Kanak-kanak parah diserang siamang di Zoo Melaka (video)



SEORANG kanak-kanak lelaki yang melawat Zoo Melaka bersama ibu bapanya diserang dan dicakar seekor siamang jantan menyebabkan daging kaki kanannya terkoyak hingga menampakkan tulang dalam kejadian yang berlaku petang semalam.

Haiwan tersebut sebelum itu bertindak ganas terhadap seorang kanak-kanak perempuan menyebabkan kecederaan ringan di tumit kanan.

Muhammad Afiq Haziq, berusia tiga tahun sembilan bulan kini mendapat rawatan di Hospital Melaka manakala kanak-kanak perempuan itu, Zukrina Abdul Hadi, 5, dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan pesakit luar di hospital sama.

Ketika kejadian yang berlaku pukul 2.30 petang itu, Muhammad Afiq didukung bapanya, Kamarul Baharin, 38, bersama isteri, Anita Sulaiman, 36, bersiar-siar di dalam zoo berkenaan.

Kata Anita, selepas sejam bersiar-siar, dia sekeluarga melewati kawasan khas seperti pulau terbuka yang di kelilingi kolam menempatkan siamang jantan.

"Tiba-tiba saya dikejutkan dengan jeritan orang ramai dan apabila menoleh ke belakang saya melihat 30 hingga 40 pengunjung lari bertempiaran seperti dikejar sesuatu," katanya ketika ditemui di Hospital Melaka hari ini.

Dalam suasana panik ketika itu, kata Anita, secara tiba-tiba seekor siamang jantan muncul lalu bertindak agresif dengan menerkam dan menggigit kaki kanan anaknya.

"Dalam ketakutan saya terus berlari ke arah anak bongsu saya dan cuba menyelamatkannya," ujarnya.

Katanya, dalam suasana cemas itu dia melihat suaminya menarik bulu di kepala siamang itu supaya melepaskan kaki anaknya yang ketika itu sudah terkulai dan berlumuran darah.

"Haiwan itu langsung tidak berganjak dan mujurlah seorang pengunjung yang kebetulan berada di situ bertindak menyepak perut siamang itu menyebabkan haiwan itu melarikan diri," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan