Lagi waran tangkap dikeluarkan terhadap Jho Low

MAHKAMAH Majistret Kuala Lumpur hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap ahli perniagaan dalam buruan Low Thaek Jo atau "Jho Low,".

Low Thaek Jo

Difahamkan waran tangkap itu dikeluarkan penolong kanan pendaftar selepas Jho Low gagal hadir menghadapi tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Turut berdepan tuduhan sama empat individu lain termasuk seorang peguam wanita.

Carian di mahkamah, mendapati 4 individu berkenaan dipercayai adalah peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan, 45 bekas pengarah eksekutif Casey Tang, 53 dan dua lagi bekas pegawai 1MDB.

Difahamkan prosiding pendakwaan terhadap lima tertuduh itu hari ini dijalankan tanpa kehadiran tertuduh di empat mahkamah seksyen berasingan.

Sebelum ini pihak polis telah memfailkan sebanyak lapan pertuduhan terhadap Jho Low dan bapanya Tan Sri Low Hock Peng yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Kertas pertuduhan berkenaan difailkan tanpa kehadiran tertuduh di mahkamah Seksyen Putrajaya pada 24 Ogos lalu.

Jho Low menghadapi lapan tuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

Bapanya pula Tan Sri Hock Peng menghadapi satu pertuduhan memindahkan sejumlah USD56 juta kepada anaknya.

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan