Sejarah Jepun gunakan dadah untuk hancurkan kerajaan China

DALAM tahun 1931, Jepun telah menyerang Manchuria salah sebuah wilayah dalam negara China. Ketika itu Jepun memerlukan bahan mentah untuk memenuhi keperluan industrinya yang berkembang pesat. Setahun kemudian pada tahun 1932, Jepun berjaya menubuhkan sebuah kerajaan boneka di Manchukuo. Ketika itu Manchukuo terkenal sebagai sebuah negeri yang begitu mengerikan untuk didiami kecuali kepada bangsa Jepun.

Catatan sejarah menunjukkan Jepun telah melakukan pelbagai jenayah perang kejam kepada penduduk tempatan. Antara jenayah itu termasuklah perbuatan rogol secara sistematik, pelacuran paksa, buruh paksa, eksperimen-eksperimen perubatan kejam, pencabulan kanak-kanak dan penyeludupan dadah.


Jepun jadikan Manchuria negeri pengeluar dadah

Ketika menjajah Manchuria, Jepun telah memonopoli penanaman, pemprosesan dan dagangan candu. Jepun secara rasmi mengumumkan kawalan pengeluaran candu bagi mengelakkan ketagihan di kalangan masyarakat Cina. Namun realitinya, mereka melakukan perkara sebaliknya, sekaligus meningkatkan jumlah penagih dadah secara mendadak di kalangan penduduk tempatan.

Penagih Candu
Ketika tahun 1930-an sekitar 10 peratus populasi China mengalami ketagihan candu. Jepun pula mempunyai dua objektif utama di dalam mengawal pengeluaran candu. Objektif pertama jelas sekali sebagai sumber kewangan bagi menampung kos peperangan.

Cukai dikutip daripada para penghisap candu,  keuntungan hasil jualan candu, dan perjanjian dagangan menggunakan candu sebagai bayaran telah meningkatkan kekuatan ekonomi Jepun ketika itu. Dalam era 1930-an Tentera Jepun berjaya mengumpul US$300 juta setahun hasil jualan dadah.

Objektif kedua Jepun pula tidak begitu jelas, namun lebih licik, iaitu mereka menggunakan candu sebagai alat memecah belahkan rakyat China seterusnya mengawal seluruh populasinya. Jepun mahu menjadikan setiap rakyat China sebagai seorang penagih dadah, yang sanggup melakukan apa sahaja bagi mendapatkan dos keperluan harian candu mereka.

Galakan menghisap candu di China begitu jelas sekali bercanggah dengan undang-undang ketat anti dadah dilaksanakan di Jepun pada masa itu. Contohnya, berdasarkan peraturan di Jepun, jika seorang tentera Jepun didapati menghisap candu, individu itu akan dilucutkan kerakyatannya.

Jeneral Risikan Jepun Kenji Doihara mengetuai kartel dadah

Selari dengan pengeluaran rasmi candu, orang-orang Jepun menjalankan kartel dadah dengan efisien. Kartel-kartel ini bekerja secara dekat dengan kerajaan Jepun kerana ia diketuai oleh Kenji Doihara (1883-1948), seorang Jeneral Jepun mengetuai pasukan risikan tentera di Manchuria.

Kenji Doihara merupakan dalang perdagangan dadah di Manchuria, dan merupakan pemimpin de facto kepada semua kartel-kartel dadah di Manchuria ketika itu. Candu, morfin dan heroin boleh didapati di mana-mana. Orang Jepun telah membangunkan rumah-rumah dadah khas, berselindung sebagai premis pelacuran, farmasi, malah kedai-kedai runcit untuk menjual dadah.

Kenji Doihara
FOTO | Kenji Doihara

Para penagih dadah hanya perlu mengetuk pintu rumah-rumah dadah tersebut dan menunggu lubang kecil pada pintu berkenaan dibuka untuk membeli dadah. Transaksi dadah berlangsung melalui lubang-lubang kecil ini. Peniaga akan mengambil wang dan menyerahkan dadah secara terus ke tangan pembeli.

Dalam era 1930-an 90 peratus dagangan dadah haram seluruh dunia berpunca daripada aktiviti orang-orang Jepun. Selepas perang dunia kedua, Kenji Doihara telah didapati bersalah melakukan jenayah perang, sebelum dijatuhkan hukuman mati. Tentera Bersekutu (The Allies) menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Kenji Doihara.

Tentera Jepun memaksa orang-orang cina mengambil dadah supaya ketagih

Kenji Doihara telah mewujudkan beberapa rancangan untuk meningkatkan jumlah penagih dadah di China. Lebih ramai penagih dadah akan memberikan lebih banyak keuntungan dari hasil jualan dadah. Orang-orang Jepun telah mengeluarkan sejenis rokok istimewa, diubahsuai daripada rokok sedia ada yang popular di kalangan penduduk dan diletakkan label 'kelawar emas'. Rokok itu dikilangkan dengan menambah sedikit heroin dan candu ke dalam rokok-rokok ini.

Para petugas Doihara mengedarkan rokok-rokok ini secara percuma kepada orang-orang cina. Tidak lama selepas itu, tindakan itu mengakibatkan mereka menjadi penagih dadah. Namun penjualan rokok 'Kelawar Emas' ini diharamkan sama sekali di Jepun.

Rokok mengandungi heroin dan candu ini berjaya meningkatkan jumlah penagih di kalangan orang-orang Cina. Tidak cukup dengan itu, Doihara seterusnya merancang strategi yang lebih mengerikan bagi memperluaskan lagi pasaran dadah.

Orang-orang Jepun telah menubuhkan pelbagai organisasi kemanusiaan di seluruh China untuk merawat penyakit tuberkulosis. Dalam tahun 1930-an penyakit tuberkulosis telah menyerang kawasan pedalaman China. Tanpa pengetahuan para penduduk miskin China, petugas kemanusiaan Jepun telah menambahkan candu ke dalam ubat-ubatan. Pesakit-pesakit ini juga kemudian akan menjadi penagih dadah.

Apabila orang-orang Cina menjadi ketagih kepada candu, mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan dos keperluan candu harian mereka.

Kenji Doihara sangat kreatif dalam usaha untuk meningkatkan jualan dadahnya. Satu lagi taktik yang digunakan adalah menerusi pelacuran. Doihara telah menubuhkan satu rangkaian rumah-rumah pelacuran di seluruh negara China. Semua pelacur ini dikawal menggunakan candu dan heroin. Seterusnya dia memaksa pelacur-pelacur ini untuk menjual dadah kepada pelanggan-pelanggan mereka.

Setiap seorang pelacur mesti menjual 6 paip candu kepada pelanggan untuk mendapatkan 1 paip bagi kegunaan sendiri. Kebanyakan pelacur berkenaan terdiri daripada wanita kulit putih berasal dari Russia. 

Selepas peristiwa revolusi Russia pada bulan Oktober 1917, puluhan ribu wanita Rusia melarikan diri dari pemerintahan Rejim Bolshevik. Mereka memilih untuk tinggal di negara-negara timur termasuk Manchuria. Kebanyakkan wanita-wanita ini merupakan janda, dan golongan miskin, maka sangat senang bagi Doihara untuk memaksa mereka menjadi pelacur. Tambahan pula pelacur-pelacur berkulit putih sangat popular di kalangan orang-orang barat dan juga penduduk tempatan.

Perang Dunia Kedua mengubah Jepun jadi negara penagih dadah.

Sebelum berlakunya Perang Dunia Kedua (1939-1945), undang-undang ketat anti-dadah berjaya menghadkan jumlah penagih dadah di Jepun. Namun, Perang Dunia Kedua telah mengubah situasi dinamik penyalahgunaan dadah di negara itu.

Syarikat-syarikat Jepun telah menghasilkan methamphetamine secara besar-besaran bagi meningkatkan semangat dan keghairahan askar-askar Jepun yang menyertai peperangan. Ketika itu methamphetamine telah dijual dengan label 'Philopon' bermaksud 'Cintakan kerja'.

Methamphetamine mampu meningkatkan mood,  kesiapsiagaan, tumpuan dan tenaga. Justeru ia merupakan dadah yang ideal kepada juruterbang dan kru-kru kapal selam dalam peperangan. Penggunaan methamphetamine membolehkan tentera Jepun untuk berjuang selama berhari-hari tanpa makan atau berehat. Para pekerja kilang juga mengambil methamphetamine untuk bekerja selama berpuluh-puluh jam secara terus-menerus tanpa henti.

Selepas pengeboman Hiroshima dan Nagasaki dalam tahun 1945, Jepun telah menyerah kalah tanpa mengenakan sebarang syarat. Negara matahari terbit itu berada dalam keadaan huru-hara. Orang-orang Jepun mengalami ketagihan dadah, dan ditinggalkan dengan simpanan methamphetamine begitu banyak.

Pada tahun 1950-an, Jepun mengalami satu zaman wabak penagihan dadah paling buruk, dimana lebih 2 juta rakyat Jepun mengalami ketagihan methamphetamine dan amphetamine.

Kesimpulan

Kerajaan Jepun telah menubuhkan satu empayar dadah paling besar di China, dengan harapan ia boleh membantu mereka memenangi Perang Dunia Kedua. Taktik digunakan mereka untuk memperluaskan empayar dadah jelas sekali begitu jahat dan kejam.

Namun ironinya, selepas mengalami kekalahan dalam Perang Dunia Kedua, Jepun sendiri telah menjadi mangsa kepada najis dadah, dalam tahun-tahun selepas tamat perang, jumlah ketagihan dadah begitu memuncak di negara itu.


Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan