Umur kucing : bagaimana cara untuk mengira?

JIKA dilihat dari saiz tubuhnya, umur kucing sebenarnya boleh dianggap sangat panjang. Ini kerana biasanya umur suatu haiwan itu berkadar langsung dengan saiz tubuhnya.

Contohnya seekor tikus, mempunyai umur yang pendek, manakala seekor arnab hayatnya lebih lama. Anjing pula majoriti berusia di antara 7 hingga 20 tahun bergantung kepada jenis baka atau saiz tubuh, aktiviti atau kedua-duanya sekali.

Dari segi saiz kucing tidaklah banyak berbeza dengan arnab, namun meskipun arnab boleh menjangkau hayat sehingga 8 tahun, secara purata seekor kucing biasanya boleh hidup sehingga 12 hingga 14 tahun. Malah kebanyakan kucing boleh mencapai jangka hayat sehingga 15 tahun ke atas.

Umur kucing berbanding umur manusia

Walaupun setakat ini tidak ada kaedah saintifik untuk mengukur atau membandingkan hubungan antara umur kucing dengan umur manusia. Namun rata-rata pakar bersetuju bahawa tahap kematangan dua tahun pertama hayat kucing boleh dianggap sama dengan tahap kematangan manusia berumur 25 tahun.

Selepas dua tahun, setiap tahun sebenar yang berlalu boleh disamakan dengan 4 tahun 'umur kucing'. Contohnya jika kucing anda berumur 6 tahun, maknanya ia sudah mencapai tahap kemayangan manusia berumur 41 tahun.

Enam tahap hidup seekor kucing.

Umur kucing berbanding manusia

1. Anak kucing (0 hingga 6 bulan)

Ini merupakan tempoh seekor kucing muda membesar dengan cepat, sepanjang tempoh ini ia belum boleh mengawan, masih budak-budak lagi.

2. Remaja (7 hingga 2 tahun)

Dalam tempoh ini pula, seekor kucing boleh mencapai saiz sebenar seperti seekor kucing dewasa dan matang. Ketika ini dia sudah mula belajar untuk mencari makan dan berdiri di kaki sendiri (berdikari).

3. Dewasa (3 hingga 6 tahun)

Seekor kucing yang sudah mencapai umur antara 3 hingga 6 tahun, sudah cukup dewasa secara fizikal dan juga kelakuannya. Biasanya pada tempoh ini, ia sangat sihat dan aktif, bulunya kelihatan anggun dan bersinar dalam erti kata lain, ketika ini adalah tahap hidup terbaik dalam kehidupan seekor kucing.

Umur kucing berbanding manusia

4. Matang (7 hingga 10 tahun)

Biasanya kucing apabila sudah sampai umur 7 hingga 10 tahun, kita boleh gelarkannya sebagai seekor kucing yang matang. Jika dibandingkan dengan umur manusia, sekitar umur 40 — 50 tahun.

5. Warga emas (11 hingga 14 tahun)

Pada umur ini kita boleh anggap seekor kucing sudah mencapai umur yang sama dengan manusia berumur 70 tahun.

6. Super warga emas (15 tahun ke atas)

banyak kucing yang mampu hidup sehingga umur 15 tahun dan ke atas. Namun kebanyakan kucing pada usia ini tidak menunjukkan perbezaan ketara bahawa umurnya sudah begitu lanjut.

Berapa umur purata seekor kucing?

Sebenarnya umur seekor kucing bergantung kepada keadaan hidupnya. Kebanyakkan kucing yang tinggal di dalam rumah, umurnya lebih panjang berbanding kucing-kucing jalanan hidup di luar. 

Secara purata kebanyakan kucing yang dibela di dalam rumah boleh mencapai jangka hayat antara 16 hingga 18 tahun. Malah ada sebilangan yang boleh mencapai umur sehingga 20 tahun.

Selain itu jangka hayat seekor kucing juga bergantung kepada bakanya. Kerana ada baka kucing tertentu yang memang jenis berumur panjang berbanding yang lain. Contohnya baka kucing siam dan baka Manx, dikatakan mempunyai umur paling panjang.

Setakat ini kucing paling tua dalam dunia berumur 34 tahun. Maknanya jika ia seorang manusia, sudah mencapai umur 153 tahun!

Jangka hayat seekor kucing dikatakan meningkat secara mendadak sejak beberapa dekad kebelakangan ini. Serupa juga engan manusia, kini manusia hidup lebih lama berbanding orang zaman dahulu seiring dengan kemajuan dan kecanggihan teknologi serta ilmu perubatan.

Bagaimana nak tentukan umur seekor kucing?

Cara terbaik untuk tahu umur seekor kucing ialah dengan merujuk kepada doktor haiwan. Tentu sekali mereka lebih pakar dengan perkara itu. Namun ada masih ada cara untuk menganggarkan usia kucing anda berdasarkan sifat fizikal dan kesihatannya.

1. Lihat gigi kucing.

Seekor anak kucing, akan tumbuh gigi sekitar dua hingga empat minggu. Manakala gigi kekalnya akan tumbuh sekitar umur 4 bulan.

Warna kekuningan atau juga dikenali sebagai 'tartar' pada beberapa batang gigi seekor kucing boleh menunjukkan bahawa kucing anda mungkin berumur di antara 1 hingga 2 tahun.

Jika kesemua giginya sudah berwarna kuning, kemungkinan besar seekor kucing itu sudah berumur sekurang-kurangnya antara 3 hingga 5 tahun.

Jika seekor kucing itu banyak giginya yang sudah hilang. Faham-faham sendirilah, manusia kalau sudah tua pun banyak gigi akan tercabut akibat berlubang, rosak, patah dan sebagainya. Ini menunjukkan kucing anda sudah mencapai usia warga emas, biasanya sudah berumur antara 10 hingga 15 tahun.

Tapi sebenarnya itu hanyalah sekadar anggaran kasar. Sebab banyak juga kucing yang cepat kehilangan gigi ketika umurnya masih muda.

2. Lihat mata kucing

Oleh kerana merujuk kepada gigi kucing mungkin tidak sentiasa boleh memberikan anggaran tepat terhadap umurnya, anda boleh cuba juga melihat matanya.

Beza antara kucing muda dan tua ialah keadaan matanya. Kucing muda mempunyai mata yang cerah dan terang, manakala kucing berumur bahagian iris biasanya kelihatan seperti retakan.

Selepas berumur 12 tahun dan keatas, batu seekor kucing biasanya akan mula menunjukkan keadaan berkabus dan sering berair.

3. Lihat otot dan kelakuan kucing.

Biasanya kucing muda suka bermain dan sangat aktif sekaligus menyebabkan ia mempunyai otot yang sasa dan tegap. Anda tentu faham bahawa kucing muda memang suka melompat dan bermain. 

Namun jika kucing anda nampaknya sudah mula kehilangan otot-ototnya yang sasa dan tegap, serta kelihatan malas untuk bergerak dan bermain, itu tanda kucing anda semakin dimamah usia.

Kucing yang lebih berumur mungkin mempunyai daging yang berlebihan selepas kemerosotan otot, dan tulang-tulangnya juga lebih kelihatan.

Rujukan | purina.co.uk

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan