Kisah perompak yang bijak

‎SEORANG perompak masuk ke dalam sebuah kedai emas, lalu merompak hampir separuh daripada emas-emas yang terdapat di dalam kedai itu.

Sedang dia sibuk memunggah emas-emas hasil rompakannya masuk ke dalam lori, tiba-tiba terdengar jeritan orang ramai yang mahu menangkapnya.

"Itu dia perompak! Tangkap! Tangkap!" Jeritan orang ramai kedengaran sangat kuat.

Orang ramai ada yang membawa parang, kayu, cangkul, pedang, lembing, keris dan pelbagai lagi senjata untuk menangkap si perompak.

Orang ramai berjalan menuju kepada perompak, masing-masing dengan muka bengis‎ nampaknya seperti mahu membaham sahaja apa yang ada di depan mereka.

Perompak yang ketakutan dibelasah oleh orang ramai, dengan segera melakukan taktik untuk menyelamatkan diri seperti yang sudah dirancang dari rumah.

"Nanti, nanti, nanti, jangan tangkap aku! Jika kamu tak tangkap aku aku akan dedahkan satu perkara penting kepada kamu semua..." Kata perompak kepada orang ramai.

"Apa yang kau mahu dedahkan perompak?" Tanya salah seorang dalam kumpulan orang ramai itu.

Perompak pun menjawab, 

"Cina nak rampas Malaysia!"

Orang ramai terkejut mendengar kata-kata perompak itu, serta merta mereka semua terus berlari-lari mencari orang-orang Cina untuk ditangkap dan dibelasah kerana bimbang orang Cina mahu merampas Malaysia.

Perompak tadi pun terus memasukkan semua emas-emas hasil rompakannya ke dalam lori sambil ketawa berdekah-dekah melihat gelagat orang ramai yang sangat mudah diperbodohkan itu.

"Kah kah kah kah kah..." Perompak ketawa berdekah-dekah, sesekali diselangi dengan batuk terkokol-kokol kerana ketawa yang melampau-lampau.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan