Kisah Pak Manaf dan penduduk kampung

PAK Manaf seorang ketua kampung, orang kampung kadang kala memangginya PM sebagai nama gelaran mesra.

Satu hari, Pak Manaf mengarahkan semua penduduk kampung membawa duit RM100 dan berkumpul beramai-ramai di halaman rumahnya.

Semua penduduk kampung patuh dengan arahan Pak Manaf, pagi-pagi lagi mereka sudah berbaris. 

Dalam ramai-ramai, hanya Achong tidak dapat hadir ke perjumpaan itu, kerana dia tidak sihat. Achong satu-satunya penduduk berbangsa Cina di kampung itu.

‎Melihatkan kehadiran penduduk kampung yang ramai, sambil tersenyum. Pak Manaf berkata dengan penuh bersemangat,

"Bagi memastikan kemajuan kampung kita, setiap seorang daripada kamu hendaklah menyerahkan RM90 kepada aku, manakala RM10 lagi kamu simpan untuk perbelanjaan kamu..."

‎Penduduk kampung terkejut, mereka bertempik dan menjerit kerana membantah duit mereka diambil oleh Pak Manaf. 

"Mana boleh macam ni Pak Manaf! Kami susah payah bekerja setiap hari, Pak Manaf nak ambil duit kami! Ini tidak adil!" kata mereka dalam keadaan marah.

Oleh kerana ramai yang membantah dan marah, Pak Manaf mengarahkan penolong kanannya Ahmad Roslan untuk memujuk orang ramai.

Selepas kira-kira sejam Ahmad Roslan memujuk, orang kampung semua tiba-tiba melaungkan slogan "Kami sayang Pak Manaf", "Hidup Pak Manaf!" dan "I love Pak Manaf".

Semua penduduk kampung terus menyerahkan duit RM90 kepada Pak Manaf sambil menumbuk kepalan tangan ke langit dan menjerit laungan "Hidup Pak Manaf!, Hidup Pak Manaf!, Hidup Pak Manaf!..."

Pak Manaf tersenyum puas. Selepas semua orang kampung pulang, Pak Manaf pun bertanya kepada Ahmad Roslan,

"Hebat kau Ahmad Roslan, tak sampai sejam semua orang kampung boleh tukar fikiran serahkan duit kepada aku, apa yang kau cakap pada mereka?" 

Sambil tersenyum Ahmad Roslan berkata,

"Saya beritahu, Achong tak datang kerana Achong ada agenda jahat. Achong ejen Komunis dan Yahudi. Saya minta semua penduduk kampung bersatu jangan berpecah, jika tidak duit baki RM10 yang tinggal itu akan dicuri oleh Achong..."

Mereka berdua ketawa berdekah-dekah sampai terbatuk-batuk kerana berasa lucu yang amat sangat...






Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan