditukar kepada Wright-Martin. Tiga puluh lima tahun kemudian, selepas kematian abangnya, Orville pula meninggal dunia ketika berusia 76 tahun pada tanggal 30 Januari 1948 akibat serangan jantung.

Kedua-dua adik-beradik itu tidak pernah berkahwin. mereka dikatakan terlalu asyik dengan kerja dan misi untuk mengubah dunia sehingga lupa dengan kehidupan peribadi. Kedua-dua Wilbur dan Orville telah dikebumikan di tapak perkuburan keluarganya terletak di Perkuburan Woodland di Ohio, Amerika Syarikat.

Legasi Wright

Adik-beradik Wright telah memulakan industri penerbangan yang menyumbang sebanyak US$1.4 trilion kepada ekonomi Amerika Syarikat, dan mencipta hampir 10 juta pekerjaan. Inilah impak hasil ciptaan mereka. Mereka telah meninggal dunia, namun sumbangan kepada sistem penerbangan tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

"Tidak ada sukan yang sama seperti dinikmati oleh penerbang ketika dibawa ke udara dengan sayap-sayap putih yang hebat. Lebih dari perkara lain, perasaan itu satu daripada kedamaian sempurna dengan keghairahan yang meregang setiap saraf paling maksimum jika kamu boleh memahami kombinasi seperti itu," — Wilbur Wright.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan