Tawaran Tan Sri Khalid mahu jadi MB semula tidak munasabah

SAYA terpanggil untuk memberikan respon balas kepada mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dilaporkan bersedia untuk menjadi Menteri Besar Selangor semula sekiranya menerima kepercayaan Dewan Negeri Selangor dengan majoriti mudah.

Tidak berbangkit sebarang isu berkenaan kehilangan sokongan majoriti ke atas YAB Mohamed Azmin Ali pada ketika ini kerana majoriti Ahli Dewan Negeri daripada KEADILAN, DAP dan PAS telah memberi sokongan kepada beliau. Ini diperkukuhkan lagi dengan kenyataan Presiden PAS yang menyokong Kerajaan Negeri Selangor di bawah kepimpinan KEADILAN melalui YAB Mohamed Azmin. Muafakat yang terhasil ini diterjemah kepada kepercayaan terhadap YAB Mohamed Azmin untuk terus memimpin kerajaan Negeri Selangor berpandukan semangat Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang semakin mengambang sepertimana diungkapkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum KEADILAN.

Amat hairan bagaimana Tan Sri Khalid boleh menyangka beliau dapat memegang semula jawatan MB kerana beliau telah dipecat dari KEADILAN dan sekarang hanya merupakan seorang ADUN bebas. Saya ingin mengingatkan Tan Sri Khalid bahawa beliau telah dipilih sebagai ADUN atas kerusi KEADILAN dan oleh itu beliau tidak harus beranggapan rakyat Selangor telah memilih beliau atas namanya semata-mata.

Jelas, Tan Sri Khalid hanya boleh menjadi MB semula sekiranya beliau diberi sokongan penuh oleh UMNO. Jika itu berlaku, ini merupakan suatu khianat yang amat besar terhadap rakyat Selangor kerana mereka telah menolak parti dan kepimpinan UMNO di dalam Pilihanraya Umum ke-13. 

Tan Sri Khalid perlu bermuhasabah diri sebelum menawarkan diri sebagai remedi kepada permasalahan ini. Ini kerana gaya kepimpinan beliau sewaktu menjadi Menteri Besar yang sering tidak seiring dengan keputusan-keputusan penting kepimpinan Pakatan melibatkan rakyat dan dilihat hanya bergantung kepada penasihat beliau semata-mata menyebabkan beliau hilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Negeri Selangor lantaran dipecat KEADILAN. 

Adalah lebih utama untuk Tan Sri Khalid memfokuskan kepada persoalan bagaimana hutang Bank Islam beliau berjumlah RM70 juta diselesaikan secara tiba-tiba dan juga bagaimana penyelesaian dapat diambil khususnya melibatkan pampasan sejumlah RM2.6 juta buat bekas pegawai beliau yang masih berlarutan sehingga kini.

YB Shamsul Iskandar Mohd Akin
Naib Presiden KEADILAN

26 Jun 2015

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan