Mahkamah izinkan orang Kristian guna kalimah Allah

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur dilapor telah memberi keizinan kepada orang-orang Kristian seluruh Malaysia untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan agama itu, sekaligus mengistiharkan bahawa arahan kerajaan pada tahun 1986 tidak mengikut perlembagaan.

Selain kalimah Allah, mahkamah turut membenarkan penganut Kristian untuk menggunakan tiga lagi perkataan lain iaitu Baitullah, Kaabah dan Solat namun mereka perlu menyertakan penafian 'hanya untuk orang Kristian' serta meletakkan lambang salib di hadapan kulit buku.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Nor Bee Ariffin selepas meluluskan pengistiharan oleh seorang wanita Melanau dari Sarawak, bernama Jill Ireland Lawrence Bill bahawa hak kebebasan beragamanya berdasarkan Perlembagaan telah dihalang menerusi sekatan atau larangan mengimport bahan-bahan pendidikan.

Semasa menyampaikan penghakiman, Hakim Nor Bee Ariffin berkata Mahkamah meluluskan deklarasi untuk mengamalkan bebasan beragama berdasarkan Perkara 2, 8, 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya satu deklarasi berdasarkan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa pemohon dijamin hak sama rata antara warganegara atas alasan keagamaan dalam pentadbiran undang-undang.

"Selain itu deklarasi bahawa arahan kerajaan pada 5 Disember 1986 adalah salah di sisi undang-undang dan tidak mengikut perlembagaan," katanya.

Shamsul Bolhassan, seorang peguam dilaporkan berkata bahawa sebarang penerbitan buku agama atau bahan keagamaan Kristian yang menggunakan keempat-empat perkataan itu perlu menyertakan penafian (disclaimer).

"Perlu ada cop (penafian) dan lambang saib," katanya.

Jill selaku pemohon dalam prosiding berkenaan telah diwakili oleh peguam-peguam Lim Heng Seng, Annou Xavier dan Tan Hooi Ping, manakala Shamsul mewakili Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden.

Cakera Padat berjudul 'Cara hidup dalam kerajaan Allah', 'Hidup benar dalam kerajaan Allah', dan 'ibadah yang benar dalam kerajaan Allah' milik Jill telah dirampas oleh pihak berkuasa pada 11 Mei 2008 sebaik sahaja dia tiba di lapangan terbang Sepang.

Susunan rampasan itu, Jill telah memfailkan semakan kehakiman bagi menuntut semula cakra padat berkenaan dan relif hak perlembagaannya yang dilanggar di dalam mengamalkan agama menerusi sekatan atau larangan pengimportan bahan pendidikan.

Pada tahun 2014, Mahkamah Tinggi telah meluluskan permohonan Jill sebelum mengarahkan semua lapan keping cakra padat itu dipulangkan, namun tidak membuat sebarang penghakiman mengenai relif-relif lain dipohonnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan