330 individu telah disaman RM10,000 langgar SOP — KPN

SERAMAI 330 individu setakat ini telah dikenakan saman berjumlah RM10,000 kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara kata Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador.

"Ya, 330 individu telah dikeluarkan notis denda kerana melanggar SOP PKP," katanya ketika dihubungi oleh Bernama.

Menurutnya keputusan untuk menaikkan jumlah saman bukan untuk menghukum pesalah secara berlebihan atau membolehkan kerajaan mengutip duit dari orang ramai.

Langgar SOP

Katanya, peraturan itu mensasarkan individu-individu yang berulang kali melakukan kesalahan, seperti gagal memakai penutup muka, penjarakan fizikal dan menyediakan fasiliti pengimbas suhu di premis-premis.

Semalam, Abdul Hamid berkata jumlah saman melanggar SOP PKP telah dinaikkan dari RM1,000 kepada RM10,000 di bawah Ordinan Darurat (kawalan dan pencegahan penyakit berjangkit) (pindaan) 2021 yang telah digazetkan pada 11 Mac 2021.

Dalam pada itu semalam, seorang individu telah dikenakan saman RM10,000 kerana gagal mendaftar butiran diri menggunakan aplikasi MySejahtera ketika memasuki sebuah premis makanan di Bukit Jalil.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, pemeriksaan juga mendapati bahawa individu itu tidak mendaftar namanya di dalam buku pendaftaran disediakan oleh kedai berkenaan.

Katanya tindakan saman terhadap individu itu telah diambil berdasarkan Ordinan Darurat (kawalan dan pencegahan penyakit berjangkit) (pindaan) 2021.

"Saman itu telah dikeluarkan ketika anggota pasukan SOP PKP menjalankan pemeriksaan di lokasi itu pada 6.55 petang,"

"Perlu ditekankan, dakwaan mengatakan individu yang disaman itu telah mendaftar dirinya menerusi saluran lain atau aplikasi lain atau buku pendaftaran disediakan oleh pemilik kedai adalah tidak benar," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Sebelum ini seorang individu yang disaman selepas gagal mendaftar butiran diri menerusi MySejahtera semasa perintah kawalan pergerakan, tular menerusi media sosial.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan