WHO gagal temui bukti virus Covid-19 berasal dari Wuhan, China

KUMPULAN penyelidik dari Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah menamatkan lawatan selama 28 hari di Wuhan, China namun gagal menemui sebarang bukti coronavirus berasal dari negara itu.

$ads={2}

Pakar percaya bahawa penyakit itu yang telah mencatatkan lebih 109 juta kes jangkitan dan membunuh 2.4 juta orang seluruh dunia, kemungkinan besar menjangkiti manusia dari perantaraan haiwan perumah.

Selepas kluster pertama Covid-19 dikesan di Wuhan pada penghujung tahun 2019, kerajaan China telah mengenakan sekatan pergerakan ketat selama 76 hari terhadap bandar Wuhan yang mempunyai seramai 11 juta penduduk itu.

Pasar Makanan Laut Wuhan China
FOTO | Pasar Makanan Laut di Wuhan China

Lawatan WHO itu juga tidak lekang dari kontroversi, di mana penyelidikan terhadap wabak berkenaan mengalami penangguhan, disebabkan bimbang terhadap akses dan pertelagahan antara Beijing dan Washington.

Lawatan itu diketuai oleh Dr Peter Ben Embarek, seorang saintis zoonosis dan keselamatan makanan WHO. Seramai 14 ahli pasukan penyelidik itu terdiri daripada pakar-pakar jangkitan, veterinar, doktor perubatan, ahli virologi, pakar haiwan dan penyakit manusia.

Mereka termasuk Ahli Zoologi, Peter Daszak, pakar penyakit berjangkit Dominic Dwyer, Dr Marion Koopmans, seorang ahli virologi dari Erasnus University Medical Centre di Belanda dan Ahli Epidemiologi Denmark Thea Kolsen Fisher.

Tiga hipotesis penyelidikan

Selain hipotesis kebocoran makmal, dua lagi senario yang diselidiki oleh saintis WHO di China ialah kemungkinan virus berkenaan telah berpindah dari sebuah haiwan perumah dan menusia menerima jangkitan itu dari haiwan perantaraan berkenaan. Selain itu jangkitan virus kepada populasi manusia mungkin terjadi menerusi produk makanan sejuk beku.

Pasukan penyelidik itu telah melawat tapak jangkitan utama seperti pasar makanan laut Huanan, di mana kes-kes pertama banyak ditemui, juga Institut Virologi Wuhan kerana terlibat dalam penyelidikan koronavirus.

Dunia barat mengkritik Beijing kerana dikatakan tidak telus pada peringkat awal penyebaran wabak, kegagalan peringkat awal menanganinya, dan membenarkan kuman itu melepasi sempadan wilayah China sebelum mengganas ke seluruh dunia.

Lawatan pakar ke Wuhan juga ditangguhkan oleh kerajaan China, sampaikan Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menyatakan kekecewaannya lantaran Beijing tidak membenarkan lawatan pakar dibuat pada awal bulan Januari.

Terdapat juga kebimbangan terhadap akses maklumat diperolehi oleh pasukan pakar itu setahun selepas wabak itu muncul, kerana China mungkin cuba menghalang maklumat memalukan daripada tersebar.

Meskipun beberapa pasukan WHO menegaskan bahawa mereka telah diberikan akses penuh kepada tapak-tapak berkenaan dan individu-individu yang ingin dilawati mereka, sebahagian berkata tidak menerima data mentah sebaliknya terpaksa bergantung kepada analisis dibuat oleh saintis China.

Menurut Dr Dwyer pada hari sabtu (13 Februari), saintis China enggan berkongsi data mentah tentang wabak tersebut. Mereka telah meminta data mentah 174 pesakit dari Wuhan, namun hanya diberikan satu ringkasan.

Dalam satu temubual bersama AFP, Dr Embarek berkata pasukan itu sangat perlu untuk mengakses data mentah tentang kes-kes jangkitan awal penyakit berkenaan, termasuk pneumonia, selsema, dan demam yang munkin disebabkan oleh Covid-19.

Teori kebocoran makmal

Pasukan penyelidik WHO berkata sangat mustahil virus itu boleh terbocor dari Institut Wuhan, justeru kajian lanjut tentang teori ini tidak diperlukan.

Kenyataan WHO itu secara tidak langsung mengiyakan kenyataan pihak berkuasa China, yang selama ini begitu marah dengan dakwaan bahawa virus itu mungkin terlepas dari sebuah makmal.

Bekas presiden Amerika Syarikat Donald Trump, sebelum ini menuduh tanpa bukti, mengatakan bahawa virus itu mungkin terlepas daripada sebuah makmal di China, dan menuduh China menyebarkan Covid-19 ke seluruh dunia.

Teori produk makanan sejuk beku

Pihak berkuasa China sebelum ini menekankan naratif bahawa virus itu mungkin telah dibawa masuk ke Wuhan menerusi rangkaian logistik dan produk-produk makanan sejuk beku, mengaitkan situasi itu dengan pelbagai jangkitan tempatan sejak beberapa bulan lalu.

Pasukan penyelidik WHO nampaknya turut mengakui teori China itu, di mana virus itu mungkin dibawa menerusi rangkaian produk-produk sejuk, meskipun pakar-pakar luar termasuk pakar kecemasan WHO, Dr Mike Ryan dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika sebelum ini meremehkan risiko itu.

Namun menurut Dr Embarek pada hari rabu lalu, kajian lanjut perlu dijalankan untuk memastikan jika haiwan liar sejuk beku, di bawah keadaan tertentu mampu menyebarkan virus itu.


Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan