Benarkah sebelum ini Anwar pernah usulkan undi percaya kepada Perdana Menteri?

Ada seorang pengamal media sosial menulis:‬

‪"Anwar Ibrahim pernah bawa Usul Percaya kepada PM di Parlimen pada 1997. Ahli Parlimen Pembangkang pun sokong usul berkenaan."‬





‪Aku semak Hansard Dewan Rakyat. Pada 19 November 1997, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Anwar Ibrahim memang telah membentang satu usul, tetapi tidak tepat menyebut bahawa Anwar Ibrahim membawa Usul Percaya kepada Perdana Menteri pada 1997.‬

Anwar masa muda

‪Faktanya, usul itu ialah usul "Bantahan Terhadap Tuduhan Ahli-ahli Kongres Amerika Syarikat Ke atas YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad".‬

‪Usul itu bertujuan membantah surat 34 ahli Kongres Amerika Syarikat bertarikh 27 Oktober 1997 kepada Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia yang mengandungi tuduhan beliau seorang yang anti-Yahudi serta usul beberapa ahli Kongres di Kongres Amerika Syarikat yang menuntut Perdana Menteri meminta maaf secara terbuka bersabit tuduhan tersebut atau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.‬

‪Usul itu juga membantah usaha Kerajaan Amerika Syarikat untuk menggunakan Akta Sekatan Iran-Libya (Iran-Libya Sanctions Act) ke atas Petronas yang melabur di dalam industri gas di Iran.‬

‪Usul kerajaan yang dibentangkan oleh Anwar Ibrahim itu dibahas oleh ahli-ahli Dewan Rakyat dari Kerajaan dan pembangkang. Aku tertarik memetik ucapan dua tokoh pembangkang waktu itu, iaitu Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang [MP Tanjong] dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang [MP Marang].‬





Petikan ucapan Lim Kit Siang:

‪"Semasa saya menyertai perbahasan Parlimen mengenai Belanjawan 1998 pada 20 Oktober yang lepas, saya telah mengumumkan bahawa sungguhpun DAP sebuah parti pembangkang, kami masih akan memberikan sokongan penuh kepada Dr Mahathir Mohamad sekiranya Amerika Syarikat atau mana-mana negara Barat cuba mencampur tangan ke dalam urusan dalaman negara Malaysia melalui cubaan menukar pucuk pimpinan politik negara ini secara paksa mengikut kesukaan mereka. Ini adalah kerana sama ada Dr Mahathir Mohamad tetap memegang jawatan sebagai Perdana Menteri atau tidak, hanya rakyat Malaysia sendiri yang ada hak untuk menentukannya, dan tidak kira Amerika Syarikat mahupun lain-lain negara Barat, semuanya tidak berhak mengajar rakyat Malaysia siapa yang patut menjadi Perdana Menteri negara ini."‬

‪"Biar apa pun perbezaan politik kita, rakyat Malaysia tidak dapat menerima sikap rakyat Amerika Syarikat yang angkuh dan melulu yang melanggari segala norma perilaku antarabangsa asas, iaitu tidak mencampuri hal ehwal politik dalaman negara lain. Atas sebab inilah DAP bersetuju menyokong sepenuhnya bahagian-bahagian usul yang dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang merujuk kepada sikap biadap Ahli Kongres Amerika Syarikat ini."‬

‪Petikan ucapan Abdul Hadi bin Haji Awang:

‪"PAS sentiasa menentang sekeras-kerasnya campur tangan negara lain dalam urusan negara kita dalam semua perkara kerana perkara ini menjadi urusan rakyat negara ini sendiri, seperti juga kerajaan dan rakyat negara ini tidak boleh menentukan dalam urusan negara lain dan apa-apa perkara yang berkait dengan urusan yang menjadi hak negara lain."‬





‪"PAS menganggap isu ini terlalu kecil dan tidak penting, kerana ianya lebih bersifat 'latah' apabila digertak bukannya secara faham dan berteraskan akidah. Apa perlunya usul ini kalau sudah dikatakan Perdana Menteri sebenarnya mendapat kepercayaan rakyat dan terlalu kuat. Kita merasakan usul ini lebih bersifat mengampu dan mahu menutup masalah negara yang besar seperti krisis mata wang, kejatuhan saham dan mahu menutup masalah dalaman yang ada dalam kerajaan, bukannya kerana menentang zionisme dan Amerika."‬

‪"Kita tidak mahu usul ini menjadi 'sokong membawa rebah' kerana ia menampakkan seperti tidak ada kepercayaan kepada Perdana Menteri sehingga perlu diisytiharkan kepercayaan."

‪Setelah usul "Bantahan Terhadap Tuduhan Ahli-ahli Kongres Amerika Syarikat Ke atas YAB Perdana Menteri Malaysia,‬ Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad" dibahaskan, Dewan Rakyat bersetuju merumuskan, antara lainnya:‬

‪Memandang berat terhadap surat 34 Ahli Kongres Amerika Syarikat bertarikh 27 Oktober 1997 kepada YAB Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia yang mengandungi tuduhan beliau seorang yang anti-Yahudi serta usul beberapa ahli Kongres di Kongres Amerika Syarikat yang menuntut Perdana Menteri meminta maaf secara terbuka bersabit tuduhan tersebut atau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri."‬

‪Kesal dengan usaha Kerajaan Amerika Syarikat untuk menggunakan Akta Sekatan Iran-Libya (Iran-Libya Sanctions Act) ke atas Petronas yang melabur di dalam industri gas di Iran";‬


‪Dewan telah mengambil ketetapan seperti berikut:‬

‪1. Menegaskan bahawa Malaysia akan terus mempertahankan prinsip menghormati kerukunan hidup rakyat pelbagai kaum dan agama dan di bawah pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad prinsip tersebut terus diamalkan. Justeru itu, mengamalkan sikap terbuka, adil dan saksama serta menafikan kenyataan anti mana-mana kaum termasuk Yahudi.‬





‪2. Membantah cadangan usul dari beberapa ahli Kongres dan menuntut masyarakat antarabangsa akur terhadap hak rakyat mana-mana negara menentukan kepemimpinan serta dasar negara masing-masing melalui proses demokrasi dan musyawarah;‬

‪3. Membantah keputusan Kerajaan Amerika Syarikat untuk menyiasat pelaburan Petronas dalam industri gas di Iran kerana ianya melanggar semangat perdagangan bebas yang diterima pakai oleh masyarakat antarabangsa;‬

‪4. Dan di atas segala ini memberi keyakinan dan memberi sokongan penuh kepada Dato' Seri Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia.‬





‪Dari keterangan Hansard Dewan Rakyat pada 19 November 1997,‬ amat nyata bahawa usul Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bukannya secara spesifik suatu Usul Percaya kepada Perdana Menteri, tetapi satu usul pernyataan bantahan terhadap keputusan Kerajaan Amerika Syarikat untuk menyiasat pelaburan Petronas di Iran dan desakan beberapa ahli Kongres Amerika Syarikat yang menuntut Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.‬

‪Usul itu dipersetujui sebulat suara tanpa sebarang bangkangan setelah dibahaskan selama lebih lima jam dalam Dewan Rakyat pada 19 November 1997.‬


Abd Malek Hussin

Post a Comment

Previous Post Next Post

iklan