FS Turmeric Cream mengandungi racun berjadual

SEBUAH produk kosmetik untuk merawat jeragat dan parut jerawat, FS Turmeric Cream (Krim Kunyit FS) disahkan mengandungi racun-racun berjadual, mercuri dan betamethasone 17-valerate yang sangat berbahaya kepada kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan bawa produk kosmetik itu telah diharamkan oleh pengarah perkhidmatan farmaseutikal Kementerian Kesihatan dan tidak dibenarkan lagi dijual di negara ini.

Noor Hisham

"Raksa (merkuri) diharamkan penggunaannya dalam produk-produk kosmetik kerana ia berbahaya kepada kesihatan. Jika diserap oleh tubuh, mercuri boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang dan sistem saraf,"

"Bahan kimia itu juga boleh menjejaskan perkembangan otak bayi, dan juga menyebabkan ruam, kegatalan, dan perubahan kepada kulit. Sehubungan itu orang ramai dinasihatkan tidak menggunakan produk kosmetik tersebut," katanya.

Menurutnya FS Turmeric Cream juga mengandungi betamethasone 17-valerate, merupakan sejenis dadah berdaftar dengan pihak berkuasa kawalan ubatan dan hanya boleh digunakan menerusi nasihat seorang pakar kesihatan.

Bahan itu boleh menyebabkan kesan sampingan seperti penipisan kulit, gatal-gatal, atau berisiko diserap ke dalam saluran darah.

Sehubungan itu katanya, para penjual dan pengedar produk kosmetik tersebut perlu menyingkirkan item berkenaan dari senarai jualan mereka dengan kadar segera.

Menurut Noor Hisham menjual dan mengedarkan produk itu menyalahi Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Tambahnya lagi mana-mana individu yang melanggar undang-undang boleh didenda tidak lebih dari RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi pesalah kali pertama, dan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya bagi pesalah berulang.

Orang ramai digalakkan untuk menyemak status notifikasi produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi Agensi Kawalan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) di alamat www.npra.gov.my atau memuat turun aplikasi NPRA Product Status yang boleh didapati di Google PlayStore.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan