Viganella pekan yang terpaksa cipta matahari sendiri

VIGANELLA merupakan sebuah pekan kecil di Itali, terletak di kawasan pergunungan dalam wilayah Piedmont. Sekitar bulan Disember 2010, populasinya hanya sekitar 204 orang penduduk. Anda silap jika menganggap Viganella sekadar sebuah pekan kecil biasa di kawasan pergunungan.

Ada sesuatu yang sangat menarik dan luar biasa di pekan ini. Sejak dahulu kala sehingga tahun 2006, pekan ini tidak mendapat cahaya matahari selama 83 hari iaitu dari 11 November hingga 2 Febuari setiap tahun.

Ini kerana Viganella dibangunkan di kawasan lembah curam, dan tersembunyi di sebalik salah satu daripada gunung-gunung mengelilingi pekan itu.

Pada tahun 2005, Pierfranco Midali datuk bandar Viganella ketika itu, bersama dengan seorang arkitek bernama Giacomo Bonzani telah mengusahakan sebuah projek, untuk merealisasikan impian penduduk Viganella iaitu supaya tidak perlu lagi menghadapi hari-hari bergelap setiap tahun.

Viganella

Justeru mereka cuba mencari jalan supaya impian 'mencipta matahari sendiri' itu boleh menjadi kenyataan. 

Apa yang mereka lakukan?

Giacomo Bonzani telah mereka sebuah cermin gergasi dengan kawalan orientasi diletakkan di tepi gunung bertentangan. Cermin gergasi itu terdiri daripada 14 keping logam dengan ukuran 8 meter lebar, dan 5 meter tinggi.

Cermin itu direka khas supaya sentiasa memantulkan cahaya matahari menghala ke dataran di pekan itu secara automatik. Ketika musim sejuk yang cerah, cermin itu mampu memantulkan cahaya matahari selama 5 hingga 6 jam setiap hari.

projek matahari buatan

Tidak ada sesiapa di dunia ini terfikir bahawa projek seperti itu diperlukan oleh manusia. Ketika Pierfranco Midali memohon peruntukan sebanyak €100,000 daripada kerajaan tempatan, untuk membina cermin itu, gabenor telah menolak permintaannya.

Kisah Viganella popular seluruh dunia

Namun, pada penghujung tahun 2005, keadaan mula berubah. Terima kasih kepada internet, kisah penduduk Viganella yang memerlukan cahaya matahari itu meraih populariti seluruh dunia. Ramai wartawan dan jurugambar berkunjung ke pekan berkenaan untuk melaporkan tentang projek itu.

Seorang wartawan Inggeris bernama Daniel Sandford melaporkan, dia diberitahu oleh Giacomo Bonzani bahawa : "Mengikut teori, pekan itu akan ditimpa salji, namun jika projek berkenaan dapat dibina, pekan itu meskipun ditimpa salji masih mempunyai cahaya matahari,"

Apabila seluruh dunia tahu tentang kisah projek cermin gergasi, serta keengganan kerajaan tempatan memberikan peruntukan, pelbagai pihak telah menghulurkan bantuan.

Akhirnya pada 17 Disember 2006, Pierfranco Midali, dan Giacomo Bonzani bersama seluruh penduduk Viganella akhirnya melancarkan cermin gergasi itu. Sejak dari hari itu, tiada lagi tempoh penduduk Viganella terpaksa bergelap berbulan lamanya setiap tahun, kerana 'matahari' ciptaan mereka sudah ada untuk menghangatkan pekan itu.

Artificial sun

Pada tahun 2015, cermin pemantul cahaya itu tidak digunakan kerana mengalami kerosakan akibat sudah lama tidak diselenggara. Namun pada tahun berikutnya, ia sudah diperbaiki semula dan para penduduk dapat menikmati kembali limpahan cahaya matahari seperti tahun-tahun sebelumnya.

Teknologi yang sama turut digunakan sejak tahun 2013 di Rjukan, sebuah pekan di Norway. Pekan itu berada dalam keadaan gelap setiap tahun dari bulan September hingga Mac. Justeru mereka telah menggunakan banyak cermin untuk memantulkan cahaya matahari ke kawasan pekan berkenaan.

Namun semuanya bermula di Viganella, sebuah pekan kecil di Itali yang berhampiran dengan sempadan Switzerland, di mana datuk bandarnya seorang bercita-cita besar dan dedikasi terhadap kebajikan seluruh anak buahnya.

Rujukantheatlantic.com | bbc.co.uk 

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan