Hukum bunuh terhadap perokok zaman kerajaan Uthmaniah

TEMBAKAU merupakan sejenis tanaman pribumi Amerika, dan mula diperkenalkan ke Eropah pada abad ke-16. Individu pertama yang memperkenalkan tembakau ke Eropah pada skala besar adalah Sir Walter Raleigh dari England. 

Namun berdasarkan catatan sejarah, individu pertama yang mula-mula menghisap rokok di Eropah ialah Rodrigo De Jerez. Dia dipenjara selama 10 tahun selepas ditangkap kerana merokok di khalayak ramai.

BACA JUGA | Individu pertama merokok di eropah dipenjara 10 tahun

Walter Raleigh juga merupakan individu yang bertanggungjawab menubuhkan kawasan penempatan, hari ini dikenali sebagai Virginia dan North Carolina. Penempatan itu dibangunkan kerana persekitarannya sesuai untuk tanaman tembakau.

Ketika itu dia melihat tembakau sebagai satu peluang perniagaan yang menguntungkan England menerusi penjajahan di wilayah bahagian Utara Amerika.

Sir Walter Raleigh bersama rombongannya kemudian membawa tembakau ke Eropah, seterusnya tabiat dan amalan merokok di kalangan penduduk Eropah merebak bagaikan api yang marak.

Namun tidak semua orang menyukai tabiat baru yang diperkenalkan ke Eropah itu, terutama pemerintah muda Kerajaan Uthmaniah, Sultan Murad IV.

Sultan Murad IV sangat membenci amalan merokok kerana dia mengesyaki penduduk Istanbul menjadikan amalan merokok sebagai alasan untuk berkumpul di kedai-kedai kopi sambil merancang pemberontakan bagi menjatuhkannya.

Orang turki merokok
FOTO | Penduduk Istanbul gemar merokok di kedai-kedai kopi

Kebenciannya terhadap amalan menghisap tembakau semakin menjadi-jadi lebih-lebih lagi selepas berlakunya peristiwa Kebakaran Besar 1633. Peristiwa itu merupakan satu bencana yang telah mengakibatkan 20 peratus bandar Istanbul hangus dan musnah dijilat api.

Dia percaya, kebakaran itu terjadi berpunca daripada tembakau, dan amalan merokok meskipun tidak banyak bukti ditunjukkan bagi menyokong dakwaannya itu.

Sejak dari peristiwa itu Sultan Murad IV telah mengharamkan tembakau di Istanbul. Mana-mana individu merokok boleh dihukum bunuh, manakala kedai-kedai kopi pula diarah tutup. Sekiranya tertangkap, pesalah kali pertama akan dikenakan bayaran denda, manakala pesalah berulang akan dikenakan hukuman bunuh.

Pengharaman tembakau di Istanbul dilaksanakan secara saksama kepada semua orang, tidak mengira golongan bangsawan mahupun rakyat biasa termasuk pelancong asing. Namun ketagihan nikotin dalam rokok menyebabkan pengharaman itu sukar untuk dilaksanakan, dan ramai penduduk yang secara senyap-senyap melanggar undang-undang. Setiap hari sehingga 18 orang dijatuhkan hukuman kerana melanggar undang-undang larangan merokok.

Sultan Murad IV juga sering menyamar sebagai seorang rakyat biasa untuk keluar secara senyap bagi mengesan individu-individu yang didapati merokok. Sebaik sahaja orang ramai menyedari bahawa sultan turut serta memburu para perokok, mereka telah menggunakan wangian perfume untuk menghilangkan bau tembakau.

Ketika itu, perfum dengan aroma Kolonya begitu popular digunakan oleh golongan perokok. Kolonya merupakan sejenis bauan lemon yang begitu popular sampai ke hari ini di Turkey, wangian itu dipercayai mula popular sejak zaman pengharaman rokok oleh Empayar Uthmaniah.

Pengharaman itu tidak memberikan pengecualian kepada sesiapa pun dalam Empayar Uthmaniah. Contohnya, duta-duta Perancis di Istanbul masih terus merokok selepas pengharaman tembakau dikuatkuasakan. Mereka berpendapat, kerajaan Uthmaniah tidak akan mengambil tindakan terhadap mereka kerana Perancis dan Uthmaniyah merupakan sekutu rapat.

Namun apabila seorang duta Perancis ditangkap kerana merokok di dalam kawasan kedutaan, Sultan Murad IV telah mengarahkan tenteranya untuk memotong telinga duta berkenaan sebelum menghantarnya pulang ke Perancis.

Raja Perancis Louis Xlll berasa marah dengan tindakan itu dan bertemu dengan Sultan Murad IV. Namun Murad lV menjawab, dia hanya memotong telinga duta Perancis dan tidak mengambil nyawanya kerana menghormati persahabatan Uthmaniyah dan Perancis. Insiden itu menunjukkan betapa Sultan Murad lV sangat membenci dengan tabiat merokok.

Namun dalam masa yang sama Sultan Murad IV merupakan seorang penggemar minuman keras, meskipun meminum arak diharamkan di dalam Islam dan dia turut mengharamkan pengambilan alkohol di seluruh Empayar Uthmaniyah.

Oleh kerana hanya dia seorang boleh minum arak di dalam Empayar Uthmaniyah, Sultan Murad IV mendapat kritikan ramai dan digelar sebagai hipokrit. Tabiat suka minum arak juga menjadi punca Sultan Murad IV mati muda iaitu ketika berusia 27 tahun akibat pembengkakan hati. 

Undang-undang mengharamkan tembakau diteruskan ketika pemerintahan sultan seterusnya, sebelum ia dimansuhkan pada tahun 1648, selepas Mehmed lV ditabalkan menjadi sultan.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan