Bagaimana Syarikat Pfizer cipta Viagra secara tak sengaja

POPULARITI syarikat Pfizer, pengeluar ubat ubatan dari Amerika Syarikat melonjak selepas kejayaan mereka menghasilkan vaksin Covid-19. Namun tahukah anda bahawa syarikat ini juga merupakan pencipta dan pengeluar viagra, sejenis ubat untuk mengembalikan ketegangan senjata sulit lelaki?

Sebelum wujudnya viagra, kaum lelaki yang mengalami masaalah 'erectile dysfunction' (kegagalan ereksi) terpaksa melakukan pelbagai usaha bagi mengembalikan kelakian mereka. 

Pelbagai kaedah tradisional diamalkan, antaranya menerusi penggunaan dan pengambilan semen helang, zakar serigala, dan kemaluan arnab. Semua ini dijadikan ikhtiar untuk mengatasi masaalah 'erectile dysfunction' (ED).

Beratus tahun lamanya ED menjadi masalah peribadi di dalam bilik tidur, mengecewakan hubungan intim pasangan sekaligus menjejaskan kehidupan suami isteri, tanpa ada satu pun penyelesaian tuntas bagi menanganinya.

Namun semua ini berubah pada lewat abad ke-20 selepas syarikat Pfizer dengan sukacitanya memperkenalkan sejenis 'pil kecil berwarna biru' yang dicipta secara tidak sengaja. Meskipun saiznya kecil, namun pil biru itu telah memberi perubahan besar kepada kehidupan ramai orang.

Pil Viagra

Bagaimana Viagra dicipta secara tidak sengaja?


Nama generik bagi Viagra ialah 'Sildenafil' di mana niat asal ubat itu dicipta bukanlah untuk merawat masaalah 'punai' lelaki. Sebaliknya ia bertujuan merawat masalah tekanan darah tinggi dan sakit dada dikenali sebagai 'angina'. 

Namun berlaku peristiwa pelik di kalangan penyelidik yang terlibat menghasilkan Sildenafil pada peringkat awal sebelum ia diluluskan untuk pasaran. Ketika ujian klinikal dijalankan, rata-rata peserta ujian itu enggan memulangkan kembali pil biru yang telah diberikan kepada mereka.

Hasil kajian mendapati, keberkesanan Sildenafil di dalam merawat angina kurang memberangsangkan, namun ia menyebabkan kesan sampingan yang mengembirakan di kalangan pesakit-pesakit lelaki. Anda tentu boleh mengagak apa kesan sampingan itu, rupa-rupanya Sildenafil boleh menyebabkan 'senjata sulit' lelaki mengeras, menegang dan bertahan pada jangka masa lama.

Penemuan tanpa sengaja ini merupakan satu kejayaan bermakna kerana kegagalan ereksi selama ini jarang dibincangkan secara terbuka, kerana dianggap sebagai penyakit memalukan, dan hanya sebilangan kecil sahaja lelaki sanggup merujuk perkara itu kepada para doktor.

Pelbagai penyakit boleh menjadi punca kepada kegagalan ereksi. Kajian mendapati penyakit-penyakit seperti diabetes, tekanan darah tinggi, dan obesiti antara punca utama lelaki merasa sukar untuk membangunkan 'senjata' mereka. Keadaan ini juga begitu lazim terjadi di kalangan penduduk Amerika Syarikat, dan ramai lelaki menderita akibat masalah itu.

Selain tidak dapat menjalankan hubungan intim secara normal, kegagalan ereksi juga menyebabkan pelbagai masalah psikologi seperti hilang keyakinan diri, anxiety dan kemurungan. Oleh kerana keadaan itu begitu lazim berlaku maka Syarikat Pfizer telah memohon kelulusan kerajaan untuk mengagihkan Sildenafil secara komersial.

Viagra dapat permintaan hangat


Syarikat Pfizer dengan segera memohon hak cipta Sildenafil dalam tahun 1996 dan telah mendapat kelulusan FDA pada 1998 sebagai ubat merawat kegagalan ereksi. Maka lahirlah sejenis ubat dikenali sebagai Viagra.

Ketika itu Viagra menjadi ubat oral farmaseutikal pertama bagi merawat kegagalan ereksi, permintaan terhadap produk itu mencanak dengan begitu mendadak. Kemuncak jualannya pada tahun 2008, penjualan Viagra mengutip hasil jualan tahunan sebanyak US$1.934 bilion.

Viagra

Viagra terus terpahat dalam minda orang ramai sebagai satu-satunya ubat paling mujarab dan mampu memberi kesan segera di dalam merawat masalah ketegangan alat sulit lelaki. Senator Amerika Syarikat Bob Dole dan Lagenda Bola Sepak Pele turut mengakui keberkesanan Viagra sekaligus melonjakkan lagi jualannya.

Ciptaan viagra juga bukan sahaja mengembalikan keyakinan kepada kaum lelaki untuk membincangkan prestasi hubungan intim secara terbuka dan jujur, malah ia turut menggalakkan industri farmaseutikal menyelongkar dan mengkaji secara lebih mendalam tentang keberkesanan dan manfaat dadah di dalam merawat pelbagai jenis penyakit.

Bidang 'Drug repositioning' juga menjadi semakin meluas selepas terciptanya Viagra. Bidang ini melibatkan kajian ubat-ubatan berasaskan dadah sedia ada untuk mengetahui manfaat lainnya di dalam rawatan dan terapi penyakit. 

Oleh kerana ubatan sedia ada ini telah melalui ujian klinikal bagi mengesahkan tahap keselamatan dan kesan kesihatannya, maka bidang 'drug repositioning' dapat menjimatkan masa dan kos untuk menghasilkan formula baru dan rawatan.

Harga viagra hari ini semakin murah, dan lebih mudah untuk didapati. Hakcipta Pfizer ke atas Viagra di luar Amerika Syarikat rata-rata telah tamat tempoh pada tahun 2012, dan syarikat itu juga telah mengeluarkan viagra versi generik pada tahun 2017. 

Pada tahun 2018, pihak berkuasa kawalan dadah Amerika Syarikat, FDA telah membenarkan pemasaran dan pengilangan Sildenafil oleh syarikat-syarikat lain, menyebabkan kos rawatan kegagalan ereksi kini menjadi lebih rendah.

Namun begitu populariti Viagra masih kekal sampai ke hari ini, malah ia dikenali sebagai salah satu ubat paling banyak dipalsukan di dunia. Meskipun terdapat ubat-ubat lain seperti Cialis di pasaran, namun Viagra akan terus dianggap sebagai ubat paling popular dalam sejarah.

Disebabkan pil biru bersaiz kecil ini, berjuta-juta lelaki dan pasangan seluruh dunia tidak perlu lagi menderita akibat masalah ereksi. Jelas sekali perubahan besar dalam hidup manusia kadang kala datang dari benda yang kecil.

Hari ini pun, Syarikat Pfizer muncul lagi membawa perubahan besar, menerusi ciptaan bersaiz kecil, iaitu Vaksin Covid-19.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan